‘‘Bukan senang nak senang, bukan susah untuk jadi susah.’’

Itulah kata-kata pegangan seorang pemuda yang menceburkan diri dalam bidang kejuruteraan mesin berat.

Sebagai pengendali kren, Mohd. Akhmal Hakimi Sutrisman terpaksa mengorbankan waktu remajanya demi membina masa hadapan yang lebih kukuh.

KUALA LUMPUR 28 DISEMBER 2018 - Temuramah bersama pengendali kren
 

Kebanyakan daripada kita mungkin menganggap pekerjaan sebegini memberikan pendapatan yang agak lumayan.

Ternyata di sebalik setiap ganjaran yang diperoleh, terselit 1,001 risiko yang terpaksa dihadapi anak muda yang baru menjangkau usia 22 tahun ini.

Memetik permulaan langkah bagi perjalanan hidup pemuda yang berasal dari Kemaman, Terengganu ini, dia nekad berhenti belajar seawal usia 15 tahun kerana ingin meraih pendapatan sendiri.

pengendali kren
 

‘‘Keputusan berhenti sekolah menyebabkan saya dicemuh masyarakat sekeliling. Namun, saya positifkan diri dan berhijrah ke ibu kota bagi mencari pekerjaan,’’ katanya yang lebih dikenali sebagai Hakimi.

Berlatarbelakangkan empat orang adik beradik lelaki yang menceburkan diri dalam bidang

KUALA LUMPUR 28 DISEMBER 2018 - Temuramah bersama pengendali kren
 

pengendalian kren membolehkan dia merebut peluang untuk mengikut jejak mereka.

‘‘Saya ikut mereka dan belajar perkara asas seperti meletakkan papan dan kayu, membuka kaki kren dan menaikturunkan tali wayar. Proses pembelajaran ini agak mencabar kerana faktor usia saya yang begitu muda dan sikap abang yang cukup tegas,’’ kongsi Hakimi.

Tambahnya lagi, dia mengakui berasa agak tertekan dan hampir putus asa.

Namun, siapa sangka setiap dugaan yang dihadapi membawanya menyelami lebih dalam kerjaya itu.

‘‘Setiap perjalanan hidup adalah proses pembelajaran. Sedikit demi sedikit ilmu yang diperoleh dimanfaat sepenuhnya.

“Ini kerana saya mula meletakkan minat yang mendalam terhadap bidang ini. Aspek yang paling penting adalah kekuatan fizikal dan mental memandangkan ia adalah tugas yang memerlukan kemahiran dan ilmu matematik bagi mengira keluasan dan ketinggian dalam mengangkat beban muatan,’’ kongsinya.

Utamakan keselamatan waktu bekerja

Sedikit kesilapan akan mencipta kemalangan yang besar. Menyedari dirinya sebagai pengendali kren, dia sering terdedah dengan pelbagai risiko di tempat kerja.

‘‘Orang hanya nampak pada ganjaran sahaja, tetapi mereka tidak melihat pekerjaan ini terdedah kepada risiko kemalangan yang boleh berlaku pada bila-bila masa. Terdapat juga kes kren terbalik dan beban yang sedang diangkat jatuh.

‘‘Setakat ini saya masih menarik nafas lega kerana setiap tugas yang dijalankan tidak mengakibatkan sebarang kemalangan. Aspek-aspek keselamatan perlu dititikberatkan dan tidak boleh diambil mudah,’’ujarnya.

MENGENDALIKAN kren pada usia 21 tahun.
MENGENDALIKAN kren pada usia 21 tahun. 

Menurutnya, beberapa perkara termasuk lawatan ke lokasi bagi membuat penilaian mengenai ruang untuk meletakkan kren, ketinggian menaikkan beban serta struktur tanah perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum kerja-kerja lapangan dilakukan.

“Apabila menerima tempahan untuk menyewa kren daripada pelanggan, semua penilaian tersebut akan dilakukan terlebih dahulu. Apabila selesai barulah kren akan dibawa ke tempat pelanggan untuk melakukan kerja,” tambahnya.

Bukan itu sahaja, pakaian keselamatan seperti topi dan jaket keselamatan serta but penting dalam melindungi diri sewaktu proses pembinaan berjalan.

Masalah cuaca turut diambil kira kerana ia menyebabkan pandangan menjadi terhad sekali gus mengganggu proses mengangkut beban muatan.

Rezeki hasil usaha sendiri

BAGI Hakimi, berkat ketekunan mengikut abangnya mengendalikan kren telah membuahkan hasil.

Pemuda itu berjaya mendapatkan lesen pendaftaran mengendalikan kren dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) setelah mencecah usia 21 tahun.

‘‘Saya agak berbangga dalam usia muda sebegini dapat menjana pendapatan yang lebih stabil dan berpeluang untuk membantu ahli keluarga. Mungkin ini juga adalah keberkatan restu serta iringan doa daripada ibu bapa saya,’’kongsinya.

Sementara itu, Hakimi hampir menitiskan air mata ketika mengimbau kembali saat dia menerima lemparan kata-kata segelintir masyarakat yang merendahkan kerjayanya sebagai operator kren.

‘‘Ada yang mengatakan pekerjaan ini adalah bidang yang kotor, berpakaian selekeh dan tidak mempunyai masa hadapan yang baik, namun saya hanya mengambil perkara itu sebagai semangat untuk lebih tekun dalam memperoleh pendapatan yang halal,’’ ujarnya.

‘‘Saya percaya untuk memperoleh kesenangan yang perlu bermula dari bawah. Setiap perkara yang kita tidak biasa lakukan memerlukan ketekunan yang tinggi. Walaupun saya tidak berpendidikan tinggi seperti orang lain, namun saya bersyukur dapat mempelajari proses kehidupan yang sebenar bagi membina sebuah kesenangan,’’ujarnya.