“Majikan saya serahkan 100 peratus tanggungjawab di bengkel kepada saya kerana dia hanya mempunyai seorang kerani dan dia juga percaya kemampuan saya untuk menguruskan bengkel.”

Demikian tegas Siti Nurliyah Mohamed Saleh ketika ditemui di bengkel lori miliknya, Laawri Workshop (Legacy AA Auto Workshop Sdn.Bhd), di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Segalanya bermula apabila dia, yang mesra disapa sebagai Liya, menyertai bidaan tender bagi sebuah syarikat lori dari Jepun, sebelum menawarkan diri untuk menyelenggarakan 40 buah lori kepunyaan syarikat itu.

Tindakan tersebut dibuat selepas bengkel tempatnya bekerja menghadapi masalah dan dia bakal kehilangan pekerjaan.

Mendapat keizinan daripada suami untuk memulakan perniagaan tersebut, sokongan dan kepercayaan yang diberikan lelaki itu sudah cukup untuk membuatkan dia melangkah dengan lebih berani dan yakin.

Disebabkan tekad yang kuat, dia memulakan perniagaan tanpa sebarang modal dan mula mengatur strategi dengan membuat kredit daripada pembekal.

Walaupun gusar dan segan, dia tetap memberanikan diri dan berterus terang dengan setiap pembekal bagi pembelian secara kredit sebanyak RM5,000 dan syukur segala urusan dipermudah tanpa sebarang masalah.

Namun, rupanya dunia perniagaan bukan sentiasa mudah seperti yang disangka. Masuk bulan keenam, Liya mula tersedar bahawa dia memulakan perniagaan tanpa ilmu yang cukup dan selama ini hanya ‘pandai-pandai’ sahaja berniaga.

“Pengurusan aliran tunai yang lemah dan kekurangan wang untuk pusing modal antara masalah terbesar saya pada tahun pertama berniaga. Saya tidak dapat membeli alat ganti lori kerana peralatan tersebut perlu dibeli secara tunai dan saya ketiadaan modal.

“Disebabkan terdesak bagi memastikan perniagaan beroperasi seperti biasa dan memikirkan tidak mahu menyusahkan ahli keluarga, saya tekad meminjam duit dengan ah long.

“Saya berhasrat untuk meminjam RM30,000, tetapi saya hanya diberi RM3,000 sahaja untuk permulaan bagi melihat komitmen pembayaran saya,” kata ibu empat cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan Mazlan Basir.

Nampak seperti sedikit jumlah, tetapi dia perlu membayar RM150 termasuk wang faedah setiap hari selama 30 hari. Apa yang ditakutinya berlaku, pada hari ke-15 dia tidak mempunyai wang untuk membayar ah long dan meminta untuk menangguhkan pembayaran dan berjanji menyelesaikan baki setelah dua hari.

Meskipun hutang tersebut berjaya dilangsaikan mengikut waktu, sepanjang tempoh tersebut dia hidup dalam ketakutan kerana setiap hari dirinya dan keluarga diperhati.

“Ibarat dunia saya gelap gelita. Walaupun ah long terbabit tidak menggunakan kekerasan, saya tetap terseksa kerana setiap saat memikirkan keselamatan anak-anak di rumah. Apa yang akan berlaku kepada anak-anak kalau saya gagal membayar hutang, berdosanya saya kepada mereka.

“Saya serik meminjam pada ah long, cukuplah pengajaran melalui 30 hari yang sangat menyeksakan. Situasi ini juga mengajar saya walau terdesak sekalipun, saya perlu berusaha mencari alternatif lain.

“Mereka ada menawarkan saya pinjaman lain, bahkan tawaran terakhir sebanyak RM100,000, tetapi saya tolak. Saya tidak mahu lagi terlibat dengan mereka,” katanya.

Itu semua cerita lama, kerana selepas setahun Liya mampu menarik nafas lega. Bahkan, kini dia mempunyai kontrak menyelenggara lori di beberapa kawasan seperti Padang Jawa, Shah Alam dan Pekan, Pahang.