Semuanya berpunca daripada masalah komunikasi. Antara faktor-faktornya adalah kesibukan masa, berkaitan sikap atau tabiat hidup setiap individu yang antisosial termasuk penggunaan media sosial secara melampau sehingga melekakan. Akibat kegagalan komunikasi yang positif antara individu, maka banyak perkara yang sepatutnya dapat diluahkan secara baik dan dibincangkan secara jujur ketika peringkat awal gagal dilakukan. Apabila perasaan tidak puas hati ini dipendam begitu lama, akhirnya ia tidak dapat dibendung lagi dan meletuslah kemarahan, dendam dan benci terutama terhadap orang yang tersayang. Maka berlakulah perselisihan besar hingga ada yang memutuskan hubungan adik-beradik. Lebih parah lagi, jika berlaku kegagalan komunikasi antara ibu bapa dengan anak-anak sehinggakan ada anak yang sanggup menderhakai ibu bapanya sendiri. Ibu bapa pula sanggup memutuskan hubungan mereka dengan anak. Jika melibatkan berlaku suami isteri, berlaku pula perceraian.

Hal ini terjadi kerana wujudnya `kesedaran keegoan’ yang tinggi. Jika bercakap mesti kita sahaja betul dan tidak mahu mengalah. Sebab itulah orang di sekeliling enggan atau mengelak daripada berkomunikasi dengan kita. Untuk mengatasi masalah ini, salah seorang perlu mengalah dan turunkan ego. Contohnya kalau suami seorang yang baran, cepat melenting (kesedaran keegoannya tinggi) isteri perlu mengalah. Mengalah, bukan erti kalah.

Ingatlah, orang paling kuat ialah yang paling banyak bertoleransi. Orang yang `kesedaran ketuhanannya’ tinggi boleh menerima manusia seadanya. Orang yang bijak seboleh-bolehnya berusaha mengelakkan situasi buruk berlaku. Orang yang seperti ini akan mencegah masalah seawal mungkin atau mencegah masalah sebelum ia menjadi besar dan rumit hingga ke peringkat buntu.

Justeru, kaedah terbaik mencegah pergaduhan adalah melalui komunikasi. Pertama, menghormati dan memahami perasaan orang yang tersayang. Sentiasa merasakan semua orang baik. Lupakan segala kebaikan kita terhadap orang lain. Juga semua kejahatan orang lain kepada kita. Sebaliknya ingatlah semula setiap kebaikan mereka terhadap kita.

Kedua, berusaha bersihkan hati dan banyakkan bersabar. Contoh, walaupun suami atau isteri berasa tidak puas hati dan berasa hendak marah kepada pasangan masing-masing, terimalah seadanya mereka. Cari persamaan bukan perbezaan dan carilah kebaikan bukan keburukan. Kata Mufti Ismail Menk: “Hati yang indah memungkinkan kamu untuk melihat kebaikan pada diri semua orang sementara lidah yang indah memungkinkan semua orang melihat kebaikan dalam dirimu.” Bersyukur kerana ada isteri atau suami. Ramai orang ingin berkahwin, tetapi tiada jodoh. Bersyukur kita ada anak-anak hasil perkongsian hidup sebagai suami isteri, sedangkan banyak orang mahukan anak, tetapi gagal. Apabila banyak bersyukur, kita tidak akan banyak mengeluh, merungut, menyesal dan mengumpat, sekali gus komunikasi akan terjaga.

Ketiga, berlemah lembut dan berkasih sayang dalam komunikasi. Bagaimanakah hendak membawa isteri ke syurga, jika suami tidak mampu mendidik dan mendorong isteri jalan ke tempat yang indah itu. Manusia tidak akan menerima pelajaran dan nasihat dengan kemarahan tetapi manusia menerima pelajaran dan nasihat melalui kelembutan. Cuba lihat, adakah punca kemarahan itu disebabkan perkara asas atau perkara ranting? Kalau marah isteri misalnya, adakah cara komunikasi kita dilakukan dengan betul? Kalau kata isteri tidak elok, sebenarnya ini gambaran kita juga tidak elok. Wanita tidak elok hanya akan diambil oleh lelaki yang tidak elok. Anak-anak dan isteri cerminan suami. Sekiranya anak-anak nakal dan isteri pula tidak mendengar kata, asyik melawan sahaja, maknanya kita kurang memberi perhatian dan penghargaan kepada mereka.

Keempat, tingkatkan akaun emosi dengan memenangi hati. Seperti kata Ali bin Abi Talib:“Kebijaksanaan adalah sebuah pohon yang tumbuh bersemi di hati dan berbuah di lidah.” Maknanya perlu betul cara dan bijaksana. Contohnya dengan adik-beradik. Jangan terus tegur atau marah atas perbuatan buruk tetapi tingkatkan akaun emosi. Tunjukkan kasih sayang terhadap mereka. Berikan kata-kata yang menyeronokkan. Imbau kembali keseronokan hidup adik-beradik ketika kecil dahulu. Tonjolkan kebaikannya dan perangai berhemahnya semasa kecil yang menjadi kebanggaan keluarga. Tatkala akaun emosi sudah tebal, baru cakap dengannya:“Nak tegur sikit boleh tak?” Kalau dia masih tidak boleh terima, tidak perlu teruskan kerana komunikasi itu tidak akan menjadi apabila receiver atau penerima belum boleh atau belum hendak menerima segala nasihat dan pesanan.

Demikianlah betapa pentingnya komunikasi positif dalam membina hubungan kekeluargaan yang harmoni. Sekarang ada Facetime dan Skype. Walau sesibuk mana sekalipun, pasti ada cara untuk kita berkomunikasi dengan keluarga. Jika rasa tidak boleh berkomunikasi bertentang empat mata dengan orang tersayang, hantarlah pesanan ringkas untuk menyalurkan perasaan positif. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.