Di sebalik kehebatan karya-karya pelukis agung Renaissance ini, terdapat kebolehan istimewa Leonardo yang lain menjadi bualan banyak pihak. Pelukis agung ini dikatakan mampu menulis dan melukis menggunakan kedua-dua belah tangannya, kebolehan yang sangat jarang dimiliki oleh mana-mana individu.

Namun begitu, kebolehannya ini tidak dapat dibuktikan secara saintifik oleh mana-mana pihak sehinggalah berjaya dibuktikan oleh sekumpulan pakar di galeri lukisan, Uffizi di Florence, Itali yang mengkaji karya pertamanya berjudul Santa Maria Della Nave atau dikenali sebagai Landscape 8P, awal minggu ini.

Hasil penelitian yang dibuat secara saintifik, menggunakan teknologi analisis berjaya menemukan bukti sekali gus mengesahkan iaitu Leonardo adalah seorang ambidextrous atau dwicakat. Ini bermaksud beliau berkebolehan menggunakan kedua-dua tangannya dengan baik.

TERSINGKAP RAHSIA

Dilahirkan pada tahun 1452 di Anchiano, Tuscany berhampiran sebuah pekan Vinci yang akhirnya menjadi nama gelarannya sehingga kini, pelukis agung ini sebelum itu hanya dikenali sebagai Leonardo atau II Florentine disebabkan tinggal berhampiran Florence.

Leonardo yang terkenal sebagai pelukis, pereka dan pemikir tidak menerima sebarang pendidikan formal kecuali membaca, menulis dan mengira. Namun begitu, bakat melukis yang ada dalam dirinya dapat dikesan oleh ayahnya dan ketika berusia 15 tahun Leonardo telah dihantar melukis bersama pelukis terkenal Andrea del Verrocchio di Florence.

Hampir 10 tahun beliau belajar dan mengasah bakat dalam teknik melukis, mengukir dan mempelajari seni mekanikal bersama del Verrocchio.

Lukisan pertama beliau yang berjudul Santa Maria Della Nave ini dihasilkan pada 5 Ogos 1473 ketika Leonardo baru berusia 21 tahun. Menariknya, lukisan ini menonjolkan keindahan dan kecantikan landskap di sepanjang Sungai Arno dan Istana Montelupo dengan begitu teliti. Ketika ini, karya itu dipamerkan di Galeri Uffizi untuk tatapan pengunjung.

Karya Santa Maria Della Nave merupakan gambaran hidup Leonardo ketika beliau tinggal bersama keluarganya dan bermain bersama rakan-rakan sebayanya ketika zaman kanak-kanaknya.

Berpandukan kepada lukisan ini, pengkaji di Uffizi berjaya membongkar ciri-ciri unik yang terdapat dalam lakaran ini. Di bahagian belakang lukisan ini terdapat tulisan yang ditulis secara condong dari kanan ke kiri dan dari kiri ke kanan. Ini menunjukkan Leonardo mampu menulis dengan baik menggunakan kedua-dua belah tangan.

Di bahagian hadapannya pula, tarikh yang dicatatkan ditulis dari kanan ke kiri. Bagaimanapun, skrip yang terdapat di belakang lukisan ini ditulis dari kiri ke kanan. Berdasarkan penemuan ini, pakar percaya tulisan menggunakan tangan kanan dan kiri ini ditulis oleh artis sama.

DWICAKAT

Ambidextrous atau dwicakat bermaksud seseorang yang mampu menggunakan tangan kanan dan kiri dengan cekap sekali. Istilah ambidextrous berasal daripada bahasa Latin iaitu ambi yang bermaksud keduanya dan dexter bermaksud baik.

Menulis menggunakan kedua-dua belah tangan dengan baik merupakan salah satu kemahiran yang sangat luar biasa. Kebolehan luar biasa ini ditentukan berdasarkan kecekapan, kemampuan dan fleksibel dalam menggunakan tangan kanan dan tangan 
kiri.

Di seluruh dunia hanya terdapat kira-kira satu peratus insan istimewa dan mempunyai kebolehan luar biasa ini. Selain Leonardo, tokoh terkenal lain yang mempunyai kebolehan sama ialah Benjamin Franklin dan Albert Einstein.

Bagaimanapun, berdasarkan satu kajian oleh Imperial College London kira-kira sembilan tahun lalu mendapati kanak-kanak dwicakat berpotensi tinggi menghadapi masalah kesihatan, penguasaan bahasa dan akademik berbanding rakan sebaya lain.

Selain itu, dalam kajian sama, remaja yang menggunakan tangan kiri dan dwicakat dua kali lebih berpotensi mengalami gangguan hiperaktif dan kurang tumpuan (ADHD). Bagaimanapun golongan dwicakat menunjukkan simptom yang lebih tinggi berbanding golongan kidal.