Perkembangan sosioemosi merujuk kepada pengalaman harian kanak-kanak, ekspresi dan pengurusan emosi serta keupayaan mewujudkan perhubungan yang baik dan bermakna dengan orang lain.

Ia terdiri daripada perkembangan intrapersonal (diri sendiri) dan interpersonal (diri dengan yang lain).

Pembantu Profesor dan Pakar Psikologi Klinikal, Jabatan Psikologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Jamilah Hanum Abdul Khaiyom berkata, perkembangan sosioemosi lebih kepada kemampuan kanak-kanak dalam memahami perasaan orang lain, mengawal perasaan dan tingkah laku sendiri serta kemampuan berkawan dengan orang lain terutama rakan sebaya.

Katanya, perkembangan tersebut sama pentingnya dengan perkembangan fizikal, cuma kecacatannya sukar diukur atau dilihat melainkan ibu bapa mengetahui psikologi kanak-kanak.

Rata-rata ibu bapa hanya sedar apabila anak memasuki persekolahan yang mana mereka tidak boleh mewujudkan perhubungan dengan orang di sekelilingnya walaupun rakan sebaya.

Menurutnya, terdapat tiga fasa penting yang perlu diambil berat oleh ibu bapa iaitu bermula daripada bayi lahir hingga berusia satu tahun, ketika usia anak dua hingga tiga tahun dan terakhir adalah empat hingga lima tahun.

“Dalam setiap fasa, ibu bapa akan dapat melihat tahap pembangunan emosi dan sosial yang sepatutnya ditunjukkan oleh anak-anak. Itulah sebenarnya penanda aras bagi setiap perkembangan anak-anak.

“Memang setiap anak berbeza, ada yang cepat proses perkembangannya dan ada yang lambat berbanding kanak-kanak lain.

Apabila melihat perkembangan anak tidak seiring dengan usia, belajarlah membuat sesuatu atau pergi berjumpa doktor,” katanya.

Dr. Jamilah berkata, bagi memudahkan ibu bapa, setiap fasa tersebut turut mempunyai tanda-tanda amaran supaya mereka sedar tentang keadaan yang berlaku.

Apa yang penting, mereka perlu pastikan adakah anak itu berkembang secara optimum atau tidak dan bagaimana ibu bapa dapat membantu agar anaknya dapat hidup secara lebih baik.

Jelasnya, melihat fasa-fasa perkembangan kanak-kanak umpamanya fasa permulaan, si kecil sepatutnya sudah belajar mengenai dirinya pada tiga bulan pertama.

Ketika ini ibu bapa akan melihat si kecil menghisap jari dan tiba-tiba menampar diri sendiri kerana itu proses dia meneroka tubuhnya sendiri.

Katanya, ketika ini si kecil juga akan bertindak balas kepada sentuhan dan mula belajar untuk berasa selesa apabila disentuh dan ditenangkan oleh orang dewasa.

Memasuki usia tiga hingga enam bulan, kebanyakan bayi mula memberi tindak balas apabila nama mereka dipanggil, senyum, ketawa dan memberi respons kepada permainan ‘Ba-Cak’.

Menurutnya, jika bayi pada kebanyakan masa dilihat masam sahaja wajahnya walaupun pelbagai aktiviti dilakukan ibu bapa, maka tindakan segera perlu diambil.

Beliau menambah, keadaan itu agak bahaya kerana dikhuatiri bayi terbabit mempunyai masalah pendengaran, penglihatan atau sosioemosi umpamanya autisme yang tiada sosiointeraksi dengan ibu bapa.

“Selalunya ibu bapa hanya perasan anak mempunyai masalah dalam perkembangan sosioemosi apabila melihat prestasi akademik anak mereka menurun atau enggan ke sekolah hanya kerana tiada kawan ekoran tidak boleh mewujudkan perhubungan dengan guru mahupun rakan.

Ketika itu, barulah timbul risau di hati ibu bapa.

“Jika ibu bapa dapat mengesan awal tanda-tanda amaran itu, mereka boleh berjumpa doktor lebih awal untuk bantuan.

“Antara tanda amaran awal yang boleh dikesan di peringkat bayi sehingga usia setahun adalah tidak bercakap sebarang perkataan, tidak menuding pada mana-mana objek dan tidak menggunakan gerak isyarat yang mudah seperti melambai atau menggeleng kepala,” katanya.