Melalui projek itu, kanak-kanak yang kurang bernasib baik di sekitar Chow Kit terutama yang tidak bersekolah akan diberikan bantuan pendidikan secara percuma selama setahun.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif RizQ Educare, Dr. Rizq Muhammad Syazwan Mohd. Rosmin, Projek CINTA itu adalah sebahagian daripada inisiatif pihaknya untuk membawa perubahan dalam kehidupan kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

Projek di premis Buku Jalanan Chow Kit itu akan mengumpulkan kira-kira 150 kanak-kanak kurang bernasib baik di sekitar Kuala Lumpur menyertai program pendidikan yang dikendalikan guru-guru RIS, bermula pukul 8.30 malam hingga 10.30 malam.

“Kelas ini diadakan setiap bulan selama setahun dengan pembahagian lima elemen utama untuk memastikan pembangunan diri kanak-kanak yang holistik.

“Lima elemen itu ialah Knowledge-Based, Critical Thinking-Based, Skill-Based, Talent-Based dan Charity-Based yang akan memastikan pembangunan diri kanak-kanak secara holistik.

“Projek CINTA ini unik kerana berkonsepkan play based learning iaitu sesi pembelajaran menyeronokkan dan kreatif,” katanya kepada Mega Rona selepas merasmikan Projek CINTA di premis Buku Jalanan Chow Kit, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tinjauan penulis di premis itu mendapati kanak-kanak yang menyertai projek tersebut teruja mengikuti pelbagai aktiviti yang dikendalikan oleh guru-guru RIS.

Mengulas lanjut, Dr. Rizq berkata, silibus Projek CINTA yang terdiri daripada pendidikan sokongan untuk pembangunan diri dan kemahiran insaniah kanak-kanak disampaikan menggunakan pendekatan penuh ilmu dan kemahiran, termasuk dengan cara menghiburkan serta mengujakan kanak-kanak.

“Pihak kami cuba membawa pendidikan berkualiti di RIS untuk dikongsikan bersama kanak-kanak kurang bernasib baik serta tidak berpeluang mengakses pendidikan bermutu di sekolah berprestij.

“Projek ini juga adalah platform untuk mendedahkan guru dengan kaedah pendidikan empati menerusi aktiviti kemanusiaan serta proses pendidikan di luar bilik darjah sebagai salah satu cara untuk meningkatkan kaedah pembelajaran berasaskan keseronokan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengasas Buku Jalanan Chow Kit, Siti Rahayu Baharin berkata, kebanyakan kanak-kanak di Chow Kit berusia antara empat hingga 12 tahun.

Katanya, mereka tidak dapat bersekolah kerana tidak mempunyai dokumen yang diperlukan untuk mendaftar masuk sesi persekolahan.

“Kanak-kanak terbabit lahir di sini tetapi status kewarganegaraan ibu bapa menyebabkan mereka tidak boleh didaftarkan di institusi pendidikan kebangsaan.

“Sebab itu, apabila ada pihak yang sudi memberi pendidikan percuma seperti ini, saya amat menghargainya demi masa depan anak-anak kecil terbabit yang sentiasa ‘dahagakan’ ilmu pengetahuan untuk jaminan masa depan,” katanya.