Walaupun kelihatan ringkas dengan warna putih yang melatari hampir keseluruhan dinding, namun terasa elegan dengan penataan perhiasan secara minimum dan perabot mewah yang ditempah khas.

Memasuki banglo tersebut terasa seperti berada dalam sebuah resort di tepi pantai, lebih-lebih lagi apabila bahagian banglo berkenaan terletak menghadap tasik.

Reka bentuk dalaman berkeluasan 451.5 meter persegi itu mendapat sentuhan kreatif daripada IDW Design and Build Sdn. Bhd. (IDW) yang berpangkalan di Shah Alam, Selangor.

Menurut Pengarah Urusan IDW, Lokman Hakim Ahmad Subki, pemilik banglo tersebut yang merupakan ahli perniagaan mendapat inspirasi untuk reka bentuk dalaman berkenaan ketika bercuti di Thailand.

Sewaktu menginap di sebuah resort di sana, beliau terpegun dengan konsep dekorasi yang diketengahkan.

Paling menarik perhatiannya ialah ruang santai yang tenggelam ke dalam lantai.

Teringin memiliki ruang seperti itu, beliau berjumpa IDW sekembalinya dari Thailand untuk mendapatkan khidmat nasihat bagi mengubahsuai rumahnya.

“Pelanggan tersebut datang kepada kami dan memberitahu yang beliau mahukan konsep moden dan mewah seperti resort yang didudukinya ketika bercuti di negara itu.

“Beliau menunjukkan kami gambar dan meminta kami membina ‘ruangan tenggelam’ seperti yang ada di resort berkenaan,” kataya.

Selepas berbincang, ruangan tersebut akhirnya diputuskan untuk diletakkan di bahagian belakang banglo itu yang menghadap tasik.

Reka bentuk ruangan itu sememangnya suatu idea yang bijak kerana apabila penghuninya beristirahat di ruangan berkenaan, tubuh mereka turut ‘tenggelam’ bersama.

Ini membolehkan penghuni lain di bahagian belakang ruangan tersebut turut dapat menikmati pemandangan tasik tanpa gangguan.

Selain itu, yang turut menarik mata memandang ialah lampu chandelier yang tergantung di ruang koridor.

Lampu rekaan dari Itali itu berbeza dengan kebanyakan chandelier kerana ia hadir sebiji-sebiji dengan jumlah keseluruhan sebanyak 100 biji.

Sekali pandang, ia kelihatan seperti buih-buih di tepi pantai. Bertepatan sekali dengan cita rasa ala resort di tepi laut yang diimpikan tuan rumah berkenaan.

Beberapa bahagian di dinding dan kabinet dapur pula dihiasi dengan cermin berwarna gangsa, menambahkan lagi seri dan kemewahan banglo tersebut.

Di samping itu, penggunaan cermin berkenaan dapat memberikan refleksi, sekali gus menampakkan ruangan di dalam rumah lebih luas.

IDW turut menyuntik warna biru firus pada sebahagian sofa dan karpet bagi menyerlahkan lagi elemen di tepi pantai dan warna rose gold pada setiap tirai bagi menaikkan lagi elemen glamor pada banglo berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Rekabentuk IDW, Rabiatul Adawiyah Rasol berkata, pihaknya telah melakukan pengubahsuaian secara besar-besaran, antaranya membabitkan pembinaan lif.

Menariknya lif itu berdindingkan kaca dan menghadap tasik. Sudah tentu ia suatu pengalaman menarik menaiki lif di dalam sebuah banglo sambil menikmati pemandangan tasik.

Pengubahsuaian lain yang dilakukan turut membabitkan penggantian lantai iaitu dengan menggunakan lantai jenis marble di bahagian bawah, dan kayu vinyl pada anak tangga serta lantai di tingkat dua dan tiga.

“Kami juga membuat perabot bina dalam (built in) seperti almari di bilik tidur, almari kasut di ruang masuk, kabinet di bilik teater dan kabinet dapur.

“Pengubahsuaian dilakukan mengikut konsep moden dan mewah seperti yang diinginkan pelanggan. Hanya bilik tidur utama yang kami beri sentuhan moden klasik, itu pun atas kehendak pemilik rumah,” katanya.

Walaupun kelihatan moden dan mewah, konsep reka bentuk dalaman banglo tersebut sebenarnya sesuai untuk semua peringkat umur.

Dengan ruang rumah yang agak luas dan serba-serbi lengkap termasuk alat memanggang di tepi kolam renang, banglo itu sesuai dijadikan lokasi berhimpun atau majlis keraian.

Kebetulan pula pemilik banglo berkenaan memiliki keluarga yang besar dan sering dikunjungi sanak-saudara.

“Walaupun rumah ini tiga tingkat, tetapi ada lif yang memudahkan pergerakan terutama untuk warga emas.

“Dengan konsep yang ringkas tetapi mewah, banglo ini memang sesuai didiami keluarga besar yang mempunyai semua peringkat umur,” kata Rabiatul Adawiyah yang boleh dihubungi di Facebook IDW Design & Build.