Pernah dikenali sebagai jutawan kosmetik menerusi jenama Dermax Superskin (DMS) pada 2012, Datuk Seri Mohamad Ruslan Shah Mohd Akhir, 44 atau lebih mesra dengan nama Cfu DMS memberitahu, beliau telah menyepikan diri selama lebih dua tahun ekoran kegagalan dalam perniagaan.

Berkongsi detik hitam tersebut, Mohamad Ruslan, dek kerana terlalu percayakan kakitangannya, beliau telah menghadiahkan 100 buah kereta mewah namun hampir semuanya bertindak menikamnya dari belakang.

“Bertahun-tahun saya jaga mereka tetapi secara berkumpulan mereka tinggalkan saya. Sesiapa sahaja yang berada di tempat saya akan tahu betapa sedihnya saya rasa. Saya pernah hadiahkan mereka 100 buah kereta mewah namun semuanya melarikan diri. Hanya 40 buah sahaja yang saya dapat balik,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamad Ruslan kembali bangkit apabila dipujuk keluarganya dan sahabat yang setia bersamanya. Walaupun tidak sibuk seperti dulu, dia kini lebih selesa berkongsi inspirasi kejayaan melalui motivasi dan kumpulan pengikutnya yang dikenali sebagai Best Family Fans (BFF).

DITIKAM dari belakang menjadikan Mohamad Ruslan lebih berhati-hati.
DITIKAM dari belakang menjadikan Mohamad Ruslan lebih berhati-hati.

“Saya sentiasa mengingatkan diri sendiri agar tidak berputus asa walaupun kadang-kadang saya sangat kecewa apabila ada rakan-rakan yang saya bantu dulu menikam saya daripada belakang. Namun, ada juga dalam kalangan rakan-rakan yang tidak putus-putus memberi semangat. Ada juga yang baru saya kenal dan mahukan saya berkongsi tip menjadi usahawan. Ketika itu baru saya terdetik, saya perlu bangkit kerana masih ramai di luar saya yang boleh saya bantu,” jelasnya.

Selain perniagaan DMS, Mohamad Ruslan juga mempunyai 30 syarikat lain merangkumi syarikat kejuruteraan, bengkel kenderaan, pembinaan dan hartanah.

Mohamad Ruslan bukanlah berasal daripada golongan yang berada bahkan hanya seorang juru jual peralatan elektronik mesin basuh di Johor Bahru pada 1994. Beliau bekerja selama hampir dua tahun sebelum berhenti kerja dan berjinak-jinak dalam dunia perniagaan multi level marketing (MLM). Beliau mengakui memasuki hampir semua jenis perniagaan MLM sehingga pernah berada antara yang terbaik.

Berdasarkan pengalaman itu, beliau berpeluang menjadi pakar motivasi keusahawanan kepada individu-individu yang ingin berkecimpung dalam bidang itu. Walaupun pendapatan sebagai pakar motivasi lumayan tetapi Mohamad Ruslan mengambil keputusan berhenti kerana mahu memberikan tumpuan kepada perniagaan sendiri.

Pada 1998, Mohamad Ruslan cuba membuka syarikat kosmetik dengan menghasilkan produk kosmetik bersama beberapa rakan kongsi. Namun, tidak seperti yang diimpikan perniagaan syarikatnya itu gagal di tengah jalan. Selepas syarikat itu ditutup, beliau turut cuba melakukan pelbagai jenis perniagaan lain.

Mohamad Ruslan tidak berputus ada, berusaha untuk terus memajukan diri sehinggalah pada 2012 beliau kembali membuka syarikat kosmetiknya sendiri. Pada ketika itu, Mohamad Ruslan melihat potensi laman sosial Facebook sebagai medium memasarkan produknya. Beliau terfikir untuk menggunakan Facebook sebagai medium perniagaannya.

Mohamad Ruslan kemudian memperuntukkan RM500,000 sebagai modal permulaan menghasilkan produk dikenali sebagai DMS. Produk ini bukan sahaja popular di Malaysia malah dikenali di Brunei, Singapura dan Indonesia sejak 2014.

Tetapi, langit tidak selalunya cerah, Muhamad Roslan terpaksa melalui satu lagi episod kepayahan dalam hidupnya apabila jenama yang dibinanya itu mengalami kegagalan.

“Selepas setahun lebih berehat, saya sudah bersedia untuk kembali aktif dalam dunia perniagaan dan nyanyian. Sebelum ini saya berdepan saat sukar apabila ditikam rakan-rakan dalam dunia perniagaan.

“Bayangkan saya ajar dan bentuk mereka daripada zero (kosong) sehingga mereka menjadi hero. Lebih kurang lima ke enam tahun juga. Akhirnya mereka lari tinggalkan saya. Terduduk jugalah saya dibuatnya.

“Sesiapa yang pernah berada di tempat seperti saya pasti tahu bagaimana sedihnya. Saya ambil masa setahun untuk kembali bangkit,” katanya yang turut merakamkan lagu single Ku Takkan Menyerah berdasarkan kisah benar tentang dirinya.

Walaupun pahit menerima kegagalan dalam perniagaan, tetapi pengalaman itu menjadi guru yang sangat rapat dengan beliau. Tanpa kegagalan, sesiapapun tidak akan mampu mengenal kesilapan diri dan jadi lebih baik.

“Perkara yang perlu dilakukan selepas gagal dalam perniagaan ialah kesungguhan untuk bangkit semula. Memang kita sudah habis wang kerana bisnes gagal, tetapi pengalaman dan ilmu yang ada tidak pernah habis,” katanya.

Ujar beliau, seseorang yang pernah menemui kegagalan sebenarnya mampu bangkit semula jika benar-benar insaf untuk tidak mengulangi kesilapan, sama ada secara sengaja atau kebetulan. Ketika ditanya mengenai faktor pendorong bangkit semula, Mohamad Ruslan menambah, keinginan untuk memastikan anak-anaknya dapat membesar dengan sempurna menjadikan beliau terus berusaha.

Selain itu, ujar beliau, sokongan juga memberi kekuatan untuk beliau menyusun strategi baharu dan pada masa sama melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik.

“Kita tidak tahu bila kita akan meninggal dunia. Jadi, sebelum perkara itu berlaku, kita tidak boleh putus asa dan terus berusaha memperbaiki keadaan supaya anak-anak tidak hidup dalam kesusahan selepas kita sudah tiada,” katanya.

Kini, Mohamad Ruslan lebih berasa positif dengan dikelilingi rakan-rakan baharu menerusi kewujudan BFF yang terdiri daripada pengikut setiap beliau dalam media sosial. Menurut Mohamad Ruslan, BFF bukan platform perniagaan semata-mata tetapi bertujuan mewujudkan jaringan rakan-rakan.

“Komunikasi bersama rakan berniaga dapat meluahkan sebarang masalah dan kegusaran yang timbul dengan cara berkongsi pengalaman. Ada kalanya kita memerlukan tempat mengadu dan ada masanya juga rakan itu memerlukan seseorang untuk berbincang.

“Melalui BFF, saya sedar masih ramai lagi yang menyokong saya. Pengalaman lalu mengajar saya supaya lebih berhati-hati dan lebih positif,” katanya.