“Contoh kes saya diceraikan lebih lapan tahun lalu. Ketika diceraikan di mahkamah depan hakim bekas suami berjanji akan beri RM1,000 sebulan untuk empat orang anak, saya terima. Pada masa sama saya memikirkan apakah jalan yang boleh saya lakukan untuk cari rezeki membesarkan empat orang anak sebab saya tiada kerja tetap.

“Memang selama ini pun saya yang cari duit sediakan belanja makan keluarga sebab suami jarang balik alasannya sibuk buat bisnes. Sewa rumah dia yang bayar dan saya cuma cari duit beli keperluan makanan harian. Tetapi lepas bercerai saya terpaksa keluar dari rumah sewa, sebab tak mampu nak bayar. Ke mana nak pergi, balik rumah emak tak jadi, sebab adik-beradik ramai. Jadi sewa rumah buruk dengan sewa yang termampu saya usahakan.

“Lepas cerai dari sebulan ke sebulan saya tunggu nafkah tetapi tak dapat daripada bekas suami seperti yang dijanjikan. Lepas setahun saya panjat mahkamah untuk buat tuntutan nafkah dan mahu suami dipanggil.

“Tiga bulan kemudian baru mahkamah panggil untuk kes tuntutan saya, malangnya suami tak hadir. Kes tangguh, begitulah dengan panggilan kedua dan ketiga suami tetap tak hadir. Mundar-mandir masa berlalu begitu cepat. Akhirnya dua tahun berlalu nafkah tetap tak dapat juga, suami hilang entah ke mana.

“Nak tergelak pun ada apabila petugas mahkamah tak dapat cari bekas suami supaya hadir ke mahkamah. Sedangkan saya sudah beri alamat lengkap. Alasan keduanya tak jumpa orang, sebab orang tiada di rumah. Kemudian saya beri alamat rumah emaknya sebab emak bapaknya sentiasa ada di rumah untuk terima surat berdaftar. Sekali lagi alasannya tak jumpa alamat.

“Bagaimana pun akhirnya bekas suami datang juga ke mahkamah. Kali ini dia buat ubah perintah yang dia buatnya dahulu, bahawa dia tak beri nafkah pada saya, sebab takut saya yang makan duit nafkah anak-anak. Nak bagi terus kepada anak-anak.

“Tentu saya bantah. Selama lima tahun lepas bercerai siapa yang bagi anak-anak makan? Bukankah saya? Orang yang berhempas pulas membanting tulang siang malam cari duit untuk besarkan anak-anak! Tak pernah pun bekas suami datang jenguk anak-anak, apatah lagi bekas mentua yang tak pernah bertanya khabar cucu-cucunya, seolah-olah lepas bercerai, bukan sahaja bekas menantu dibuang, malah cucu-cucu pun sama. “Pada mereka, bercerai bermakna putusnya hubungan antara bekas isteri dan anak-anaknya, dengan bekas suami juga mentuanya. Lihatlah betapa kejamnya perangai seorang wanita wanita yang bergelar nenek.

“Di mahkamah saya tetap memohon bayaran dan tunggukan nafkah diteruskan dan bayaran nafkah hendaklah diberikan kepada saya bukan kepada anak-anak. Hakim bersetuju, bekas suami mesti menjelaskan tuntutan nafkah seberapa segera. Itu keputusan hakim dan pada saya itu adalah muktamad. Bekas suami mesti segera buat bayaran.

“Bekas suami terpaksa terima keputusan hakim dan berjanji akan bayar nafkah termasuk tunggakan nafkah. Hakim juga bersetuju dengan keputusan bekas suami.

“Seperti diduga, keputusan mahkamah kali kedua ini juga bekas suami tidak ambil peduli,. Padanya janji depan hakim itu samalah seperti berjanji depan saya. Tidak ada siapa yang boleh ganggu dia.

