Memilih dan membeli perabot, bukanlah mudah kerana ia melibatkan hampir keseluruhan ruang kediaman. Terdapat individu yang memilih berdasarkan jenama dan rekaan baharu agar tampil moden seiring dengan peredaran zaman.

Tetapi terdapat juga yang memilih perabot yang memiliki ciri-ciri keunikan, eksklusif dan bersifat praktikal sesuai dengan saiz kediaman hari ini yang ruangnya tidak terlalu luas.

Di Joy Design Studio Sdn. Bhd. yang terletak di Setia Alam, Shah Alam dan Jalan Maarof, Bangsar menawarkan pelbagai jenis perabot berkonsepkan moden dan ala Scandinavia, sesuai dengan citarasa masyarakat hari ini.

Pengarah Joy Design, Sheikh Mohamad Azrul SM Nasimuddin Kamal berkata, walaupun rekaan perabot syarikatnya itu kelihatan serupa dengan pereka-pereka lain, namun ia ada keistimewaan sendiri.

Hampir semua perabot Joy Design adalah hasil ilham pereka dalaman kami sendiri selain turut berkolaborasi dengan pereka antarabangsa di bawah Danish Design Manufacturer dari Denmark.

“Bersesuaian dengan nama Joy Design yang melambangkan keceriaan, jadi setiap rekaan perabot di sini turut menggunakan warna-warna yang terang dan menyegarkan.

“Di samping itu, perabot Joy Design juga turut dilengkapi dengan kaki berkayu Arsh Wood dari Kanada kerana ia lebih murah berbanding kayu jati dan cengal tetapi mempunyai kualiti yang sama, selain warnanya yang lebih cerah sesuai dengan konsep kami.

“Joy Design turut menerapkan rekaan butang pada kusyen sofa bagi kelihatan kontemporari seperti di era tahun 70-an,” katanya.

Menurut Sheikh Mohamad Azrul, 28, perabot Joy Design dihasilkan di China, India, Thailand dan Indonesia yang dipantau secara teliti tahap kualitinya oleh dua pegawai yang dilantik di negara tembok besar itu.

Tegas beliau, kualiti merupakan aspek paling penting dalam setiap produk Joy Design kerana banyak syarat dan peraturan perlu dipatuhi apabila menjalin kerjasama dengan Denmark.

“Secara tidak langsung, produk-produk Joy Design mempunyai kualiti yang terjamin dengan harga mampu milik oleh semua golongan pengguna iaitu di bawah RM5,000 seunit.

“Justeru, sempena sambutan Hari Kemerdekaan tidak lama lagi kami menawarkan diskaun jualan atas kesemua produk sebanyak 10 peratus dan 20 peratus bagi beberapa perabot terpilih,” ujarnya.

Selain perabot, aksesori kediaman seperti lampu, gambar, kusyen tangan, bantal duduk turut boleh didapati di Joy Design.

Pemuda berkelulusan seni bina dari Universiti of Strathclyde, Glasgow, Scotland ini memberitahu, Joy Design turut menyediakan perkhidmatan rekaan dalaman kediaman dan komersial.

“Setakat ini, terdapat beberapa restoran dan cafe telah mendapatkan perkhidmatan kami antaranya Zeven Cafe milik Aidil Zafuan di Johor Bahru dan Restoran Peter & Mawar di Kota Damansara.

“Bagi mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan rekaan, boleh datang terus ke studio Joy Design dengan membawa pelan kediaman atau premis masing-masing dan kami akan cuba membantu,” katanya.