Walaupun dilakukan sekadar hobi dan tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang seni halus, namun dia tidak pernah mengambil sikap sambil lewa dalam menyiapkan karyanya itu. Ini kerana baginya, setiap karya yang dihasilkan akan mencerminkan identiti, jadi dia perlu mementingkan kesempurnaan.

Tidak pernah menyangka bakat melukis yang dimilikinya sejak kecil berjaya membuka mata pengumpul dan penggemar lukisan untuk memiliki karyanya, kuasa tular membuatkan namanya menjadi buah mulut warganet setelah memuat naik beberapa karya bertemakan laut dalam dan ombak di Twitter sebulan lalu.

Menurut anak jati Selangor itu, dia mempelajari kaedah asas melukis ketika di tingkatan lima kerana mengambil jurusan seni, namun tidak menyambung jurusan yang sama ketika di kolej kerana ibu bapanya merasakan jurusan seni halus tidak menjanjikan peluang kerjaya yang luas.

Gadis yang mesra disapa sebagai Nasha itu meneruskan minatnya dalam menghasilkan lukisan akrilik dengan mempelajari sendiri menerusi Internet, di samping mengikuti blog-blog pelukis dalam dan luar negara untuk mengasah kemahiran.

Menghurai mengenai tema bagi setiap lukisan yang dihasilkan, Nasha memberitahu, kesemua karya yang dihasilkan bertemakan alam yang meliputi pelbagai sudut seperti laut dalam, ombak, awan, bulan dan gunung ganang.

“Sebelum menghasilkan sesuatu karya, saya banyak melakukan penyelidikan menerusi pembacaan, melihat sendiri gambaran sebenar ilustrasi yang akan dibuat sama ada berkunjung ke tempat tersebut atau hanya melihat menerusi gambar.

“Selepas memahami inspirasi di sebalik gambaran, saya akan menterjemahkan ke dalam bentuk karya,” katanya ketika ditemui Mega Rona di kediamannya, di Puchong, Selangor, baru-baru ini.

Katanya, yang kini bekerja sebagai artis tiga dimensi (3D) di Syarikat Alfa and Friends Sdn.Bhd., tidak pernah terlintas di fikiran untuk meraih pendapatan sampingan daripada lukisan-lukisannya kerana pada awalnya menganggap sekadar hobi.

Jelasnya, lukisan yang kelihatan seperti ombak sebenar yang tular tersebut dinamakan Bawa Aku ke Pantai selepas mendapat inspirasi daripada lagu dendangan Bil Musa yang berjudul The Beach.

Anak kedua daripada empat orang adik-beradik ini menghasilkan karya dengan tema tersebut kerana keinginan untuk bersiar-siar di kawasan pantai dan cuba menterjemahnya ke dalam lukisan.

Gabungan gelombang warna dan kederasan atau keharmonian suasana laut dalam setiap lukisan memberi efek emosi berbeza bagi audiens berlainan, maka tidak hairanlah dia menerima banyak permintaan daripada pengguna media sosial sejak posting tersebut tular.

Harga bagi setiap lukisan adalah bergantung kepada saiz, bahan-bahan yang digunakan dan masa yang diluangkan untuk menyiapkannya.

Nasha akan meluangkan masa untuk menyiapkan lukisan pada waktu malam kerana ketika itu dia merasa tenang untuk berkarya dengan lebih baik.

Dalam pada itu, Nasha yang pernah membuat pameran seni di Pesta Ke’chill Rantai, Festival Rantai Art berkata, dia sering menjalankan eksperimen dengan pelbagai kombinasi media untuk mengembangkan potensi kerana baginya melalui eksperimen dia dapat mengetahui hasil dan memperbaiki diri menjadi lebih baik.

Gadis ini juga gemar mengikuti perkembangan pelukis tempatan seperti Sofia Haron dan Sofia Kamal yang sering menterjemahkan pelbagai mesej yang menjadi panduan kepadanya untuk berkarya.

Berbicara mengenai penglibatannya secara serius dalam bidang seni halus, lulusan diploma animasi 3D dari Akademi KRU itu, akan memastikan kelangsungan masa depannya dalam bidang tersebut, dengan menyambung pengajian dalam jurusan seni halus kerana mahu meneroka lebih banyak teknik melukis secara formal dan mencapai impian menjadi seorang pelukis seni yang ternama suatu hari nanti.