Bagi yang mampu, bolehlah memilih pakej percutian di lautan terbentang luas.

Ibu bapa yang mempunyai masa terhad untuk mengatur percutian boleh memilih pakej percutian SuperStar Gemini. Bercuti di atas kapal sesuai untuk mereka yang mengidamkan percutian menyeronokkan bagi seisi keluarga.

Umpama sebuah hotel terapung, SuperStar Gemini merupakan kapal pelayaran bertaraf antarabangsa yang kembali berpangkalan di Malaysia. Kapal itu memulakan pelayaran dari Pelabuhan Klang, Pulau Pinang atau Pulau Langkawi ke destinasi menarik selama enam bulan bermula 5 November lalu sehingga 28 April 2019.

Presiden Star Cruises, Ang Moo Lim berkata, sebagai sebuah syarikat ahli kumpulan Genting Cruises Lines, Star Cruises teruja dapat kembali berpangkalan di Malaysia bagi membolehkan pelancong tempatan dan antarabangsa merasai pengalaman percutian unik dan menarik.

Menurutnya, pihaknya menawarkan pelbagai pilihan kepada pelanggan serta promosi pakej percutian yang menarik pada harga berpatutan.

“Pelancong mempunyai pelbagai pilihan untuk menaiki kapal SuperStar Gemini dari Pelabuhan Klang, Pulau Pinang, Langkawi atau Phuket.

“Star Cruises terus komited mengukuhkan Malaysia sebagai hab pelayaran di rantau ini serta meraih peluang pertumbuhan baharu dalam segmen fly-cruise yang berpotensi menarik lebih ramai pelancong luar ke negara ini,” katanya.

Pelayaran itu turut memperkenalkan tema khas iaitu Spider-Man: Into the Spider-Verse dengan kerjasama Sony Pictures dalam menyediakan aktiviti interaksi seperti Spider-Man Scavenger Hunt, Meet & Greet, cabaran kecergasan dan sambutan Krismas.

Sempena meraikan ulang tahun ke-25 Genting Cruise Lines, pihaknya juga bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Make-A-Wish-Malaysia menunaikan hasrat pesakit leukimia, Adam Khalish Harfa Azhar menaiki kapal itu. Adam Khalish yang menjadi tetamu istimewa dalam pelayaran mewah itu ditemani ibu bapanya, Azahar Sojot dan Fazidah Hassan serta adiknya, Luth Harith.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu bukan sahaja meminati kapal, malah bercita-cita menjadi kapten kapal percutian.

Kemas mengenakan pakaian seragam kapten kapal, Adam Khalish turut dijemput masuk ke bridge, tempat kapten mengemudi dan berpeluang memegang stereng kapal.

Pelayaran ke Phuket dan Pulau Pinang

BERPELUANG menikmati pakej percutian empat hari tiga malam di atas kapal sepanjang 230 meter dan 29 meter lebar yang mempunyai 13 tingkat dek pastinya meninggalkan kenangan manis terutama bagi yang pertama kali melalui pengalaman tersebut.

Menawarkan 765 kabin dengan pilihan lapan jenis bilik, pelayaran ini langsung tidak membosankan kerana pelbagai aktiviti serta kemudahan tersedia buat penumpang.

Jika bimbang mengalami mabuk laut, jangan khuatir kerana sebenarnya penumpang tidak terasa seperti berada di permukaan laut yang bergelora disebabkan saiz kapal yang besar. Dalam pada itu, pelbagai aktiviti menarik serta pertunjukan bertaraf dunia disajikan kepada penumpang misalnya pertunjukan silap mata oleh Ezker Emparanza dari Sepanyol dan persembahan sarkas.

Berdasarkan pengalaman penulis, jadual aktiviti di atas kapal itu cukup menarik dan pihak pengurusan tidak akan membiarkan penumpang berasa bosan sepanjang pelayaran supaya dapat menikmati percutian sebaik mungkin.

Jika tidak mahu terikat dengan aktiviti disediakan, penumpang secara berkumpulan boleh melakukan pelbagai aktiviti dirancang sendiri seperti berdandan di salun, berurut di spa, mandi di kolam bersama anak-anak, melakukan aktiviti kecergasan di gimnasium, bergembira di pusat karaoke, atau membeli-belah di kedai bebas cukai yang menjual pelbagai barangan berjenama.

Tanpa sebarang bayaran tambahan di restoran tertentu, kita bebas memilih mana-mana daripada lapan premis yang menyajikan hidangan tempatan dan antarabangsa. Tiga daripadanya bebas alkohol dan khinzir iaitu Mariners Restaurant, Bella Vista dan Oceana Barbeque.

Penumpang juga boleh bersiar-siar di sekitar kapal dan menikmati pemandangan indah matahari terbenam di dek khas buat mereka yang ingin menghirup udara segar di tengah laut.

Setelah seharian berlayar dan tiba di Phuket, kapal akan berlabuh dan penumpang dibenarkan turun untuk membeli-belah dan melawat tempat bersejarah.

Antara tempat menarik mesti dikunjungi di Phuket adalah Pantai Patong, Big Buddha, Wat Chalong, kilang gajus, dan merasai sendiri pengalaman membeli-belah di Jungceylon Shopping Centre.