Bahkan, pada peringkat awal, bapanya tidak begitu menggalakkan kerana mahu dia menyambung pengajian dalam bidang farmasi kerana memikirkan masa depan yang lebih cerah berbanding kulinari.

Saat itu, hatinya berbelah bahagi sama ada untuk meneruskan pengajian kulinari yang sudah mula serasi atau mengikut kata bapanya yang mahu melihat dia mempunyai karier yang stabil apabila tamat belajar nanti.

Akhirnya, dia menurut kata hati dan berusaha meyakinkan bapanya bahawa kerjaya sebagai cef atau tukang masak juga dipandang tinggi pada masa kini.

Pada masa sama, dia juga sudah mempunyai beberapa perancangan apabila tamat pengajian nanti, meskipun ketika itu masih agak kabur tentang pekerjaan yang boleh dilakukan.

Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan. Berbekalkan minat yang dipupuk, dia berusaha sikit demi sikit sepanjang menyambung pengajian diploma seni kulinari di Universiti Taylor.

“Saya mula berasa keputusan memilih bidang kulinari adalah tepat kerana saya mula jatuh cinta terhadap pembuatan pastri dan manisan.

“Saya sanggup meluangkan masa di dapur kolej untuk membantu pensyarah menyiapkan pastri kerana belajar di kelas sahaja tidak cukup.

“Ketika itu juga saya bertekad untuk membuat perniagaan pastri dan manisan, memandangkan saya sendiri memang minat berniaga. Saya yakin bahawa pengalaman lalu dapat membantu saya dalam perniagaan ini,” kata anak keempat daripada enam beradik ini.

Tamat sahaja pengajian, Syahirah kemudian mengambil kursus jangka pendek dengan menyambung pengajian pengkhususan manisan dan pastri di institusi pengajian kulinari terbaik dunia, Le Cordon Bleu London, selepas dicadangkan oleh salah seorang pensyarah yang melihat potensinya dalam bidang tersebut.

Sepanjang lima bulan di London, dia menggunakan sehabis baik masa yang ada dengan menimba ilmu dan mengutip pengalaman dengan cef-cef di sana. Ini kerana, dia percaya kemahiran yang akan dibawa pulang nanti dapat menjadikan dirinya berbeza dengan pembuat-pembuat pastri lain.

Bukan tidak percaya dengan ilmu-ilmu yang boleh diambil menerusi Internet seperti kebanyakan orang, baginya dengan mendapat pendidikan formal dia dapat berguru sendiri dengan mereka yang pakar, selain dapat memberi tumpuan pada semua aspek pastri dengan latihan intensif di makmal pastri yang canggih dan serba lengkap.

“Saya tidak menafikan ramai pembuat kek dan pastri pada hari ini belajar menerusi Internet sahaja, namun pengalaman yang lama dalam bidang itu juga menjadikan siapa mereka pada hari ini.

“Bukan mudah untuk dikenali kalau anda adalah pembuat kek yang sama seperti orang lain, lebih-lebih pada zaman bisnes online ini.

“Jadi masing-masing perlu lebih berusaha untuk menjadikan produk mereka lain daripada lain. Saya pula memilih untuk menggunakan kemahiran yang telah saya pelajari untuk menghasilkan pastri setanding dengan luar negara,” ujar anak jati Kuala Lumpur itu.

Vanilicious bukti kejayaan

TIDAK menyangka minatnya membawa kepada pekerjaan sepenuh masa, Syahirah tidak mengambil masa lama untuk memulakan perniagaan pastri dan manisan sekembalinya ke tanah air.

Menyedari kepentingan media sosial dalam membangunkan perniagaan, dia memanfaatkan sumber itu dalam memperkenal produknya di alam maya empat tahun lalu.

Menggunakan jenama Vanilicious, dia memperkenal produk pastri berupa biskut gula bercorak (sugar cookies) dan pavlova iaitu sejenis kek meringue yang ketika itu tidak ramai lagi pembuat pastri yang menawarkan produk pavlova kepada pelanggan.

Menggunakan kesempatan yang ada, Syahirah berjaya mempopularkan manisan itu, bahkan turut menawarkan bentuk pavlova yang berbeza dengan mengubah warna dan mengekalkan tekstur meringue yang rapuh di luar, lembut di dalam serta meletakkan hiasan coklat dan buah-buahan.

Jika diamati, karakter-karakter comel seperti unicorn dan ekor duyung menjadi signatur produk pastrinya, selain banyak bermain dengan warna-warna pastel, dan paling penting tidak hanya cantik pada penampilan tetapi enak dimakan.

Justeru, tidak hairan pemanis mulutnya begitu popular dalam kalangan pelanggan tetap mahupun pelanggan baharu.

Walaupun proses itu kedengaran agak ringkas dan mudah, hakikatnya kadangkala dia juga ketandusan idea.

Dia banyak melayari Internet untuk melihat idea-idea baharu dari luar negara yang boleh diolah pada produk pastrinya.

Selain itu, Syahirah juga menggunakan kemahiran yang ada dengan mengambil tempahan kek krim mentega berhias untuk pelbagai majlis keraian, kek berhuruf, macaron, eclair, membuat hidangan pencuci mulut, serta biskut dan meringue untuk cenderamata.

Ditemani suami tersayang, Mohd. Raffy Fatlly sepanjang temu bual berlangsung, ujar Syahirah, suaminya adalah insan yang paling banyak memberikan sokongan.

Bahkan, lelaki itu sanggup mengorbankan kerjayanya sebagai jurutera demi untuk melihat Vanilicious kekal relevan dalam industri pastri dan manisan.

Melihat adanya permintaan yang tinggi terhadap produk pastri milik isterinya, Mohd. Raffy berpendapat, tidak ada salahnya jika dia mengambil risiko bekerja sendiri bersama-sama isterinya membangunkan jenama itu.

“Memang agak sukar membuat keputusan melepaskan jawatan yang sudah stabil, tetapi apabila memikirkan tentang kebebasan bekerja sendiri, keluar dari zon selesa untuk mencuba perkara baharu, dan menggunakan peluang mengembangkan bisnes, saya berasakan pengorbanan ini berbaloi.

“Saya juga sudah semakin mahir membuat kek, jadi kurang sedikit beban Syahirah menyiapkan tempahan setiap hari. Saya mengambil peranan untuk membuat asas kek, manakala dia pula membuat dekorasi yang saya masih belum kuasai.

“Kami juga mempunyai seorang pekerja bagi memudahkan kerja-kerja di dapur,” katanya.

Dalam pada itu, Syahirah aktif mengadakan kelas membuat pastri dan dekorasi selepas mendapat permintaan daripada pelanggan tetapnya.