Mesra dengan panggilan Nizam, dia dilahirkan seperti kanak-kanak normal lain tetapi takdir telah mengubah segalanya apabila usianya meningkat remaja. Seluruh tubuh dan kakinya lumpuh. Khairul Nizam tidak dapat menguruskan dirinya dan hanya mengharapkan bantuan keluarga. Berbekalkan tiga jari kanan yang boleh bergerak, Nizam tekad membantu keluarganya,

“Kami bukan berasal daripada keluarga yang senang. Saya mengerti kesusahan ibu bapa saya. Apabila saya melihat mereka dan adik-adik saya, saya tekad mengubah nasib keluarga,” kata anak sulung daripada enam adik-beradik ini.

Khairul Nizam mengakui jasa keluarganya terutama ibunya, Norizan tidak ternilai. Jasa ibunya sangat besar. Dia masih ingat ibunya sanggup membanting tulang empat kerat dengan menjual sate untuk mencukupkan perbelanjaan keluarga. Tidak cukup dengan itu, ibunya sanggup membuat kerja tambahan lain untuk memastikan dia dan adik-beradik tidak berlapar.

Sejak itu, Khairul Nizam mahu memastikan keluarganya keluar daripada kepompong kehidupan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Dengan bertemankan kerusi roda, Khairul Nizam mengorak langkah kejayaan. Walaupun persekolahannya terhenti di pertengahan jalan, ini tidak membantutkan niatnya untuk berjaya. Bercerita tentang penglibatannya dalam perniagaan dalam talian (online), Khairul Nizam bermula sejak lima tahun lalu. Ketika itu, ibunya membuka kedai runcit kecil-kecilan dan kebetulan ramai bertanya tentang kad prabayar.

“Masa itu saya terfikir untuk menjalankan perniagaan kad prabayar. Selama enam bulan berniaga, saya lihat hasilnya memberangsangkan. Hasil modal daripada penjualan kad prabayar saya terus menjalankan perniagaan online.

AHLI keluarga menjadi nadi kekuatan kepada Khairul Nizam untuk terus berjaya dalam bidang keusahawan
AHLI keluarga menjadi nadi kekuatan kepada Khairul Nizam untuk terus berjaya dalam bidang keusahawan.

“Pada masa itu saya juga menyertai rancangan realiti televisyen dan radio berkaitan impian dan perniagaan. Lama-kelamaan saya terdorong untuk memberi tumpuan dalam bidang perniagaan online selepas memiliki sebuah laptop,” ujarnya.

Bercerita tentang keseronokan berniaga, Khairul Nizam mengakui bidang ini seperti satu ketagihan. Dia sanggup bersengkang mata menghadap laptop. Semakin hari ilmu dalam perniagaan online semakin bertambah apatah lagi selepas Khairul Nizam melibatkan diri dalam perniagaan online E-Bay.

Bermula daripada situ, Khairul Nizam menguasai sistem perniagaan melalui Facebook. Kemudian berbekalkan modal RM 6,000, Khairul Nizam dan ibunya bertekad untuk memulakan perniagaan minyak wangi gred AAA. Usaha mereka membuahkan hasil apabila pendapatan mereka sekeluarga pernah mencecah RM400,000 sebulan.

Bak kata pepatah, langit selalunya tidak cerah, suatu hari stok minyak wanginya dirampas oleh pihak berkuasa. Namun itu tidak mematahkan semangatnya malah menjadi motivasi untuk Nizam berjaya.

Khairul Nizam mengambil keputusan mencipta jenama minyak wangi sendiri. Pengalaman lima tahun yang dikumpulnya menjadi sandaran. Maka, lahirlah jenamanya sendiri, DewAmor iaitu Dew membawa maksud embun dan Amor bererti cinta dalam bahasa Itali.

Bagaimanapun akibat salah percaturan Khairul Nizam mengalami kegagalan dalam perniagaan tersebut. Sungguhpun begitu adiknya, Siti Suriani Wahiddin, 19 lebih dikenali sebagai Siti Jamumall memberi suntikan semangat agar Khairul Nizam bangkit daripada kegagalan. Dengan membina satu syarikat yang diberi nama Jamumall Sdn Bhd dan membina platform jualan Jamumall.com Khairul Nizam cuba mengorak langkah.

Menurut Siti Suriani, ketika itu dia berusia 17 tahun dan sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi terpaksa berkorban kerana mengikut abangnya itu ke Jepun untuk menghadiri satu persidangan.

“Saya tahu bahawa abang saya itu tidak boleh bergerak sendirian disebabkan keadaan fizikalnya. Jadi, abang memerlukan saya dan sebagai seorang adik, kasih dan sayang terhadap abang kandung saya ini tidak pernah berbelah bahagi.

“Maka saya mengambil keputusan ketika itu untuk berkorban dan mengikut abang ke Jepun sedangkan rakan-rakan sebaya pula menduduki peperiksaan SPM,” katanya. Sambil memandang ke arah wajah adik perempuannya, Khairul Nizam sebak dan menyambung, memang benar adik perempuannya itu banyak berkorban deminya dan keluarga.

Alhamdulillah, kini dia bangga apabila Jamumall.com telah mencapai satu tahap tertinggi sehinggakan beliau mampu mengecapi kemewahan dan berkongsi kesenangan hidupnya dengan orang lain. Jauh sekali membangga diri, Khairul Nizam cuma ingin menyampaikan bahawa semuanya tidak mustahil jika masing-masing berusaha dan menanam azam yang tinggi dalam diri untuk berjaya.

“Saya melihat ramai antara kita yang malas untuk berubah. Pelbagai alasan diberikan. Mereka juga mudah putus asa apabila berdepan dengan cabaran. Ini semua hanya memakan diri sendiri. Ramai memilih kerja yang senang tidak mahu susah dan memilih untuk hidup susah sedangkan mempunyai tubuh badan yang sihat dan sempurna,” jelasnya.

Daripada situ terdetik di hati Khairul Nizam untuk membantu mereka yang susah. Sesungguhnya kejayaannya itu adalah berkat kesungguhan yang ada dalam dirinya dan kesemua nilai positif itu kini digarap ke dalam pasukannya sekarang. Khairul Nizam menyeru masyarakat di luar sana bangkit, bersemangat dan berjaya sepertinya.