Mungkin kita berasa bosan dengan rutin kehidupan tersebut manakala bagi yang melihatnya pasti berasa pilu dan sedih. Mungkin juga bersemangat untuk membantu meringankan beban takdir itu.

Inilah yang dilalui oleh Nur Siti Aisyah Aderay sejak 13 tahun lalu. Gadis sunti ini membesar dalam keadaan kurang sempurna kerana menghidap komplikasi Cerebral Palsy (CP). Dunianya pada waktu siang hanya duduk atas kerusi roda manakala pada waktu malam pula terlantar di atas katil.

Menurut ibunya, Haslinda Endut, 36, ada masanya Aisyah gemar menonton rancangan kartun di televisyen.

“Jika nada suara ditukar kepada mode senyap sekalipun itu tidak mengapa asalkan dia masih menonton kartun tersebut,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Beranang, Selangor, baru-baru ini.

Berikutan penyakit itu, Aisyah perlu melalui beberapa rawatan susulan dengan tiga pakar perubatan berbeza di dua buah hospital berdekatan iaitu Hospital Kajang dan Hospital Serdang.

Pakar perubatan tersebut adalah pakar kanak-kanak bagi komplikasi CP, pakar mata kerana matanya rabun dan pakar sakit puan atas sebab masalah kitaran haid yang tidak teratur.

Dalam pada itu, Aisyah turut menghidap lelah kronik, alahan pada habuk dan suhu sehingga pernah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU). Dia juga mempunyai simptom kanser pangkal rahim dan tiroid.

Rentetan daripada semua ini, Haslinda menyatakan bahawa Aisyah amat memerlukan mesin Nebulizer sendiri sebagai persediaan rawatan setiap masa.

“Selama ini apabila Aisyah diserang lelah, saya akan membawanya ke klinik berdekatan dengan berjalan kaki sahaja kerana kereta digunakan suami untuk ke tempat kerja,” katanya.


Kekangan hidup

Aisyah bernasib baik kerana memiliki ibu bapa yang tidak pernah jemu untuk menjaganya walaupun mereka bukan daripada kalangan keluarga berada. Bapanya, Aderay Shabari, 41, merupakan seorang pekerja pembersihan manakala Haslinda hanyalah suri rumah sepenuh masa.

Bagi Haslinda, apa yang dilakukan oleh mereka berdua adalah bukti kecintaan mendalam terhadap Aisyah. Anak itu dijaga sejak kecil bagai menatang minyak yang penuh.

“Biarlah dia sakit dan tidak sempurna seperti insan lain yang sebaya dengannya, namun Aisyah adalah cinta hati kami yang sempurna,” katanya lagi.

Tidak mudah untuk menguruskan anak sedemikian. Ia bukan hanya melibatkan soal wang tetapi juga masa dan semangat serta istiqamah untuk terus memastikan Aisyah sentiasa selesa meneruskan hidupnya.

Haslinda tidak menafikan sumbangan dan bantuan individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu turut menjadi azimat yang kuat untuk mereka berdua mengurus Aisyah sehingga ke akhir hayat.

“Sumbangan dan simpati masyarakat sekeliling amat kami hargai, bukan hanya memberi keselesaan kepada anak kami untuk meneruskan kehidupan sehariannya. Tetapi juga mengingatkan bahawa kami tidak berseorangan dalam hal ini,” katanya.

Antara yang tampil membantu adalah sebuah NGO tempatan, Muslim Volunteer Malaysia (MVM). Hasil pemerhatian mereka, Aisyah memerlukan beberapa alatan perubatan untuk membantu menceriakan kehidupan sehariannya.

Malah, MVM juga melihat bahawa bagi pesakit CP seperti Aisyah, mereka memerlukan beberapa alatan sokongan yang memudahkan proses rehabilitasi dijalankan dengan lebih berkesan.

Antaranya adalah kerusi roda, katil hospital, kerusi mandi khas pesakit CP, almari dan televisyen di rumahnya adalah sumbangan daripada insan-insan yang bersimpati terhadapnya.

Selain itu, Aisyah perlukan Tube Ripple Mattress iaitu sejenis tilam bertiub yang digunakan bagi mengelakkan pesakit mengalami ruam panas dan luka di belakang badan. Pulse Oximeter juga diperlukan bagi mengesan kadar denyutan nadi Aisyah pada waktu-waktu tertentu.

Apa yang penting usaha MVM itu adalah untuk memastikan kehidupan Aisyah lebih selesa. Contohnya, tilam anti ruam yang diletakkan di atas katilnya akan mengelakkan badan Aisyah tidak akan ada ruam apabila dia baring atau tidur.

Mesin pam udara sentiasa dihidupkan 24 jam dalam mode tertentu. Kadar kemampatan udara dalam tiub tilam itu bergantung kepada mode tersebut. Begitu juga dengan mesin mudah alih Nebulizer bagi memudahkan rawatan segera terhadap penyakit lelahnya itu.

Lagipun, Haslinda memerlukan masa yang agak lama untuk ke klinik atau hospital kerana faktor jarak jika Aisyah diserang penyakit lelah secara tiba-tiba.

MVM juga menyumbang alat Pulse Oximeter kerana ia penting bagi Haslinda menyukat kadar oksigen dalam badan Aisyah dari semasa ke semasa.

Rawatan segera

Sekiranya didapati kadar bacaan oksigen dalam badan Aisyah tidak normal dan diramalkan akan terjadinya ‘sesuatu’, maka ibu bapanya boleh bersiap sedia untuk membawa Aisyah ke hospital bagi menerima rawatan segera.

Dalam pada itu, MVM turut menyumbang sebuah kerusi kereta khas pesakit CP yang boleh ditempah di Zee Innovator yang berlokasi di Seremban, Negeri Sembilan.

Difahamkan, pemilik Zee Innovator, Mohd. Hazizi Mohd. Noor, menyatakan bahawa tempahan kerusi kereta khas pesakit CP berpandukan ketinggian dan berat badan pesakit, jenis kain kerusi dan jenis kereta.

Ini bagi menjamin keselesaan dan kesesuaian yang tepat agar tidak mendatangkan mudarat dan rasa tidak selesa kepada pesakit.

Dengan adanya kerusi itu, Aisyah boleh menaiki kereta keluarganya dengan selesa kerana pesakit CP sepertinya memerlukan beberapa komponen khas di bahagian kerusi seperti pelaras penyandar, tali pinggang silang, penahan kelengkang dan sebagainya.

Semua barangan perubatan yang diberikan kepada Aisyah adalah hasil sumbangan orang awam melalui tabung Bantuan Salam MVM.

“Kami amat berharap dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu Aisyah untuk hidup dengan lebih selesa,” katanya.

Sekiranya anda mahu membantu lebih ramai lagi insan seperti Aisyah, anda boleh hulurkan sumbangan seikhlas hati di https://donation.mvm.org.my/donations/bantuan-salam-mvm-2019/.