Berpeluang menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif Jutawan Produk.com, Datuk Kamarul Ariffin Jainal Abedeen, 41, siapa sangka daripada ejen insurans, beliau kini mempunyai kilang yang membantu usahawan menghasilkan produk jenama sendiri.

Sepanjang pertemuan santai yang berlangsung di kilangnya yang terletak di Sri Damansara Industrial Park, Bandar Sri Damansara Selangor, berulang kali dia memberitahu, beliau mahu menjadi dirinya yang sebenar, tidak terikut dengan rentak orang lain dan tidak mahu terlalu berbangga dengan kemewahan yang ada. Tuturnya lembut, hakikatnya berbeza dengan ketegasannya setiap kali memperkatakan tentang usaha membantu golongan bumiputera yang mahu berniaga.

 

Mengakui pernah hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, Kamarul Ariffin sudah biasa hidup serba kekurangan. Katanya sejak kecil lagi, beliau sudah biasa berdikari dan bertanggungjawab. Justeru, beliau mahu membantu Melayu keluar daripada zon selesa dan tidak mengharap bantuan semata-mata sebaliknya, berusaha sendiri untuk berjaya dengan berniaga.

Sebelum bergelar usahawan yang berjaya dengan empayar perniagaan, Kamarul Ariffin pernah mengalami kerugian apabila perniagaan burger dan kontraktor gagal. Mengimbas memori tersebut, dia mengalami masalah kewangan sehingga pangsapurinya hampir dilelong bank dan beliau terpaksa menjual keretanya untuk menampung kos hidup.

“Tujuh tahun itu ibarat 70 tahun bagi saya. Kepayahan itu memang sentiasa saya ingat sehingga duit dalam poket pun tiada. Kawan-kawan semua pulaukan saya pada masa itu dan ada yang terkejut melihat kehidupan saya pada hari ini. Namun, saya tidak menyimpan dendam pada mereka. Hari ini ada yang meminta nasihat daripada saya untuk menjadi usahawan berjaya,” katanya.

Bercerita lanjut penglibatannya dalam perniagaan, beliau berkata, bidang ini sangat dekat dengan jiwanya.

Jutawan Produk.com mula berada dalam pasaran sejak tahun 2015 yang bermula dengan menghasilkan reka bentuk pembungkusan produk sahaja.

“Saya menceburi perniagaan dalam industri ini bermula daripada pengetahuan yang kosong. Sememangnya mencabar tetapi saya belajar sepanjang masa mengenai penghasilan produk, bahan-bahan yang baik, pembungkusan dan pemasaran.

“Tambahan pula, saya begitu bertuah mempunyai isteri dan kakitangan yang banyak membantu saya menguruskan kilang ini,” katanya.

Walaupun ramai yang mengatakan menjadi usahawan tidak akan mempunyai masa, Kamarul Ariffin bijak mengatur masanya.

Pada masa lapang, beliau akan menghabiskan masa bersama isteri, Datin Siti Aishah Hamdan dengan melancong di dalam dan luar negara. Tidak ketinggalan, beliau juga gemar memancing ikan dan memelihara burung kakak tua, bela ikan dan memandu kereta sport. Sebagai usahawan, beliau juga tidak mengabaikan tanggungjawab sosial dengan menghulurkan bantuan makanan kepada golongan gelandangan sekitar Kuala Lumpur setiap minggu.

aa
 

"Saya bersyukur kerana isteri juga bekerja dengan saya. Kami ke pejabat dan balik bersama. Jadi tiada istilah tidak ada masa berbincang dan sebagainya. Dalam hidup saya, keluarga ialah keutamaan. Saya akan bahagiakan anak-anak dan isteri, Alhamdulilah segalanya berjalan lancar," katanya.

Bantu penganggur

Dalam pada itu, Kamarul Ariffin secara tidak langsung turut menyahut seruan kerajaan untuk mencari alternatif lain dengan melibatkan diri dalam dunia perniagaan bagi mengurangkan kadar pengangguran ne­gara.

Justeru, syarikatnya menyasarkan supaya golongan muda mengambil peluang sekali gus memiliki produk jenama sendiri.

aa
 

“Fokus utama Jutawan Produk.com adalah untuk melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera menceburi bidang perniagaan berasaskan kecantikan dan kesihatan dengan hanya bermodalkan se­rendah RM13,600 merangkumi se­mua sehingga penghasilan sesuatu produk perniagaan.

“Selain melahirkan usahawan untuk memiliki produk jenama sendiri, kita mengambil tanggungjawab untuk menyediakan pelbagai per­khidmatan termasuk khid­mat nasihat kepada usahawan bermula dengan penentuan jenis produk, sampel produk, botol, jenama, reka bentuk dan pembungkusan serta kelulusan daripada Kementerian Kesihatan.

“Perkhidmatan yang disediakan bermula daripada bawah sehingga u­sahawan memiliki produk pi­lihan masing-ma­sing dan boleh dijual secara terus dalam tempoh tiga bulan,” jelasnya.

Setakat hari ini, JutawanProduk.com telah melahirkan lebih 1,000 pengasas produk yang terdiri daripada 99 peratus usahawan bumiputera. Daripada jumlah itu, 60 peratus berjaya memajukan produk jenama sendiri dan ada antara mereka telah bergelar jutawan produk dalam tempoh kurang daripada lima bulan.

Selain dapat melahirkan peng­asas-pengasas produk yang berjaya, Jutawan Produk.com juga memiliki status pemprosesan produk yang mendapat pengiktirafan sijil Amalan Pengilangan Baik (GMP) di semua kilang dipantau rapi pihak Kementerian Kesihatan.

“Kelebihan yang ada pada kami adalah untuk menjadi ‘pusat sehenti’ kepada us­a­­hawan bagi mendapatkan khid­mat nasihat, kepakaran, penghasilan produk dan pemasaran,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kamarul Ariffin mengharapkan agar golo­ngan muda khususnya mengambil peluang yang disediakan dan le­bih berani untuk menceburi bidang perniagaan.

Bagaimanapun mereka perlu mempunyai minat yang mendalam agar usaha yang dilakukan tidak dipersiakan.

Kami bukan mengeluarkan produk perniagaan, sebalik­nya menjadi pihak yang membantu para usahawan untuk menghasilkan dan mewujudkan produk pilihan berjenama sendiri.