“Benar, saya tak nafikan, tetapi bila semakin dewasa, kita dapat rasakan ada kelebihan dan kekurangan yang kita dapat daripada emak ayah. ’’ Itu pandangan Mashanisah ketika bercerita pengalamannya dipinggirkan keluarga.

“Apa pun saya tak pernah kecil hati apa yang emak dan ayah lakukan terhadap saya. Mungkin kerana kami ramai. Enam orang semuanya, tiga lelaki dan tiga perempuan. Pendapatan ayah tak seberapa, jadi ikut pandangan merekalah sama ada saya boleh sambung belajar atau tidak. Kakak dan dua abang masuk sekolah berasrama. Saya yang nombor empat ini kenalah berkorban. Kata emak, sekolah kat kampung sudah, walaupun saya dapat tawaran masuk asrama.

“Sebab ada dua lagi nak sekolah, kalau kakak masuk asrama, siapa nak tolong emak di rumah. Jadi saya diberi tugas itu. Nak jadikan cerita dua adik tak dapat masuk asrama, tapi emak suruh belajar sampai tingkatan enam. Kemudian seorang masuk universiti dan seorang lagi gagal.

“Bila dah bekerja masing-masing bawa haluan mereka. Tinggal adik lelaki kerja di kampung. Saya setelah bekerja saya berusaha tambah ilmu kemahiran hidup.

“Di pendekkan cerita kakak dan adik perempuan kerja di KL. Bila berkahwin sama-sama naik pangkat dan bergaji besar. Dua abang pun bernasib baik berpangkat dan isteri juga anak orang senang. Kejayaan mereka pasti membanggakan emak ayah. Tapi saya walaupun ada kerja tapi tak berpangkat, samalah dengan suami.

“Jadi harapan emak terletak pada dua orang anak lelakinya yang berpangkat, terutama abang sulung. Situlah harapan emak tertumpah. Tapi peliknya isteri mereka tak berapa sukakan emak.

“Lebih teruk lagi kakak dan adik perempuan saya pun jarang balik kampung apatah lagi suami mereka, sibuk memanjang. Tapi kata emak tak mengapa mereka cari rezeki.

“Apabila ayah meninggal emak tinggal sendirian dengan adik lelaki di kampung. Masa emak sihat dia boleh urus diri sendiri, tetapi setelah emak semakin uzur dan sering sakit. Adik lelaki hantar emak ke rumah abang dan kakak yang kaya untuk dijaga.

“Emak suka duduk rumah anak-anak yang kaya. Rumah saya emak tak berapa suka. Sebab saya tak bekerja kerana suami suruh berhenti, jaga anak-anak. Tentulah rumah saya tak semewah rumah adik-beradik lain.

“Tapi emak akhirnya kecewa tak selesa duduk lama, sebab emak duduk berdua dengan orang gaji. Bila anak menantu dan cucu balik rumah, mereka terus masuk bilik. Makan pun tak bersama emak. Menantu suruh orang gaji bagi emak makan dulu sebelum mereka balik.

“Paling lama emak duduk rumah mereka seminggu. Lepas tu hantar pulak ke rumah anak lain. Begitulah kehidupan emak. Minggu berganti bulan dan bulan berganti tahun.

“Rumah saya memang emak tak berapa suka, paling lama emak datang sehari dua. Tapi emak ceria berbual dengan saya dan ikut saya naik kereta apabila ambil hantar dan ambil anak-anak dari sekolah. Itulah waktunya emak dapat lihat dunia luar.

“Kata emak kalau duduk rumah anak-anak lain, kehidupan emak cuma dalam bilik, dapur dan kalau nak tengok pokok bunga kena keluar ikut pintu dapur. Emak tak berani duduk di ruang tamu, sebab orang gaji tak benarkan. Katanya, anak-anak emak tak suka emak duduk di atas sofa mewah mereka, nanti bau hancing.

“Kata emak dia pernah degil duduk juga di sofa bila menantu perempuan balik, dia panggil orang gaji cuci tempat emak duduk, sembur pewangi. Itu yang buat emak terasa hati.

“Sebenarnya saya tak tahu perangai adik-beradik saya kalau emak tak cerita. Di rumah saya, emak bebas duduk dan buka peti sejuk serta makan apa aja yang emak suka. Tapi di rumah anak menantu yang have have tu, emak tak dibenarkan buka peti sejuk apa lagi ambil makanan sebab takut tangan emak tersentuh makanan lain nanti contaminated (tercemar) pulak.

