Namun begitu, jika berusaha lebih sedikit pastinya hasil tanaman ‘menjadi’. Itulah kepuasan yang diperoleh Nur Syazwani Izyan Jefridin, 26, yang bekerja keras agar pokok kaktus yang ditanamnya sihat, segar dan berbunga.

Hasilnya, beliau berjaya mewujudkan sebuah taman mini yang dihiasi pokok kaktus di Kampung Bunut Payong, Kota Bharu,Kelantan.

“Saya mula berminat untuk menjadikan pokok kaktus sebagai hiasan laman pada tahun lalu. Pada mulanya, saya menanam pokok kaktus sekadar hobi. Tidak ada yang istimewa tentangnya. Tetapi apabila ditanam di dalam pasu tanah liat buatan sendiri, saya lihat cantik pula. Lama-kelamaan, saya semakin berminat untuk menanam pokok kaktus kerana bukan sahaja cantik, malah mudah dijaga,” katanya kepada Mega Rona.

Menurutnya, pokok kaktus adalah sejenis tanaman unik terutamanya dari segi bentuk, duri dan warna. Ada duri kaktus yang panjang, pendek dan berbulu.

“Warna pada durinya pula ada bermacam-macam, antaranya putih, merah, hitam, kuning dan banyak lagi, membuatkan minat saya untuk mengumpul pelbagai jenis pokok kaktus semakin bertam­bah,” ujarnya yang merupakan graduan Diploma Pengurusan di Management, Science University (MSU), Kota Bharu.

Selain pokok kaktus, tanaman hiasan jenis succulent turut menerima sentuhan Nur Syazwani. Menurutnya, tanaman jenis itu tidak berduri, ada yang ‘manja’ dan ada juga yang ‘lasak’, memandangkan pokok kaktus yang kita kenal adalah sejenis berduri dan tahan lasak.

“Memandangkan pasu tanah liat ini daripada jenis terracotta, jadi pokok ini dapat menyerap lebihan air yang disiram walaupun pasu berkenaan telah diwarnakan,”katanya yang turut menjual pasu beserta pokok kaktus secara atas talian melalui laman sosial Facebook, Belipot Craft Ceramic.

Mengulas tentang tip penjagaan pokok kaktus, katanya, kaktus sangat senang dijaga. Walaupun adakalanya beliau tidak menyiram tanaman itu lebih daripada seminggu, namun pokok kaktus dapat bertahan disebabkan fungsi durinya yang mengurangkan pengewapan pada pokoknya.

“Selain itu, pokok kaktus memerlukan cahaya matahari yang cukup untuk proses tumbesaran dan menyiramnya, cukup seminggu sekali sahaja. Ini kerana, air yang berlebihan akan menyebabkan akar pokok mudah reput dan mati,” ujarnya.

Selain itu, katanya, beliau menggunakan tanah campuran iaitu tanah kompos yang mempunyai batu-batu kecil dan pasir agar dapat melancarkan pengaliran air selepas disiram. Baja organik juga boleh digunakan untuk menyuburkan pokok.

Menurutnya, sekiranya pokok kaktus sudah membesar dengan baik, ia perlu segera dipindahkan ke dalam pasu yang lebih besar, diikuti dengan cara pembajaan yang betul. Apa yang penting, pokok kaktus tidak boleh terlebih menerima lembapan atau terlebih siram.

Tambahnya, sesetengah orang percaya, duri pokok kaktus perlu dipotong sedikit untuk mengekalkan tumbesarannya tetapi sebenarnya itu adalah mitos semata-mata. Apa yang penting adalah pencahayaan dan pembajaan yang betul dan itu sudah cukup untuk menjadikan pokok kaktus segar dan cantik.

“Kalau kita lihat pokok kaktus ini..., macam ada selaput kapas, itu tandanya pokok sudah terkena penyakit kutu putih (mealy bug). Cara merawatnya adalah memberus bahagian yang terkena penyakit itu dengan menggunakan berus gigi atau berus yang lembut sehingga hilang,

“Tukar tanah dan gantikan pasu yang baru, kemudian asingkan buat sementara dengan pokok kaktus yang lain supaya jangkitan betul-betul hilang dan tidak terkena pokok lain,” katanya mengakhiri perbualan.