Ketua Unit Perniagaan Strategik Nestle Ice Cream, Nestle S.A, Hans-Ulrich Mayer berkata, kios ais krim itu menjana tenaga daripada sinar matahari menerusi panel fotovoltaik (PV) untuk memastikan ais krim dalam penyejuk beku kekal beku pada suhu maksimum -25 darjah Celsius tanpa kos tenaga.

“Ia merupakan perjalanan inovasi bagi penyelidikan dan perancangan untuk membangunkan teknologi kios ais krim tenaga suria.

“Kami sangat berbesar hati melancarkan inovasi baru untuk penyejuk beku kami di Malaysia.

“Usaha kami hari ini adalah sejajar dengan matlamat kelestarian Nestle untuk menjana 100 peratus keperluan tenaga daripada sumber yang boleh diperbaharui,” kata Mayer dalam satu kenyataan.

Turut hadir Pegawai Eksekutif Perniagaan Nestle (Malaysia) Berhad, Teo Heng Keat dan Pengurus Besar Kanan Sunway Theme Parks, Calvin Ho.

Sementara itu, Heng Keat berkata, pihaknya memperkenalkan kios ais krim tenaga suria untuk meneruskan komitmen kelestarian syarikat terhadap alam sekitar.

“Sebelum kios ini diperkenalkan, kami telah memperkenalkan 13,000 penyejuk beku ekodi di seluruh Malaysia pada 2015. Penyejuk beku ini memerlukan setengah tenaga berbanding model dahulu.

“Selain itu, kami menggunakan penyejuk beku semula jadi untuk mengekalkan ais krim pada suhu yang tepat,”katanya.

Selain itu, katanya, setiap satu kios ais krim tenaga suria berfungsi 100 peratus tanpa bekalan elektrik dan boleh mengurangkan emisi karbon dioksida sehingga 263 kilogram setahun.

Tambahnya, pengecasan yang dijana oleh sinaran suria dalam sehari boleh membekalkan tenaga kepada kios ais krim tenaga suria Nestle selama dua hingga tiga hari.

Malah, katanya, keupayaan itu membolehkan kios tersebut dibuka di lokasi pedalaman dan di tempat tumpuan ramai yang tidak mempunyai capaian tenaga elektrik seperti pasar malam, tepi pantai atau taman.

“Malaysia merupakan negara terbaik untuk memperkenalkan kios ais krim tenaga suria kerana ada sinar matahari sepanjang tahun.

“Kami berharap kios ini dapat memberi inspirasi kepada syarikat lain untuk turut menyahut cabaran dan mencari cara baharu bagi mengurangkan emisi karbon dioksida,” ujar Heng Keat.

Pihaknya bercadang melancarkan untuk lebih banyak kios tenaga suria di seluruh negara dalam tempoh terdekat ini.