“Nak dijadikan cerita setelah beberapa tahun emak buat beberapa kali pusingan duduk rumah anak-anak, akhirnya emak sakit. Bila umur meningkat ingatan emak berkurangan, semakin menantu tak suka kalau emak datang duduk rumah mereka walaupun duduk dalam bilik kecil di belakang. Di situlah emak duduk, tidur baring dilayan seperti orang gaji.

“Bila bosan melayan emak hantar pulak ke rumah anak yang lain. Akhirnya emak bersuara nak duduk dengan saya. Sebenarnya saya pun tak berani datang bertamu ke rumah adik-beradik apa lagi nak tengok emak. Sebab adik-beradik pun tak suka berbual dengan saya, ipar-duai sementelah lagi.

“Sebenarnya mereka suka emak duduk dengan saya. Saya belikan katil dan letak emak di ruang tamu. Sebab emak suka berbual selain menonton televisyen dan dengar ceramah agama.

“Kadang emak nak solat bila dengar azan, saya bagi dia telekung, dan emak solat atas katil, saya tahu emak memang dah nyanyuk, tapi saya ikut kehendaknya.

“Lebih setahun emak duduk dengan saya. Saya ajar emak berjalan. Saya bawa emak naik kereta ambil udara segar. Memang emak suka dan nampak cergas. Satu hari saya dapat tiket kapal terbang murah melancong ke Jakarta dan Bandung selama seminggu. Saya tambah seminggu lagi kerana ada kawan ajak saya duduk rumah dia di sana. Takkan saya nak lepaskan peluang, dapat naik kapal terbang dan tengok negara orang. Jadi saya hantar emak ke rumah adik, saya ambil emak semula selepas dua minggu.

“Bila balik saya nak ambil emak semula, adik kata abang hantar emak ke rumah orang tua. Terkedu saya. Sampai hati abang anak kesayangan emak dan adik buah hati emak sangguh hantar emak ke rumah orang tua. Saya cari, saya telefon sana sini. Akhirnya bertemu. Saya pergi ambil emak, tapi penjaga tak izinkan, katanya amanah abang saya tak izinkan emak keluar.

“Namun emak tetap saya bawa balik. Tetapi tak sampai seminggu di rumah saya abang datang ambil emak katanya dia nak hantar emak balik kampung. Abang kata akan carikan orang jaga emak. Katanya biar emak duduk rumah sendiri.

“Saya terpaksa lepaskan. Setiap minggu saya balik kampung lawat emak, bawakan makanan kesukaannya. Tetapi yang sedihnya adik tak benarkan atas perintah abang. Sebab emak dah ada orang jaga, datang setiap pagi mandikan emak dan bagi makan. Habis tu makan tengah hari dan malam macam mana, kata adik itu urusan dia.

“Saya tanya kenapa tak benarkan saya lawat dan jaga emak seminggu sekali, akhirnya terkeluarlah perkataan menyayat hati, rupanya mereka semua takut saya jumpa emak selalu. Mereka kata saya curi duit dan barang kemas emak. Sebab itu saya nak jaga emak sangat. Sedihnya hanya Allah yang tahu.

“Namun saya tetap datang tengok emak dua minggu sekali. Lepas suapkan makanan saya balik. Saya sedih tengok keadaan emak tak dibersihkan waktu petang dan malam. Pembantu hanya datang waktu pagi. Adik tak jaga emak sebab sibuk dengan urusannya.

“Setelah emak meninggal dunia. Hubungan saya dengan adik-beradik turut terputus, sebab saya tak berani ke rumah mereka takut dituduh mencuri pulak. Mereka pun tak bertanya tentang saya kerana saya tak kaya macam mereka. Saya dikorbankan tak masuk sekolah berasrama kerana nak bagi peluang adik-beradik lain dapat belajar. Kalau saya berpeluang belajar tentu saya boleh jadi macam mereka. Tetapi inilah dikatakan suratan takdir saya. Kini, saya bukan sahaja anak yatim piatu, tetapi anak tunggal tak ada saudara mara. Semuanya kerana saya tak berpelajaran tinggi.’’ Itu cerita Mashanisah tentang kehidupannya terpinggir kerana tidak kaya.