Justeru, dua arkitek tersohor di Malaysia, Ar. Hud Bakar, 56, dan Ar. Norzaini Mufti, 52, `otai’ dalam dunia seni bina menegaskan betapa pentingnya mempertahankan warisan seni bina di negara ini melalui profesiom arkitek.

Kedua-duanya mengakui, jika pada usia 50-an, seseorang itu sedang menuju usia persaraan namun dalam dunia arkitek, usia berkenaan adalah permulaan karier setelah lelah mengumpul pengalaman untuk menjadikan mereka lebih kreatif.

Apapun mereka tetap mengakui bahawa arkitek-arkitek muda juga perlu diberi peluang untuk menonjolkan bakat masing-masing.

Kata Ar. Hud, pemilik RSP Architects Sdn. Bhd., mereka yang memilih karier ini perlu mempunyai jiwa kental, sanggup bekerja sehingga larut malam. Arkitek juga perlu mempunyai tekad dan cintakan kepada seni bina, jika mahu terus bertahan dalam industri ini.

Berasal dari Klang, Hud bukanlah calang-calang arkitek. Lihat sahaja kepada Kompleks Islam Putrajaya, bangunan MITEC Jalan Duta, Menara Felda, Ibu pejabat MITI, Menara Bank Islam Malaysia Berhad Jalan Tun Perak, Paradigm Mall dan Menara Naza. Ini adalah antara berpuluh-puluh bangunan yang mendapat sentuhan seni daripadanya.

Penuh aspirasi dan inspirasi, Hud yang merupakan bekas pelajar Victoria Institution (VI) tidak meletakkan dirinya bekerja sebagai arkitek sebaliknya karier arkitek itu adalah hidupnya, oleh itu tiada istilah bersara dalam kehidupannya.

Bekas pelajar cemerlang aliran sains VI ini mempunyai kecintaan yang amat mendalam terhadap seni bina, sanggup menolak tawaran biasiswa Petronas dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menawarkan kursus lain selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), semata-mata kerana seni bina.

“Saya tunggu pula biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Semasa temuduga mereka kata saya boleh ambil semua kursus tetapi bukan seni bina alasannya rugi otak-otak budak Melayu ambil seni bina, nak dapat budak-budak pandai ini susah. Namun kerana saya berdegil, mereka suruh saya lakar seni bina sebuah hotel dan bentangkan di depan mereka, 20 orang semuanya, beberapa kali, ’’ katanya.

Akhirnya mereka terpaksa beralah dan menggelarnya ‘budak degil’ namun tetap memberi peluang kepada Hud sehingga berjaya melanjutakan pengajian sehingga ke peringkat sarjana seni bina di Universiti California, Berkeley, Amerika Syarikat (AS). Hud akui, beliau bukan ulat buku, tidak berminat untuk membaca buku lantas menolak kursus yang memerlukannya berteleku di hadapan buku.

Selepas menimba pengalaman dengan bertugas antaranya di San Francisco Bay Area, AS, Hud kembali ke Malaysia dan bertugas di beberapa syarikat seni bina dengan sentuhan pertamanya di negara ini ialah Muzium dan Galeri Seni Bank Negara, yang disifatkan istimewa tetapi simple.

Jika rakan-rakan sejawatannya sibuk membina karier dengan membuka syarikat seni bina masing-masing Hud mempunyai strategi lain, beliau mahu mengambil alih syarikat gergasi yang telah membina nama.

“Bila kawan-kawan saya balik, mereka buka syarikat. Saya kata kepada mereka `takpe kau jalan dulu...kerana saya pula berazam suatu hari nanti aku nak ambil syarikat yang dah ada ni. Ini yang berlaku..RSP kini milik saya. Bukan saya yang memulakan RSP ini kerana syarikat ini telah wujud sejak 1956. Saya ambil alih pada 1996 dan saya cakap saya akan bina syarikat ini.’’

“Kenapa saya berminat dengan RSP kerana ia syarikat antarabangsa. Bila saya ambil alih, tiba-tiba saya telah mempunyai network yang besar. Sebelum ini tiada rakyat Malaysia dalam RSP dan kini RSP adalah syarikat Malaysia dengan projek mencecah bilion ringgit dan ratusan kakitangan,’’ katanya.

Berpengalaman dalam dunia seni bina hampir 30 tahun, Hud menganggap kepuasan menjadi seorang arkitek bukan kerana berjaya membina bangunan yang tinggi sebaliknya kualiti. Malah bangunan yang kecil juga mampu memberi kepuasan dan amat bermakna dalam diri arkitek.

“Sebuah bangunan kita lihat cantik tetapi ada 100 lagi yang cantik. Tetapi saya mahu setiap arkitek bukan setakat buat bangunan sahaja tetapi meletakkan jiwa raga mereka pada seni bina itu. Setakat hendak buat bangunan dan rasa feeling sendiri itu bukan seni bina. Lambat laun bangunan itu akan menjadi warisan yang memalukan,’’ katanya.

Kata Hud lagi, untuk membina warisan ini di Malaysia sepatutnya lebih banyak bangunan di negara ini mendapat sentuhan arkitek tempatan dan bukan arkitek luar negara yang kini banyak digunakan untuk melakar bangunan-bangunan tempatan.

Hal ini dipersetujui Norzaini yang menegaskan, penggunaan arkitek luar memencilkan arkitek tempatan dan ini akan membuatkan ramai arkitek tempatan terkilan, terutama yang membabitkan pembinaan bangunan yang berprestij.

Pengarah Urusan Z&SR Architectural Ventures Sdn. Bhd. ini mengakui perniagaan menjual kreativiti amat sukar dan mempunyai tanggungjawab yang besar.

Berbeza dengan Hud, bekas pelajar Sekolah Alam Shah Cheras ini bercita-cita untuk menjadi akauntan tetapi kursus yang ditawarkan tiada di AS justeru beliau memilih seni bina namun bidang itu bukanlah baharu kepada Norzaini kerana sewaktu di bangku sekolah beliau pernah membantu abangnya yang bertugas sebagai arkitek.

Berasal dari Gombak, beliau melanjutkan pengajian ke AS sehingga memperoleh ijazah sarjana seni bina dari Universiti Michigan, Ann Arbor, AS dan menyertai syarikat abangnya kemudian memutuskan untuk membuka syarikat sendiri pada 2004.

Lebih tertumpu kepada seni binaan kediaman yang adakalanya melibatkan lebih 10,000 unit, Norzaini berkata, peluang pertama diperolehnya daripada sebuah syarikat di Johor untuk projek pangsapuri yang kemudiannya menyerahkan enam lagi projek kediaman lain.

Namun katanya, ada perasaan `seriau’ dalam diri arkitek yang terlibat dalam industri ini terutama membabitkan sikap masyarakat.

“Semasa pembeli ambil kunci, kita sudah reka rumah itu cantik dengan mengambil kira setiap aspek persekitaran. Tetapi pembeli ini ada kecenderungan untuk mengubahsuai semata-mata untuk kelihatan lain. Sikap mereka telah mengganggu nilai estetik yang dibentuk oleh seorang arkitek,’’ katanya.