Itu yang dilakukan Nordahiyah Abu Hassan, 25. Ibu kepada seorang cahaya mata ini tidak pernah jemu menghias ruang milik puteri kecilnya, Nur Auni Zahirah Muhammad Safuan sejak dua tahun lalu.

NUR AUNI bersama ibunya, Nordahiyah Abu Hassan.
NUR AUNI bersama ibunya, Nordahiyah Abu Hassan. 

‘‘Idea untuk menghias bilik ini datang daripada saya. Sejak anak melangkah usia setahun, saya sedar dia memerlukan ruang sendiri untuk bermain. Saya cuba dapatkan keperluan perabot di bilik ini sedikit demi sedikit pada setiap bulan kerana harganya agak tinggi jika dibeli sekali gus,’’ kata Nordahiyah.

Tambahnya, pemilihan warna untuk dinding amat penting kerana ruang bilik yang tidak begitu luas. Dia memilih warna-warna pastel bagi menaikkan seri bilik si kecil sekali gus memberikan kesan ruang yang lebih luas.

‘‘Saya menggunakan cat dinding warna kelabu kerana warna ini ‘selamat’ dan senang digabungkan dengan mana-mana warna untuk perabot mahupun barangan lain,’’ ujarnya.

Nordahiyah menggunakan cat kalis kotoran bagi membolehkannya mencuci dengan hanya sekali lap sekali gus memastikan warna pada dinding sentiasa kelihatan cantik. Justeru, tidak hairanlah sesiapa yang berkunjung ke rumahnya memuji cat dinding yang kelihatan seperti baharu.

Bagi pemilihan perabot pula, Nordahiyah lebih gemar yang berwarna putih serta merah jambu lembut dengan saiz yang kecil kerana ingin menampilkan sentuhan dekorasi yang tidak begitu sarat bagi membolehkan anaknya bermain dengan selesa.

KATIL dengan rak buku.
KATIL dengan rak buku. 

‘‘Rak buku sengaja diletakkan di dinding sebelah katil kerana Auni gemar membaca buku sebelum dia melelapkan mata. Hal ini juga memudahkan dia untuk mencapai setiap buku yang diinginkan kerana rak tersebut tidak begitu tinggi,’’ kongsinya.

Ruang bilik anak kecil sememangnya tidak akan lengkap tanpa barang permainan. Menyedari hal ini, Nordahiyah menyediakan rak bakul dengan rona kelabu dan merah jambu yang siap ditampal label bagi mengasingkan setiap jenis mainan yang dimiliki Auni.

RUANG bilik si kecil yang selesa.
RUANG bilik si kecil yang selesa. 

Mengakui hiasan bilik ini memberikan banyak getaran positif terhadap hubungan keluarga, dia melihat puterinya kini lebih berdisiplin menguruskan barangan yang digunakan selepas bermain.

‘‘Biarpun Auni baru berusia tiga tahun, dia akan terus meletakkan setiap mainan yang diambil di tempat asal. Dia tidak akan menyelerakkan barang-barang, sebaliknya menyusun sendiri di dalam rak bakul yang telah disediakan,’’ kata Nordahiyah.

Memiliki anak perempuan sudah sinonim dengan permainan memasak.

KOLEKSI gaun digantung bagi memberikan kelainan.
KOLEKSI gaun digantung bagi memberikan kelainan. 

Dalam hal ini, Nordahiyah menyempurnakan bilik puterinya bagi memupuk sifat feminin dengan meletakkan set kabinet dapur mainan.

Bagi ruang atas pula, dia meletakkan sedikit gantungan kon ais krim dan kotak lampu berbentuk angsa.

Manakala, kotak mini yang tertera dengan tulisan nama penuh Auni menambahkan lagi seri ruang tersebut yang memaparkan siapa empunya bilik berkenaan.

‘‘Kebanyakan pakaian anak saya diletakkan di dalam laci. Baju yang khusus untuk keluar bersiar-siar akan digantung, manakala pakaian harian dilipat dalam almari biasa,’’ tambahnya.

KOTAK berisi alat permainan yang kemas.
KOTAK berisi alat permainan yang kemas. 

Ruang sisi bilik ini turut diletakkan koleksi gaun si kecil bagi mencipta sedikit kelainan. Juntaian klip rambut puladisediakan oleh Nurdahiyah bagi mengelakkan ia berselerak di merata tempat dan hilang.

Pertengahan ruang bilik pula terdapat hamparan karpet berbentuk bulat yang dikelilingi corak abjad dan sebuah set meja ringkas dengan kerusi berwarna merah jambu.

LACI untuk pakaian dan kasut.
LACI untuk pakaian dan kasut. 

‘‘Anak semakin membesar. Dahulu dia hanya minat barang mainan. Sekarang dia cuba menulis jika diberikan pensel. Saya berusaha dapatkan set meja dari China semata-mata minatnya yang suka menulis ini,’’ ujar Nurdahiyah.

Biarpun sudah hampir dua tahun menata rias bilik puterinya, wanita ini tidak pernah jemu untuk terus mencantikkan lagi ruang mengikut kemampuannya.