Meredah hutan, memikul beg galas yang berat dan berendam di dalam lumpur likat bukanlah aktiviti yang menyeronokkan jika dinilai dengan mata kasar.

Selain diuji fizikal dan mental, mereka juga perlu bijak membahagikan amanah sebagai pelajar yang menuntut kecemerlangan akademik dan dalam masa yang sama, menggalas tanggungjawab sebagai anggota PALAPES.

Seorang mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menyertai PALAPES dan berpangkat Sarjan Mejar Rejimen (SMR) Sesi 12, Nooradniza Mohammad Razali, berkata, beliau dipertanggungjawabkan untuk mengetuai selok-belok kesemua peringkat termasuk kekuatan anggota (bilangan ahli), aktiviti setiap minggu, pergerakan masa dan keperluan dalam kumpulan.

“Bukan itu sahaja, mereka yang berpangkat SMR juga bertanggungjawab mengetuai perbarisan. Selain itu, mereka perlu melaporkan kepada Pegawai Kanan Rendah (SUO), kemudian SUO akan melaporkan kepada Kompeni Sarjan Mejar Jurulatih (KSMJ),”

“Pendek kata, tugas sebagai SMR ini adalah orang yang penting semasa latihan dijalankan,” katanya kepada Mega Kampus.

Baru-baru ini, kesemua anggota menyertai kem latihan yang turut melibatkan penyertaan ketiga-tiga peringkat PALAPES iaitu p senior, intermediate dan junior.

“Saya turut menyertai kem tersebut dan ditugaskan menjaga peringkat senior,” jelasnya yang berpengalaman lebih tiga tahun dalam bidang ketenteraan ini.

Salah satu bentuk latihan dikenali Pra CW iaitu melibatkan beberapa peringkat, bermula daripada peringkat mara, serangan, pertahanan dan pengunduran. Bagi peringkat mara, anggota dikerah untuk berjalan sama ada di jalan raya atau dalam hutan, seterusnya strategi serang.

“Untuk pertahanan pula, anggota akan menggali kubu senjata dan persendirian. Kebiasaannya menggali kubu dijalankan selama tiga hari tetapi memandangkan ini cuma pra, maka masa yang diperuntukkan untuk menggali kubu hanya semalaman sahaja. Pengunduran pula berlaku apabila kita diserang,” katanya menceritakan tentang latihan yang telah diikutinya. - NOORHIDAYAH ABDUL LATIF