Melalui kegiatan pengakap yang mempunyai rangkaian di seluruh dunia, ahli-ahlinya diterapkan dengan nilai-nilai murni seperti mana yang dinyatakan dalam Undang-Undang Pengakap dan Persetiaan Pengakap.

Ia boleh dilihat melalui karakter dan personaliti Aliff Ajwad Marzuki atau lebih mesra dengan panggilan Sam yang menyertai kegiatan pengakap sejak sekolah rendah.

Pada usia yang masih muda, beliau kini diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai Pesuruhjaya Ibu Pejabat Kebangsaan (Bahagian Antarabangsa) Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM).

Menurut penerima Anugerah Tokoh Pengakap Kelana 2018 itu, pengakap antaranya telah membentuk dirinya menjadi seorang yang prihatin terhadap isu-isu kemanusiaan dan alam sekitar.

Melalui inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM) seperti Messenger of Peace (MoP), Scouts of the World Award (SWA) dan World Scout Environment Programmes (WSEP), katanya, pengakap telah membuka ruang kepadanya untuk menyumbang kepada masyarakat.

Apatah lagi WOSM kini turut mengambil bahagian dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 sebagai menyokong usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memperkenalkan 17 matlamat perlu dicapai oleh semua negara menjelang 2030.

“SDG adalah rangka kerja dalam menangani masalah dunia menjelang 2030. Ia boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja yang ingin membantu dan mengurangkan masalah yang dihadapi oleh dunia masa kini.

“Oleh kerana minat yang mendalam terhadap alam sekitar, saya mengambil keputusan menjadi sukarelawan SDG melalui Scout for SDGs untuk melakukan projek-projek berkaitan pemuliharaan alam sekitar.

“Antara projek yang telah saya lakukan adalah Walkside by Rovs dan River Restoration Project,” katanya kepada Mega Rona ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai projek itu, Aliff Ajwad berkata, Walkside by Rovs merupakan projek membina laluan pejalan kaki menggunakan bahan terbuang bersama 12 lagi rakannya yang masing-masing merupakan Pengakap Kelana.

Laluan sepanjang 100 meter yang terletak di Jalan Mesra, Datuk Keramat, Kuala Lumpur itu dibina menggunakan kira-kira 100,000 penutup botol.

“Objektif projek ini adalah untuk mengurangkan sisa bahan terbuang plastik dan mengamalkan konsep 3R iaitu Reduce (mengurangkan), Reuse (guna semula) dan Recycle (kitar semula), sekali gus meningkatkan kualiti persekitaran masyarakat setempat.

“Projek yang siap September lalu telah memberi manfaat kepada masyarakat setempat terutama mereka yang mahu menyeberang sungai di belakang Stesen LRT Dato’ Keramat,” tambahnya.

Beliau berkata, selain memenuhi matlamat SDG, projek itu juga bertujuan memenuhi syarat untuk memperolehi SWA iaitu salah satu anugerah berprestij daripada badan pengakap dunia.

Sementara itu katanya, River Restoration Project adalah sebuah projek pemuliharaan sungai yang dilakukannya bersama pelajar Universiti Pengurusan dan Sains (MSU).

Melalui projek itu, beliau 
dan rakan-rakannya menghasilkan sebanyak 178,900 bebola enzim yang diperbuat daripada kulit buah dan lumpur sebagai ejen untuk mengurai enap cemar 
di Sungai Damansara, Selangor.

Katanya, projek itu telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Record dalam penghasilan bebola enzim paling banyak.

Malah, Aliff Ajwad sendiri turut mendapat pengiktirafan daripada Biro Pengakap Dunia Rantau Asia Pasifik kerana berjaya melaksanakan projek berkaitan SDG.

Menurut beliau yang juga penerima Anugerah Baden Powell (BPA) iaitu salah satu anugerah tertinggi dalam pengakap, penyertaannya dalam pertubuhan itu telah membentuk dan melatih dirinya menjadi lebih matang.

Perkara itu dapat dilihat melalui perubahan daripada tindakan dan cara berfikir dalam setiap pekerjaan yang dilakukannya.

“Pengakap juga banyak memupuk sifat kepimpinan dalam diri saya. Saya telah diberi peluang berada dalam Majlis Pengakap Kelana Negara sebagai Ahli Majlis dan terbaharu dilantik sebagai Pesuruhjaya Ibu Pejabat Kebangsaan.

“Melalui aktiviti pengakap, saya melihat pelbagai situasi dialami segelintir masyarakat yang kurang bernasib baik.

“Saya tidak mempunyai harta untuk membantu semua orang. Oleh itu saya menjadikan kesukarelawan melalui pengakap sebagai misi peribadi saya untuk melindungi dan memberi peluang kepada orang lain merasai nikmat hidup menerusi sistem sokongan masyarakat,” katanya.