“Pada dia kalau keputusan hakim dahulu pun dia boleh lepas, apa masalah dengan hukuman hakim kali ini. Sama sahaja. Tak ada siapa boleh bertindak ke atasnya. Tetapi entah siapa yang menasihatkan, akhirnya bekas suami ke mahkamah dia buat ubah pindaan penghakiman.

“Saya dipanggil ke mahkamah dan diberitahu oleh peguamnya bahawa bekas suami telah membawa beberapa butiran yang mengesahkan dia telah membayar sebahagian tunggakan nafkah kepada anaknya dengan mengemukakan beberapa helai kertas yang bertanda tangan anak-anak saya, katanya bayaran tersebut dikira sebagai nafkah juga.

“Pasti saya bantah. Pertama, sebab butiran yang dikemukakan itu adalah resit palsu, tandatangan palsu, bukan milik anak-anak saya dan barangan yang dibelikan itu tidak ada. Melihat kepada butiran tersebut sudah tentu membuat darah saya cepat naik, bukan sahaja kerana tanda tangan palsu, tetapi mengapa hakim terima permintaan ubah perintah sedangkan hakim telah membuat keputusan dalam perbicaraan terdahulu, bahawa hakim telah memutuskan supaya tuntutan nafkah beserta tunggakan nafkah hendaklah disegerakan pembayarannya. Itu keputusan hakim.

“Tetapi kali ini mengapa bekas suami dibenarkan buat ubah perintah dengan mengemukakan bayaran dengan bukti palsu. Anak-anak apabila saya beritahu tentang keputusan dan perbuatan ayahnya mengamuk sakan, sebab mereka mendakwa mereka tidak pernah berjumpa ayahnya apalagi membuat tanda tangan ke atas pembelian yang tidak wujud.

“Keputusan mahkamah seperti inilah yang membuat kami ibu-ibu tunggal malang berasa amat lebih malang dan terpedaya. Kami menunggu bayaran nafkah tetapi jika tuntutan kami ditangguhkan dengan tindakan peguam bela menafikan hak kami dengan mengemukakan bukti bukti palsu tentulah kami boleh sakit jiwa kerananya.

“Apa yang amat mengecewakan saya pada awalnya hakim telah bersetuju untuk pembayaran nafkah dan tunggakan disegerakan, tetapi dengan ubah perintah ini, saya terpaksa menunggu lagi mungkin setahun mungkin dua tahun untuk mendapatkan keputusan, jadi jangan salahkan kami jika kami cepat marah, melenting dan mengamuk jika permohonan kami tidak diselesaikan segera. Berapa lama lagi kami mesti terseksa dengan perbuatan kejam bekas suami yang tidak mahu membayar nafkah anak-anak, sedangkan itu tanggungjawab mereka.

“Lebih dikesali, bekas suami yang sanggup keluarkan wang yang banyak untuk bayar khidmat peguam bagi membela mereka supaya tidak perlu bayar nafkah anak. Di sini jelas bekas suami bukan sahaja ingkar kepada perintah mahkamah, bahkan dia ingkar perintah Allah supaya menjaga anak-anak yang menjadi tanggungjawabdan amanah kepada mereka.

“Di sini saya ingin mengambil kesempatan mengharapkan para hakim sebelum membuat keputusan tentang bayaran nafkah, sepatutnya menasihatkan para suami bahawa dia telah dimanahkan oleh Allah supaya membayar nafkah anak-anak sebaik sahaja dia menceraikan isterinya. Bukan menjadi tanggungjawab seorang isteri menyara kehidupan anak-anak.”katanya.

Itu cerita Norafizah panjang lebar tentang masalah tuntutan nafkah anak-anak yang masih lagi tergantung. Katanya dia tidak pernah minta berapa banyak bekas suami nak beri nafkah, dia sedia terima, tetapi itu pun bekas suami tidak pernah laksanakan.

Ini semua kerana kelemahan tindakan pihak mahkamah syariah sendiri, yang buat ramai lelaki keras kepala, berbangga kerana terlepas daripada tanggungjawab bagi nafkah anak-anak selepas bercerai, kata Norafizah lagi.