Perkataan diorama tercipta pada 1822, berasal dari Perancis yang bermaksud ‘melalui pandangan’ dan dicipta oleh Louis Daguerre serta Charles Marie Bouton manakala dipamerkan buat pertama kali di Paris pada Julai 1822 dan London pada 29 September 1823.

Ahmad Jafri Saiman, 51, merupakan salah seorang peminat diorama memberitahu, jika miniatur yang dipamerkan hanya sebuah rumah atau bangunan maka itu bukan diorama sebaliknya hanyalah replika atau model.

DIOROMA deretan kedai dan sawah padi yang terdapat di Kampung Pasir Pekak. MINGGUAN/Moniz Mohd Niza
DIOROMA deretan kedai dan sawah padi yang terdapat di Kampung Pasir Pekak. 

Diorama mempunyai cerita tersendiri dan bagi ahli perniagaan ini, melalui minat yang baru diceburi sejak dua tahun lalu telah berjaya menarik ikutan hampir 40,000 pengikutnya di Facebook.

Apa yang menarik tentang diorama hasil olahannya buat kali pertama ialah suasana perkahwinan orang Melayu sekitar tahun 70-an malah dianggap terbesar di Malaysia.

Kampung tersebut digelar oleh Ahmad Jafri sebagai Kampung Pasir Pekak mempunyai keluasan 1.5 meter lebar dan 3 meter panjang . Mempunyai minatur penduduk kampung, suasana rumah kampung, sawah padi, tali air, air terjun, deretan kedai selain kenderaan, periuk belanga dan balai makan, pelamin, kerusi serta meja.

JALAN masuk ke Kampung Pasir Pekak
JALAN masuk ke Kampung Pasir Pekak 

Bukan sekadar diorama biasa, Ahmad Jafri menghasilkan penceritaan tentang kehidupan penduduk kampung dengan watak-watak seperti Minah, Abu dan watak sampingan seperti Suzy, Din Prewel, Senah Janda dan Ustaz Rashid selain beberapa watak anggota kumpulan samseng.

Bermula dengan diorama pembukaan kampung, pengenalan setiap watak, percintaan Minah dan Abu selain gangguan orang ketiga seperti Suzy dan kumpulan samseng sehinggalah hari perkahwinan Minah dan Abu akan diceritakan setiap hari oleh Ahmad Jafri seperti sebuah episod drama menggunakan medium media sosial itu.

SUASANA persandingan Minah dan Abu
SUASANA persandingan Minah dan Abu 

“Saya juga terkejut kerana cerita tentang penduduk Kampung Pasir Pekak ini mempunyai pengikutnya tersendiri malah ada yang mahu cerita Kampung Pasir Pekak 2 dihasilkan untuk mengetahui apa terjadi pada watak-watak berkenaan selepas Minah dan Abu berkahwin,’’ katanya.

Ahmad Jafri juga seorang jurugambar dan pelukis selain penulis aktif sekitar tahun 80-an dengan nama pena Ajasman berkata, dia ‘terjebak’ dalam pembikinan diorama itu kerana menganggapnya sebagai salah satu cabang seni.

SALAH sebuah diorama aktiviti penduduk Kampung Pasir Pekak
SALAH sebuah diorama aktiviti penduduk Kampung Pasir Pekak 

“Diorama mempunyai banyak kaitan dengan lukisan cuma ia tiga dimensi selepas saya melihat sendiri diorama ini saya 10 kali jatuh cinta dan sejak itu saya meneroka bidang ini melalui internet,’’ katanya.

Pemilik kedai permainan alat kawalan jauh itu berkata, dia menggunakan skala diorama 1/35 yang kemudian disusun menjadi sebuah kampung namun kepuasan baginya ialah penghasilan setiap objek contohnya air yang menyerupai bentuk sebenar selain berjaya menggunakan teknik pewarnaan lusuh untuk pada atap zink untuk menggambarkan suasana pada zaman 70-an.

“Setiap miniatur dalam diorama ini adalah 90 peratus hasil kerja tangan saya kecuali kenderaan dan figura,’’ katanya.

PENYUSUNAN miniatur diorama menggambarkan persiapan untuk memasak bagi majlis perkahwinan.
PENYUSUNAN miniatur diorama menggambarkan persiapan untuk memasak bagi majlis perkahwinan. 

Projek pembinaan sebuah kampung itu mengambil masa setahun dengan tempoh enam bulan digunakan untuk membuat lay-out kemudian enam bulan kemudian dilukis selama lapan jam tanpa henti untuk menghasilkan suasana kampung.

DIORAMA aktiviti memancing di Kampung Pasir Pekak
DIORAMA aktiviti memancing di Kampung Pasir Pekak. 

Katanya, cerita tentang kampung itu turut dikongsi oleh sebuah kumpulan diorama dari Indonesia melalui 30,000 perkongsian malah katanya kebanyakan pengikutnya merupakan masyarakat luar negara seperti Thailand dan Vietnam.

“Mungkin diorama suasana kampung yang saya hasilkan itu sama seperti suasana kampung di negara mereka,’’ katanya.

Mereka yang berminat untuk mengikuti kisah Kampung Pasir Pekak boleh melayari Facebook Abam Jeff Drc atau ingin membikin diorama boleh mengikuti tutorial Drc Toys melalui YouTube.