Syarikat ini diterajui oleh Nuraslina Zainal Abidin, 44, yang telah diberi pendedahan dalam bidang perniagaan sejak masih di bangku sekolah rendah lagi.

“Semasa saya bersekolah dulu, saya telah membantu nenek menjual al-Quran, buku-buku agama, songkok serta jamu-jamu kesihatan secara kecil-kecilan di kedainya di kampung halaman saya di Ipoh, Perak. Saya pun tidak pernah terfikir untuk terjun dalam bidang perniagaan.

“Cuma kejayaan nenek dalam bidang ini sedikit sebanyak memberi dorongan kepada saya untuk keluar daripada zon selesa dan berani menghadapi cabaran,” ujarnya.

Dalam pada itu ketika diberi kepercayaan memegang jawatan Pengurus Besar Jualan daripada sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) yang juga kerjaya ketiganya, Nuraslina mendapat motivasi dan ilham untuk membuka syarikat sendiri dalam bidang teknologi maklumat (IT). Bercerita lanjut tentang syarikatnya itu, Nuraslina menjelaskan, Genaxis Group merupakan anak syarikat kepada Dagang NeXchange Berhad, sebuah organisasi yang menjalankan kemudahan perdagangan dan teknologi yang tersenarai di Bursa Malaysia.

“Perniagaan kami sangat berbeza kerana kami memberi khidmat nasihat penyelesaian transformasi digital yang ditawarkan kepada para pelanggan terdiri daripada sektor awam dan swasta. Genaxis Group juga merupakan sebuah Akademi Pensijilan Six Sigma dan Lean Sigma yang berkualiti dan diiktiraf oleh badan-badan antarabangsa seperti Persatuan Kualiti Amerika (ASQ), Institut Pengurusan Australia (AIM) dan Pensijilan IASSC,” katanya.

Mengulas kepentingan bidang teknologi transformasi digital dan kecerdasan buatan, Nuraslina memberitahu, dalam era revolusi perindustrian 4.0 (IR4.0), banyak kepakaran yang membabitkan kecerdasan buatan diperlukan daripada khidmat firma perunding teknologi yang berkelayakan. Jelasnya, revolusi perindustrian keempat atau lebih dikenali sebagai IR4.0 merupakan penggabungan antara proses automasi dan pertukaran data yang tidak hanya tertakluk kepada sektor pembuatan malahan turut melibatkan sektor-sektor lainnya seperti perbankan, minyak dan gas, pendidikan serta pertanian.

Bahkan, katanya, aplikasi kecerdasan buatan telah pun bertapak dalam kehidupan seharian tanpa disedari umpamanya penggunaan voice activated assistant seperti Siri dan Google Voice. Contoh sektor pembuatan adalah seperti penggunaan robot bagi menggantikan kerja-kerja buruh manusia sekali gus memberikan manusia lebih tumpuan kepada tugas-tugas lain.

“Pada asasnya, bidang ini amat diperlukan dan mula diberi perhatian secara khusus oleh pelbagai organisasi swasta bagi meningkatkan tahap perkhidmatan, mengurangkan kos operasi di samping menambahkan lagi pendapatan mereka. Sektor awam juga turut terkena tempias dan telah mula memastikan tahap perkhidmatan mereka kepada orang awam lebih berteknologi tinggi seterusnya dipertingkatkan dengan pelaksanaan penyelesaian transformasi digital secara lebih menyeluruh,” katanya lagi.

Ditanya tentang pembabitan wanita dalam bidang teknologi transformasi digital dan kecerdasan buatan, Nuraslina berpendapat, mungkin terdapat dalam kalangan wanita tempatan yang terlibat di dalam bidang ini tetapi tidak sebagai peneraju syarikat, sekadar sebahagian daripada tenaga kerja sahaja.

“Sepanjang penglibatan saya dalam dalam bidang ini, tidak ramai wanita tempatan yang menceburinya atau menjadikan bidang ini sebagai asas perniagaan mereka sendiri. Jadi, perlu ada satu usaha untuk merapatkan jurang perbezaan jantina dalam bidang tersebut.

“Apa yang membimbangkan ialah terdapat kajian yang mendapati hanya 12 peratus wanita terlibat dalam bidang kecerdasan buatan. Contohnya dalam syarikat Facebook, sebanyak 15 peratus sahaja wanita terlibat dalam bidang pekerjaan berkaitan kecerdasan buatan dan sementara dalam syarikat Google pula hanya 10 peratus sahaja wanita yang terlibat dalam bidang tersebut,” katanya.

BAHAGI MASA

Sebagai Pengarah Urusan di syarikatnya, sudah tentu Nuraslina dibelenggu dengan kesibukan kerja. Pun begitu, beliau cuba membahagi masa secara bijak untuk keluarga walaupun mempunyai kekangan jadual kerja yang padat.

Katanya, sebagai seorang ibu dan isteri, beliau perlu mengekalkan keseimbangan agar kehidupan sehariannya lebih selesa serta tidak kompleks.

“Setelah ibu saya kembali ke rahmatullah 13 tahun yang lalu, tiada apa yang lebih penting dalam hidup saya selain daripada keluarga tercinta. Begitu juga hubungan saya dengan Allah yang sentiasa ada dalam agenda saya setiap hari.

“Memiliki empat orang cahaya mata yang masih kecil juga memerlukan pengorbanan. Meninggalkan mereka setiap hari ke tempat kerja sememangnya sangat sukar dan amat menyedihkan. Tambahan pula apabila terpaksa meninggalkan rumah ke tempat kerja ketika matahari belum terbit dan kembali setelah matahari terbenam.

“Bagi saya syarat utama dalam mengimbangi kehidupan sebagai seorang ibu yang bekerja ialah meletakkan beberapa peranan tepat pada tempatnya dan tepat pada masanya. Kaedah ini banyak membantu saya mengisi setiap peranan tersebut tanpa sebarang tekanan di mana sahaja saya berada,” jelasnya.