Sesekali terkeluar loghat utara Ezatul atau lebih mesra disapa Eza, 49, sementelah wanita yang dilahirkan di Melaka ini sememangnya dibesarkan di utara tanah air, Perlis.

Ibu kepada empat anak ini, Nisha Kamilia Hastings, 21, Daniel, 19, Aaron, 14, dan Natalie,13, pada awalnya lebih selesa menjadi suri rumah.

Namun melihat `kegilaan’ rakyat luar negara menggunakan produk kecantikan dan penjagaan diri buatan sendiri, terutama ketika mengikut suaminya, Muhamad Scott Hastings pulang ke kampung halamannya di Sydney, Australia, timbul keinginannya untuk mendedahkan trend itu di Malaysia.

“Keinginan ini tercetus sejak 22 tahun lalu dan saya lihat trend ini semakin berkembang. Di Australia, mereka memilih produk seperti sabun yang dibuat sendiri tanpa sebarang bahan kimia atau racun. Selalunya saya sekeluarga akan memborong sabun ini untuk dibawa pulang ke Malaysia,” katanya.

Ezatul Nazura Baba

Lama kelamaan terdetik hatinya untuk mempelajari cara membuat sabun secara semula jadi dengan tujuan untuk mendidik rakyat negara ini beralih kepada produk alami.

Lantas Eza mendaftar diri di Akademi Monas, Kuala Lumpur untuk mempelajari teknik asas membuat sabun kemudian menyambung pengajian dalam bidang sama di Candle & Soap Supplier Academy di Rhonde, Sydney, Australia dan terus belajar secara dalam talian di School Natural Skincare International sehingga kini.

Bermula dengan suka-suka dan menjual produk secara dalam talian, Eza dengan bantuan suami sebagai Penasihat serta anak sulungnya, Nisha Kamilia, membuka syarikat Wangi World Sdn. Bhd. pada 2017 bertempat di Empire City, Damansara Perdana. Tahun lalu syarikatnya berjaya membuka kios mini dan kedai pertama di Encorp Strand Mall, Kota Damansara.

Walaupun telah berjaya membuka perniagaan produk alami namun dia masih terus menimba ilmu tentang produk yang dihasilkan di samping mengadakan kelas-kelas tentang pembuatan sabun kepada golongan usahawan industri kecil dan sederhana.

Kata Eza, semua produk yang dihasilkannya adalah buatan tangan menggunakan minyak tumbuhan, mentega dan herba tulen bagi memastikan produk tersebut benar-benar berkualiti.

Produknya juga tidak meminggirkan herba-herba tempatan antaranya serai wangi, daun gelenggan, bunga raya, daun dan buah limau purut, halia serta kunyit.

Dalam pada itu dia mengakui, bukan mudah untuk mendidik rakyat Malaysia menggunakan produk alami namun wanita ini tidak pernah berputus asa untuk menyebar luaskan kebaikan bahan semula jadi melalui media sosial seperti Facebook dan Instagram.

“Kami juga mendidik rakyat Malaysia dengan menyalurkan pelbagai maklumat tentang bahaya bahan kimia dalam produk kegunaan harian selain mendedahkan kepada mereka betapa rakyat negara-negara maju telah mendahului kita dalam penggunaan bahan semula jadi ini,’’ ujarnya.

Eza turut menjalinkan kerjasama dan mendapat khidmat nasihat profesional daripada Profesor Madya Dr. Hakimah Osman, penerima anugerah Loreal For Women In Science 2012 yang juga seorang saintis terkenal daripada Universiti Malaysia Perlis (Unimap) tentang penggunaan bahan-bahan semula jadi yang sesuai dan selamat digunakan.

Tidak sahaja untuk pasaran tempatan, Eza mempunyai aspirasi lebih jauh iaitu memasarkan produknya ke luar negara. Setakat ini produknya berjaya mendapat sambutan di Singapura dan Indonesia.

Malah dia akan mengekspot sabun proses sejuk (cold process) yang menggunakan herba-herba asli ke Sydney, Australia dengan menggunakan jenama Herb & Scent manakala pejabat operasinya terletak di Castle Hill, New South Wales.

Wanita ini juga bercadang membina Akademi Wangi World yang membolehkan orang ramai mempelajari cara pembuatan produk buatan sendiri melalui sesi kelas yang dikendali oleh tenaga pengajar yang mempunyai lebih lima tahun pengalaman.

“Akademi ini akan menjadi tempat untuk sebahagian daripada pengusaha-pengusaha produk alami mempamerkan produk mereka dan menjadi bilik pameran untuk produk alami dari Malaysia,’’ katanya.

Eza juga berharap akan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi pelancongan di negara ini sekali gus dapat menggalakkan pelancong asing menjadikan akademi itu sebagai destinasi wajib untuk mendapatkan produk alami sepenuhnya buatan Malaysia.