SITI NORAINI NUAWI
SITI NORAINI NUAWI 

Tanpa perlu risau kerana restoran ini pemegang status halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), penggemar sushi boleh sahaja terus terjah ke restoran tersebut yang menawarkan hidangan dengan harga serendah RM2.10 bagi hidangan sushi (pin-plate).

Bukan sahaja makanan yang sedap, restoran itu turut menyediakan 200 menu untuk pelanggan memilih hidangan yang digemari selain menawarkan harga yang paling berpatutan tanpa mengetepikan rasa asli masakan Jepun.

Pengarah restoran, Siti Noraini Nuawi berkata, tanpa perlu meletakkan bahan-bahan tidak halal seperti sake, mirin atau cuka alkohol yang sering digunakan dalam masakan Jepun, hidangan di Nippon Sushi masih boleh mengekalkan rasa autentik Jepun.

Beliau mengakui makanan Jepun paling digemari oleh golongan muda malah kebanyakan pelanggannya adalah golongan tersebut.

“Berdasarkan kajian yang kami lakukan sebelum membuka restoran ini, kebanyakan golongan muda di Malaysia kini mempunyai citarasa yang lebih `global’ dan memilih hidangan Jepun dan Korea sebagai makanan pilihan mereka,’’ katanya.

Justeru bukan sesuatu yang luar biasa apabila setiap malam dan tengah hari, restoran ini dipenuhi dengan golongan muda bahkan kata Siti Noraini, Nippon Sushi lazimnya sesak pada hujung minggu dan cuti umum menyebabkan pelanggan terpaksa beratur untuk menunggu giliran menikmati sajian di restoran berkenaan.

“Sebab itu kami amat menggalakkan pelanggan membuat tempahan pada hujung minggu bagi mengelak mereka terpaksa beratur panjang,’’ katanya.

Dimiliki syarikat Al Ikhwan Sushi Sdn. Bhd., Nippon Sushi sebenarnya baharu beroperasi sejak empat bulan lalu di Bangi manakala di Taman Samudra dibuka bulan lalu namun sambutan daripada pelanggan adalah di luar jangkaan.

“Mungkin kerana status halal yang kami miliki memberi keyakinan dan menghi­langkan rasa was-was dalam kalangan penggemar makanan Jepun kerana pada masa ini kesedaran terhadap status halal ini amat tinggi dalam kalangan umat Islam, tiada kompromi,’’ tegasnya.

Walaupun majoriti pelanggan adalah golongan muda tetapi restoran ini turut dikunjungi oleh golongan tua yang kebanyakannya dibawa oleh anak masing-masing untuk menikmati keenakan makanan Jepun.

Makanan Jepun bukan setakat sushi atau shashimi (makanan laut mentah) malah restoran ini mempunyai pelbagai hidangan lain antaranya 23 jenis sajian nasi (gohan), mi (menrui) udon (kasar) atau soba (halus) dan 18 jenis makanan yang dipanggang (yakimono) terutamanya makanan laut selain 10 jenis hand-roll (temaki) antaranya, ketam kulit lembut, belut (unagi) dan ikan salmon.

Terdapat 60 jenis kaiten sushi yang dihidangkan untuk pelanggan memilih mengikut bajet masing-masing iaitu daripada serendah RM2.10 sehingga RM5.40. Terdapat juga 16 jenis sushi gulung atau rolled sushi (makimono).

Makimono yang paling digemari pelanggan ialah fire spider roll terdiri daripada ketam kulit lembut dan unagi yang disalut dengan keju dan dicicah dengan sos mentai (telur ikan kod).

Mereka yang tidak pernah mencuba shashimi boleh sahaja melalui pengalaman baharu merasai ikan salmon mentah yang dicicah dengan sos wasabi atau sos soya. Di Nippon Sushi terdapat tujuh jenis makanan laut terutamanya ikan, sotong dan kepah ditawarkan pada harga yang amat berpatutan iaitu RM69.90.

Antara yang hidangan yang paling mendapat sambutan pelanggan ialah gohan yang dihidangkan dengan rib eye kambi jyu, tori kambi sauce dan gyudon (daging dan telur) selain empat jenis hidangan teppan terdiri daripada ayam, daging, kombo makanan laut dan nasi goreng bawang putih.