Khaysha Mohd. Faizal Sivananthan, 24, bersyukur apabila impian untuk menjadi seorang juruterbang sejak berusia 15 tahun tercapai setelah dua tahun setengah bertungkus lumus menamatkan pengajian dalam bidang yang diminatinya itu.

Baginya, perjalanan untuk menjadi seorang ‘pilot’ bukan mudah dan banyak perkara yang perlu dipelajari kerana memerlukan tekad, keazaman dan usaha yang berterusan semasa belajar.

 

Menurut gadis yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Penerbangan Kedua (Second Officer) dengan syarikat Penerbangan Malaysia Airlines (MAS), cabaran terbesar yang ditempuh dalam usaha menjadi juruterbang adalah proses pembelajaran.

“Saya perlu menempuh pelbagai kelas sepanjang 18 bulan kursus selain sentiasa bersedia menghadapi ujian simulator untuk mengendalikan pesawat. Malah, saya juga perlu bersedia menghadapi ujian simulator yang diadakan setiap enam bulan sekali sehingga bersara.

“Sebanyak 15 ujian perlu dilepasi dan 200 jam masa penerbangan perlu dicapai sebelum berjaya mendapat pentauliahan sebagai juruterbang,” katanya.

Biarpun pelbagai dugaan terpaksa dihadapi sebelum bergelar juruterbang, Khaysha tidak pernah berputus asa. Malah, setiap kali dia gagal dalam ujian penerbangan, Khaysha akan terus berusaha lebih gigih.

Meskipun sukar menerima hakikat gadis ini ingin menceburi bidang yang didominasi lelaki, keluarga Khaysha akhirnya akur dan kini menjadi sumber kekuatan buatnya untuk meneruskan kerjaya dalam bidang tersebut.

“Semasa belajar sekiranya saya berasa penat dan hampir berputus asa, keluargalah yang banyak memberi sokongan. Malah, saya meletakkan gambar ibu bapa di atas meja belajar sebagai sumber kekuatan.

“Jangan pernah lupakan keluarga meskipun kita sudah berjaya satu hari nanti,” katanya.