GEORGE THYE
GEORGE THYE 

Faktor ibu bapa sibuk bersiap untuk ke pejabat menyebabkan mereka tidak sempat menyediakan sarapan untuk anak-anak. Justeru, terdapat ibu bapa mengajar anak-anak supaya terus mengambil makan tengah hari yang dianggap mampu memberikan nutrisi untuk tenaga bagi kegunaan seharian. Akhirnya ia menjadi satu amalan sehingga anak-anak tidak gemar menikmati sarapan.

Pakar Nutrisi, George Thye memberitahu, sarapan sangat penting untuk memberikan tenaga yang mencukupi bagi menjalankan aktiviti seharian.

Menurutnya, tidak mengambil sarapan akan menyebabkan anak-anak cenderung memiliki berat badan berlebihan, masalah dalam pembelajaran selain kurang aktiviti fizikal.

“Ramai ibu bapa mengambil mudah mengenai sarapan. Mereka lebih suka memberikan wang saku kepada anak-anak untuk makan pada waktu rehat di sekolah.

“Sepatutnya ibu bapa menjadi contoh kepada anak-anak dengan mempraktikkan amalan penyediaan sarapan yang mudah dan berkhasiat,” katanya pada bengkel Milo Pack in the Energy for Champions Bento Box di Petaling Jaya baru-baru ini.

Mengulas lanjut, George turut memberitahu faktor kesibukan ibu bapa juga membuatkan mereka kadangkala tidak mempunyai masa untuk menyediakan sarapan.

“Sebenarnya tidak susah untuk menyediakan sarapan yang berkhasiat untuk anak-anak sebelum mereka memulakan aktiviti harian.

“Ibu bapa boleh menggunakan bahan-bahan mudah dan berkhasiat seperti telur, roti bijirin gandum (wholemeal), salad dan tomato ceri yang mudah disediakan dalam masa tidak sampai 10 minit,” katanya.

SEORANG ibu dan anak perempuannya memikirkan idea untuk menghasilkan sarapan yang menarik.
SEORANG ibu dan anak perempuannya memikirkan idea untuk menghasilkan sarapan yang menarik. 

Tambahnya, bagi meningkatkan selera makan si kecil, ibu bapa boleh menghias bekalan makanan seakan-akan bentuk ikon kegemaran anak-anak.

“Dekorasi makanan seperti ikan, sotong, iron man, atau arnab mampu membuatkan si kecil berminat untuk makan sarapan yang disediakan.

“Ini secara tidak langsung membantu memberikan tenaga dan khasiat yang mencukupi kepada anak-anak untuk terus fokus dalam pelajaran di sekolah,” katanya.

DR. JASMINE Lim Iskandar bersama anaknya menghias sarapan yang disediakan.
DR. JASMINE Lim Iskandar bersama anaknya menghias sarapan yang disediakan. 

WARNA TINGKAT 
DAYA TARIKAN

Pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan adalah sangat digalakkan dalam kalangan masyarakat.

Warna setiap buah-buahan dan sayur-sayuran bukan sahaja memberikan nutrisi makanan yang seimbang, malah mampu meningkatkan daya tarikan makanan yang disediakan.

Bahan-bahan inilah yang boleh digunakan oleh ibu bapa untuk mencantikkan sarapan yang disediakan. Jadi, ibu bapa perlu bijak bermain dengan warna dalam penyediaan sarapan.

IBU dan anak sedang memilih bahan makanan untuk menyiapkan sarapan.
IBU dan anak sedang memilih bahan makanan untuk menyiapkan sarapan. 

George memberitahu, buah-buahan dan sayur-sayuran kaya dengan nutrisi yang baik untuk kesihatan dan digalakkan bagi dijadikan bahan utama dalam penyediaan sarapan.

“Jagung, tomato, strawberi, anggur, salad dan pisang dapat digunakan terutama untuk menghasilkan bekalan makanan comel untuk si kecil.

“Bukan sahaja mampu memberikan kelainan kepada masakan yang dihasilkan, namun turut memberikan khasiat yang diperlukan anak-anak,” katanya.

Dalam pada itu, George menegaskan, ibu bapa perlu berusaha untuk memastikan sarapan disediakan secara konsisten untuk anak-anak.

“Ini kerana, ibu bapa akan memberikan contoh terbaik mengenai pengambilan sarapan yang betul dengan memasukkan bahan-bahan berkhasiat dan tinggi protein,” katanya.