Namun kata pemiliknya, Fateen Aqeela Zamaludin, 27, Glaze Eatery menghidangkan menu makanan gabungan Asia dan barat yang memenuhi citarasa pelanggan pelbagai bangsa dengan harga berpatutan.

Justeru tidak hairanlah restoran ini sentiasa penuh dengan pelanggan bukan sahaja terdiri daripada mereka yang bertugas di kawasan berhampiran malah pelajar sekolah.

Hidangan gabungan Asia dan barat yang paling menyerlah ialah pasta masak lemak cili api yang memang amat kena dengan mereka yang menggemari masakan pedas malah tahap kepedasannya cukup mengujakan.

Tidak berkuah sebaliknya masak lemak cili api yang kering namun cukup berperisa dengan rasa serai dan daun kunyit digaul bersama pasta serta ditambah ketulan ayam atau chicken poppers goreng, menambah lagi keenakannya.

“Menu ini baharu diperkenalkan dua minggu lalu dan memang mendapat sambutan mengalakkan daripada pelanggan. Pada awalnya kami bercadang untuk mencipta menu pasta rendang namun olahan tidak menjadi maka terhasillah menu pasta masak lemak cili padi,” katanya.

Turut mendapat sambutan daripada pelanggan ialah hidangan butter chicken dengan kuah mentega yang tidak pekat menyaluti ayam goreng garing, mengurangkan rasa muak dihidang bersama-sama nasi, salad dan keropok.

Setiap hari bermula pukul 12 tengah hari sehingga 2 petang dan 8 malam sehingga 10 malam, Glaze Eatery mengadakan promosi hidangan lengkap butter chicken itu bersama-sama teh O ais pada harga RM10 sahaja.

Pelanggan yang terlewat untuk bersarapan boleh sahaja menikmati pelbagai hidangan sarapan yang disediakan sepanjang hari di restoran ini seperti big breakfast yang menjadi pilihan ramai pelanggan.

Big breakfast terdiri daripada roti bakar, sosej ayam, telur hancur, kepingan daging salai, salami ayam, hashbrown, cendawan serta tomato ceri ataupun pilih sahaja hidangan roti bakar dengan hidangan sampingan lain.

Selain hidangan nasi dan pelbagai masakan ayam, menu pilihan Asia di restoran ini termasuklah nasi goreng, mi dan kuey teow. Hidangan barat pula adalah seperti pelbagai hidangan pasta dan snek serta pencuci mulut.

Menariknya tiada cef profesional tetap di restoran ini sebaliknya empat tukang masak dibantu semua pekerja dapur bekerjasama memasak manakala resipi hidangan pula ada yang diwarisi pekerja melalui resipi keluarga malah ada yang diolah sendiri daripada pengalaman atau beberapa eksperimen yang dilakukan.

Lebih menarik hidangan kopi di Glaze Eatery diolah oleh baristar yang berpengalaman selama 10 tahun dalam penyediaan kopi, Mohd. Dani Baharudin, 26, atau dikenali sebagai Wizzo .

Dia dan Muhammad Iqbal Muhammand Ikhwan, 26, menyediakan kopi istimewa Glaze Eatery menggunakan biji kopi terbaik seperti Brazil Fazenda Rainha yang mempunyai rasa unik iaitu rasa masam limau, badam, coklat ditambah dengan pemanis karamel asli.

Menurut Fateen Aqeela, Glaze Eatery dibuka pada Ogos tahun lalu, tidak pernah lekang dengan pelanggan yang terdiri daripada penuntut dari institusi pengajian tinggi berhampiran dan kakitangan syarikat multinasional termasuk warga asing.

Bekas penuntut Universiti Multimedia (MMU) dalam jurusan ekonomi ini dibantu oleh suami Ahmad Nadzmi Anuar dan adik, Hadi Mukhriz untuk menguruskan restoran ini selain mendapat galakan kuat daripada bapanya.

Restoran bersuasana santai ini mampu menampung 80 pelanggan pada satu-satu masa selain mempunyai kawasan permainan khusus untuk kanak-kanak bagi memberi ruang untuk ibu bapa menjamu selera dengan tenang.