Ketika itu Intan Mazliah Jamaluddin, 45, berasakan dunianya gelap buat seketika apabila doktor mengesahkan anak bongsunya, Nur Dahiyah Khadijah Salim, 9, menderita penyakit Retinoblastoma iaitu sejenis kanser mata dalam kalangan kanak-kanak dan Global Delay Development (GDD) yang menyebabkan tumbesarannya terbantut.

Kesan daripada penyakit itu, Nur Dahiyah yang baru berusia setahun ketika itu perlu menjalani pembedahan membuang mata sebelah kanan bagi mengelak virus kanser terus merebak.

Ketika itu hospital bagaikan menjadi rumah kedua bagi mereka sekeluarga. Intan dan suami tidak pernah jemu menemani Nur Dahiyah mendapatkan rawatan kanser sehingga pembedahan selesai dilakukan.

“Pada awal kelahirannya, Nur Dahiyah baik-baik sahaja, tetapi selepas beberapa bulan dia mula menunjukkan tanda-tanda yang pelik. Matanya sering kali melihat ke atas dan perlakuan itu menyebabkan kami berasa bimbang dan membuat keputusan untuk merujuk kepada doktor.

“Dunia saya bagaikan terbalik apabila doktor memberitahu pembedahan mesti dilakukan untuk membuang mata kanan bagi mengelak kanser merebak ke mata kiri.

“Bagaimana mahu menerima kenyataan ini? Anak yang dilahirkan sempurna hilang sebelah mata buat selama-lamanya? Waktu itu kami hanya mampu reda dan bersabar menerima takdir,” katanya kepada S2.

Syukur kuasa Tuhan itu amat besar. Tahun demi tahun berlalu, Nur Dahiyah semakin sembuh dan bebas daripada sel kanser. Dia juga telah menjalani pembedahan memakai bola mata palsu setahun kemudian selepas menjalani sembilan kali kemoterapi.

Namun, dia tidak membesar seperti kanak-kanak lain yang sebaya dengan usianya ekoran penyakit GDD menyebabkan tumbesaran gadis sunti itu lambat lapan tahun daripada usia sebenarnya.

“Walaupun dia (Nur Dahiyah) sudah berusia sembilan tahun, namun perwatakannya masih seperti kanak-kanak berusia setahun. Malah, dia baru sahaja pandai berdiri dan berjalan sendiri.

“Kami hantar dia ke PDK (Pemulihan Dalam Komuniti) untuk memberikan pendedahan luar kepadanya supaya dia menikmati kehidupan seperti kanak-kanak lain,” ujarnya.

Tidak putus asa

Percaya rezeki Allah itu luas, Intan dan suami, Salim Yahya, 42, bangkit daripada kesedihan dan memilih untuk tidak terus meratapi ujian yang ditakdirkan untuk keluarga kecil mereka.

Biarpun tidak lagi mampu bekerja seperti dahulu, Intan mengambil inisiatif memulakan perniagaan kecil-kecilan secara dalam talian manakala suaminya melakukan pelbagai jenis pekerjaan sambilan.

Menggunakan platform Instagram dan Facebook, ibu kepada tiga orang cahaya mata itu menjual pelbagai barang kelengkapan rumah daripada pengilang seperti karpet, cadar, pakaian dan sebagainya.

“Kebetulan saya memang minat berniaga. Keluarga dan rakan-rakan memberi sokongan dan beli barangan yang dijual. Dari situ saya mula bersemangat untuk meneruskan perniagaan kecil-kecilan ini.

“Saya juga ada kelebihan dalam bidang pemasaran dan ia membantu saya menjalankan perniagaan. Apa yang penting saya sentiasa positif untuk terus bangun demi anak-anak,” jelasnya.

Sehingga kini akaun Instagram jom_soping_kedaiintan dan akaun Facebook jom_sopping yang dikendalikannya aktif mempromosikan pelbagai barangan demi menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Harapan Intan supaya keluarganya terus tabah dan bersatu menghadapi segala rintangan yang mendatang.

Terus diuji

Benarlah takdir Tuhan tiada siapa dapat meneka.

Di saat mahu menarik nafas lega ketika melihat anak kecilnya semakin sembuh, Intan dikejutkan pula dengan berita mengenai kesihatannya yang didiagnosis mempunyai ketumbuhan atau tumor pada bahagian tulang belakang.

Dalam keriangan menyambut Aidilfitri tiga tahun lalu, Intan tiba-tiba tidak dapat berjalan dan kakinya mengalami rasa kebas yang serius.

“Sebelum itu kaki saya sering lenguh-lenguh dan cepat berasa letih apabila berjalan. Tak sangka pula ada tumor.

“Apabila pemeriksaaan dilakukan di hospital, doktor memberitahu ada ketumbuhan pada bahagian tulang belakang L4 dan L5 menyebabkan saya tidak dapat berjalan dan melakukan sebarang pekerjaan,” katanya.

Ekoran itu, Intan terpaksa berhenti kerja di sebuah syarikat di ibu kota kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

“Semasa itu saya berasa sangat lemah dan hilang semangat kerana tidak boleh seaktif dahulu dan tidak dapat ke mana-mana. Sehinggalah enam bulan selepas itu saya menjalani pembedahan membuang tumor berkenaan.

“Namun, sehingga kini rasa kebas masih ada. Saya tidak boleh berjalan terlalu lama dan pergerakan juga terbatas,” jelasnya dengan senyuman yang tidak pernah lekang dari bibir.

Biarpun diuji tanpa henti, kata wanita yang berasal dari Ayer Tawar, Perak itu, dia tidak membiarkan dirinya terus hanyut dalam kesedihan demi kelangsungan hidup keluarganya.

“Dugaan begitu banyak. Pertama, saya sakit, suami pula terpaksa berhenti kerja kerana keadaan ekonomi syarikatnya yang tidak stabil. Sampai satu tahap, saya berasa tidak mahu berjumpa orang ramai dan mengalami kemurungan.

“Tetapi apabila difikirkan, kalau saya terus melayan perasaan sedih, tentunya saya tidak mampu meneruskan hidup. Anak-anak pula masih bersekolah dan anak yang sakit pula masih memerlukan perhatian.

“Jadi, saya positifkan diri, fikir dan merancang semula kehidupan untuk bangun daripada kesedihan ini,” tambahnya.