Kampung tersebut terletak di kawasan Ulu Tembeling. Lebih tepat terletak antara Kampung Pagi dan Kampung Sat. Jalan ke kampung berkenaan kira-kira 500 meter dari jalan utama dan perlu menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Kampung Samas bukanlah tumpuan orang ramai atau pelancong kerana tidak ada aktiviti berkaitan untuk menjadikan ia sebagai kawasan kunjungan.

Namun haki­katnya, Kampung Samas adalah antara kam­pung yang wujud sejak awal lagi ketika pemerintahan Sultan Pahang yang pertama. Kampung itu telah wujud sejak kira-kira 200 tahun lalu.

Kini, kampung ber­kenaan seolah-olah tiada penghuni. Yang tinggal hanya sebuah rumah dengan dua orang penghuni iaitu bapa dan anak.

Mereka masih bertahan sehingga kini. Pasangan bapa dan anak itu tidak mahu berhijrah ke kampung lain kerana berpegang pada ama­nah yang perlu dipikul, seterusnya mengerjakan tanaman demi meraih rezeki.

Yang pasti, semua penghuni lain telah berhijrah sejak sekian lama. Tiada ketua kampung, tiada kemudahan elektrik dan tiada bekalan air paip.

Dua penghuni di situ, Ariffin Maarof, 78, bersama anaknya, Ahmad Jailani Ariffin, 37, meneruskan kehidupan menggunakan bekalan air sungai dan rumah pula diterangi cahaya pelita.

Anak-anak lain serta cucu keluarga berkenaan berada di tempat lain kerana di situ tiada kemajuan atau pembangunan.

‘‘Saya tinggal di sini demi menjaga amanah moyang, datuk dan bapa saya. Mereka telah membuka tanah di sini dan mengusahakan tanaman.

‘‘Jika saya juga berpindah, pasti kampung ini akan terus lenyap,’’ kata Ariffin memulakan perbualan.

Sejak 15 tahun lalu, hanya rumah didiami Ariffin wujud di situ manakala penduduk lain sudah lama berpindah.

Satu ketika dahulu, lebih 50 buah rumah dengan 250 penduduk menghuni kampung itu. Ketika itu, kemu­dahan surau untuk solat Jumaat terletak di pinggir Sungai Tembeling.

“Penduduk mula berpindah sedikit demi sedikit apabila kerajaan membuka tanah rancangan pinggiran di Kampung Sat.

“Ini diikuti pembukaan tanah rancangan Felda. Akhirnya sejak 15 tahun lalu, hanya tinggal sebuah rumah sahaja. Rumah-rumah lain sudah lama dirobohkan,’’ katanya sambil merenung keluar rumah memikirkan sampai bila dia dan anaknya dapat bertahan di situ.

Menurut Ariffin, dia dan anaknya kini mengusahakan tanaman getah seluas lapan ekar selain tanaman cili untuk menyara kehidupan.

“Adakalanya apabila musim buah perah, dapatlah jual RM5 untuk satu tin kecil selain sedikit tanaman buah-buahan bermusim.

“Jika bernasib baik, hasil getah boleh mencecah RM30 sehari. Namun, dalam sebulan hanya dapat toreh 10 hari sahaja disebabkan hujan dan sebagainya,’’ katanya.

Menurutnya, jika dia dan anaknya hendak membuat panggilan telefon, mereka perlu keluar sedikit dari kawasan berkenaan kerana ketiadaan talian telefon.

“Bagi orang lain memang tiada yang menarik dan tiada pembangunan di sini. Namun, saya dan anak masih bertahan kerana di sinilah kami beroleh kedamaian.

“Penduduk yang pernah tinggal di sini tidak lagi kembali untuk meng­usahakan kebun mereka dan ia terbiar begitu sahaja,’’ katanya.

Bagi Ariffin, dalam setahun belum tentu ada tetamu berkunjung ke rumahnya termasuk sanak-saudara.

“Tapi kali ini, saya terkejut kerana tetamu yang datang adalah wakil Utusan Malaysia.

“Terima kasih datang ke sini. Hanya inilah rumah dalam satu kampung,’’ katanya tersenyum sambil mengakhiri perbualan.

Ancaman gajah liar sepanjang masa

ANTARA sebab Ariffin Maarof dan anaknya, Ahmad Jailani jarang meninggalkan rumah dan terus berada di Kampung Samas adalah kerana mahu mengusahakan tanaman getah di situ.

Pengalaman lalu menyaksikan apabila mereka tiada di kampung walaupun untuk sehari, tanaman yang diusahakan termasuk cili akan dimusnahkan gajah liar.

“Pernah kami tiada sehari di Kampung Samas, tanaman rosak dan musnah angkara gajah.

“Kumpulan gajah liar antara tujuh hingga lapan ekor sering melalui kawasan kampung ini. Adakalanya hingga ke pintu dapur rumah kerana mahu cari makanan,’’ kata Ariffin.

Sementara itu, Ahmad Jailani memberitahu, apabila diketahui terdapat gajah liar di kawasan berhampiran, dia dan bapanya akan mengetuk dan membunyikan peralatan untuk membuat bising bagi memberitahu bahawa kawasan di situ ada penghuni.

“Dengan cara ini, gajah-gajah tersebut tidak datang dekat ke kebun kami,’’ katanya.

Ahmad Jailani juga memberitahu, tanaman di situ sering diancam haiwan lain seperti babi hutan dan sebagainya.

“Untuk itu, setiap hari kami kena memeriksa kawasan tanaman,’’ katanya.

Tidak dinafikan dua beranak itu sering mendengar ngauman harimau di kawasan berkenaan.

“Tinggal di kampung ini...kenalah sentiasa berhati-hati dan berjaga. Itulah rutin harian kami,’’ katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Mat Daling, Wan Syahrul Haizan Wan Kamaruddin, 38, memberitahu, dia sering membeli buah perah dan cili daripada Ariffin.

“Saya selalu berulang-alik dari bandar Jerantut ke Kampung Mat Daling. Biasanya saya singgah di Kampung Samas untuk membeli hasil tanaman daripada Pakcik Ariffin,’’ katanya.