Meskipun masih muda minat mendalam dalam bidang keusahawanan telah menjadi pendorong kepada anak kelahiran Sentul, Kuala Lumpur, Nurul Suhaida Abu Sopian untuk menceburkan diri dalam perniagaan pakaian terpakai yang kebiasaannya dimonopoli golongan lelaki.

Dengan berbekalkan pengalaman membantu bapa saudaranya menjalankan perniagaan pakaian terpakai, selepas tamat sahaja pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam Ijazah Sains Sukan, Nurul Suhaida tidak menoleh ke belakang lagi dan terus merangka strategi untuk memajukan perniagaan tersebut dengan mengetengahkan konsep premium tetapi harga ditawarkan mampu milik.

“Pakaian terpakai di kedai ini dibawa secara khusus dari Jepun dan Korea dengan gred premium 80 peratus ke atas. Maksud premium ialah pakaian ini hampir nampak baharu, warna tidak pudar, sedia untuk dipakai, cantik dan bersih. Di sinilah premium pakaian yang dijual di Sasuke Premium Outlet (SPO).

“Sehingga kini SPO memiliki lima cawangan iaitu di Danau Kota (Setapak), Kampung Pandan, Bandar Seri Permaisuri (Cheras), Bandar Baru Bangi dan Kajang,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di kedainya di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Berkongsi lebih lanjut penglibatannya dalam perniagaan ini, Nurul Suhaida berkata, dia bersama rakan baiknya, Nur Athirah Johari, 27, yang kini bertindak sebagai Pengurus Operasi SPO kemudiannya ditawarkan untuk menguruskan SPO oleh bapa saudaranya, Zainal Othman pada 2014 iaitu ketika masih menuntut di UiTM.

“Bertitik-tolak dari itu, saya terus fokus kepada perniagaan dan berjaya mengembangkan lagi SPO. Kami kini mempunyai satu lagi nama baharu di bawah SPO iaitu Bundles.my. Sekarang Bundles.my mempunyai dua cawangan iaitu di Rawang dan Pelabuhan Klang. Pada tahun ini saya menyasarkan membuka 10 cawangan lagi di bawah nama Bundles.my.

“Selain itu, pakaian yang dijual di SPO juga mendapat permintaan daripada peminat pakaian terpakai premium dari luar Lembah Klang. Untuk memenuhi permintaan ini kami turut menyediakan platform dalam talian,” katanya.

Menurut Nurul Suhaida lagi, pakaian terpakai yang dijual di SPO mendapat tempat dalam kalangan pelanggan kerana barangan yang dijual berkualiti selain konsep butik yang diperkenalkan di semua cawangannya.

“Harga yang ditawarkan amat berpatutan bermula daripada RM15 dan pelanggan juga dapat menikmati diskaun sehingga 50 peratus. Selain itu, kita turut menjual semua barangan daripada barangan kanak-kanak sehingga dewasa untuk lelaki dan wanita.

“Daripada aspek kebersihan pakaian pula, apabila tiba kontena pakaian terpakai setiap bulan, semua barangan ini akan diasingkan terlebih dahulu mengikut gred bagi menentukan harganya. Kemudian barangan ini akan dibersihkan terlebih dahulu di kilang SPO di Kapar bagi meyakinkan pelanggan terutama dari sudut kebersihan selain menjaga kualiti setiap barangan yang ingin dipasarkan,” katanya.

Menyentuh mengenai cabaran dalam perniagaan pakaian terpakai, Nurul Suhaida berkata, antaranya ialah pandangan sesetengah pihak yang memandang sebelah mata keupayaan wanita untuk terlibat dalam perniagaan seperti ini kerana kebiasaannya ia dimonopoli oleh kaum lelaki.

Cabaran lain pula, katanya, ialah untuk mencari pasaran baharu dengan tidak tertumpu kepada pelanggan satu-satu kaum sahaja sebaliknya fokus juga perlu diberikan terhadap usaha menarik minat kaum Cina dan India untuk turut sama membeli.

Bercerita lebih lanjut mengenai SPO, Nurul Suhaida berkata, selain terlibat dalam bidang perniagaan pihaknya juga banyak terlibat dalam program berbentuk program tanggung jawab sosial korporat (CSR) dengan membantu rumah-rumah kebajikan yang memerlukan.

“Sebelum ini kami pernah bekerjasama dengan sebuah stesen televisyen untuk menjayakan sebuah program CSR. Selepas itu kami mendapat idea untuk membuat kempen sendiri dengan melibatkan pelanggan SPO.

“Jadi untuk tahun pertama ini lahirlah satu program khas iaitu membeli sambil menderma yang mana dengan pembelian sebanyak RM30 secara automatik jumlah RM1 akan dimasukkan ke dalam tabung.

“Sejak program ini diperkenalkan sehingga bulan lalu kami sudah berjaya mengutip hampir RM10,000 dan sebanyak tiga buah rumah kebajikan sudah mendapat manfaat daripada program ini. Untuk masa hadapan kami bercadang untuk membuat program ini secara tahunan dengan setiap tiga bulan sekali agihan akan diberikan kepada rumah kebajikan terpilih,” ujarnya.

Sementara itu, Nurul Suhaida turut menasihatkan anak-anak muda terutamanya kaum wanita yang berminat untuk terlibat dalam bidang perniagaan supaya mencari guru yang betul dan dapat bimbingan sehingga berjaya.

Pada masa sama, katanya, peniaga muda juga dinasihatkan supaya tidak terikut-ikut dengan trend perniagaan semasa kerana ia tidak kekal lama sebaliknya menumpukan terhadap perniagaan yang boleh memberikan keuntungan untuk jangka masa panjang.

“Dalam perniagaan isu pembiayaan juga memainkan peranan yang sangat penting. Sebaik-baiknya jangan berhutang dengan institusi perbankan apabila hendak memulakan perniagaan tambahan pula jika kita tidak tahu sejauh mana perniagaan yang bakal diceburi nanti boleh berjaya.

“Oleh itu adalah lebih baik jika kita menjual kepakaran yang dimiliki terlebih dahulu dalam perniagaan supaya ada pihak yang berminat untuk melabur. Langkah ini lebih selamat berbanding berhutang dengan bank,” katanya.