“Demikian jugalah dengan nasib emak saya. Kami ada lima beradik. Tiga perempuan dan dua lelaki. Tetapi antara kami ada seorang adik perempuan dan seorang adik lelaki menghadapi masalah keluarga. Yang perempuan bercerai, sementara yang lelaki isteri dia minta cerai.’’ Itu cerita Azureen kepada saya, baru-baru ini.

“Masalah dua adik saya ini memang memeningkan kepada emak kami. Emak sering merungut dan melahirkan rasa sedihnya. Mengapa nasib anak-anaknya tak sebaik nasib anak-anak adik-beradik emak yang lain. Emak malu kerana anak-anaknya bercerai berai.

“Saya cuba nasihatkan emak, walaupun sepupu saya tak bercerai berai tetapi kita tak boleh kata semua mereka bahagia, mungkin `bom mereka belum meletup lagi.’ Bukanlah saya mendoakan keburukan mereka tetapi saya cuba beri nasihat kepada emak. Kita cuma melihat mereka bahagia di luaran sahaja, dalam hati mereka kita tak tahu.

“Tetapi emak lain, dia selalu bersedih setiap kali saya datang jumpa emak. Pada saya walaupun adik saya, Amy sudah bercerai dan jadi ibu tunggal, tetapi pada pandangan saya dia buat keputusan yang bijak. Kalau suami sibuk bercinta dan sering meluahkan perasaannya nak kahwin lain, biarkan, biar dia kahwin, mengapa kita mesti sekat.

“Dan Amy ambil keputusan tepat. Dia minta cerai setelah tahu suaminya kahwin lagi. Walaupun proses memakan masa panjang, tetapi Amy bijak dia jumpa madunya dan beritahu terus-terang dia tak mahu bermadu. Dia rela bercerai. Dan dia suruh madunya desak suami mereka supaya segera menceraikannya.

“Kata Amy dia tak mahu cerita keburukan suaminya, biarlah bekas madunya tanggung. Dan Amy berasa bahagia terlepas daripada pelbagai masalah. Sekarang dia bebas. Tetapi emak pulak malu kerana anaknya kena cerai.

“Demikian jugalah perangai adik lelaki saya, Azeem. Sudah ada tiga orang anak yang masih kecil, isterinya pulak minta cerai. Ini yang memeningkan kepada emak. Kata emak, lepas satu, satu keluarga kami di timpa bencana. Pada pendapat saya ini bukan bencana. Jodoh pertemuan di tangan Allah, jadi kalau kita kesal dan merintih dengan nasib anak-anak kita bermakna kita menyesali ujian yang diturunkan Allah. Sepatutnya kita terima dengan hati terbuka. Mungkin ada yang lebih baik ingin diberikan-Nya kepada mereka nanti.

“Tapi pada emak lain, setelah emak gagal memujuk Amy supaya jangan bercerai, dia merasakan kemungkinan bala akan datang dalam keluarganya. Ini yang membuat emak takut. Kerana takutnya itu emak berusaha keras pujuk isteri Azeem supaya jangan bercerai. Emak juga pujuk Azeem supaya berubah seperti apa yang dihendaki oleh isterinya.

“Tetapi kata Shalin (isteri Azeem), dia sudah penat nasihatkan Azeem supaya berubah, tetapi gagal. Akhirnya dia minta cerai. Daripada anak pertama hingga ketiga, Azeem tak pernah berubah. Hobinya suka lepak dengan kawan-kawan. Kalau tak ke gerai waktu malam, dia akan ikut kawannya memancing. Paling teruk dia suka bermotosikal bersama kawan-kawannya. Ke sana ke sini.

“Bila ajak berjalan atau bercuti, kata cutinya dah habis. Jadi apa hal saya dengan anak-anak, kami pun nak bercuti dan nak berehat? Kata Shalin lagi.

“Akhirnya, kata Shalin dia yang terpaksa bawa anak-anak mereka berjalan jalan, tetapi bukan senang nak urus tiga orang anak yang masih kecil. Jadi tempat paling selamat dan tidak membazir duit balik ke rumah emaknya di Rawang.

“Tetapi pertanyaan keluarganya membuat Shalin rasa tidak selesa. Mana suami engkau tak datang sama. Bila selalu di tanya dengan soalan itu membuatkan hati Shalin tak tenteram. Bila sudah sakit hati tentulah berlaku perselisihan faham.

“Kata Shalin, dapat anak pertama dia masih boleh sabar, masuk anak kedua saya harap Azeem akan berubah. Begitu juga lepas dapat anak ketiga. Nampaknya tidak, malah semakin teruk. Ini membuatkan saya hilang sabar dan sebab itulah saya failkan tuntutan cerai,’’ kata Shalin bila emak cuba memujuknya.

“Bila saya minta cerai, dia rasa tercabar, tetapi bukan nak berubah, sebaliknya dia melenting marah. Tuduh saya macam-macam.

“Kalau dia hendak bebas, hendak hiburan, hendak berkawan macam orang bujang tak payah kahwin, dia boleh teruskan aktivitinya sehingga dia rasa puas. Bila beristeri dan beranak itu adalah satu tanggungjawab. Kalau tak mahu tanggungjawab dia boleh lepaskan tanggungjawabnya. Itu sebab saya minta cerai supaya Azeem boleh terus bebas berkawan dan bercuti sesuka hati tanpa gangguan isteri dan anak-anak.’’ Cerita Shalin lagi, ketika emak memujuk dan menasihatinya supaya bersabar.

“Apa pun emak tetap emak dia tetap menangkan Azeem, katanya Azeem bukan kaki perempuan, tak ada niat nak kahwin pun, jadi kalau dia keluar dengan kawan lelaki salahnya, takkan itu pun nak minta cerai?

“Akhirnya saya nasihatkan emak supaya nasihatkan Azeem ubah perangai, jangan pentingkan diri sendiri. Fikirkan juga anak-anak, kalau dia masih sayangkan keluarganya. Kalau mereka bercerai juga Azeem yang rugi bukan isterinya, kerana saya tahu kedudukan dan jawatan Shalin memang terbaik, sayanglah kalau mereka bercerai. Akhirnya emak percaya cakap saya.

“Oleh kerana niat emak untuk pulihkan hubungan mereka suami isteri, emak panggil Azeem dan emak nasihatkan dia. Emak minta dia berubah jangan buat perangai macam orang bujang. Tetapi Azeem bertindak sebaliknya dia tuduh isterinya ingkar, cakap besar dan tak menurut kata. Katanya dia beri nafkah secukupnya, jadi sebagai isteri, Shalin mesti patuh kepada suami selagi suami tak buat perangai buruk ada kekasih atau nak kahwin lagi. Katanya lagi dia sibuk bekerja dan untuk lapangkan fikiran dia suka berkawan, jadi dia lupa bebanan kerjanya. Namun pada saya itu semua alasan. Sebaliknya Azeem suka buang masa di warung dengan kawan-kawannya daripada bersama anak isteri di rumah.

“Oleh kerana saya anak sulung emak suka tanya pandangan saya. Saya nasihatkan emak kalau Azeem tak berubah perangai, jangan salahkah Shalin jika dia minta cerai, yang rugi nanti Azeem.

“Isteri mana suka bercerai kalau suaminya baik. Mungkin Azeem tak beri nafkah secukupnya, sebab itu isterinya merungut, kalau Azeem berubah tentu Shalin tak tuntut cerai.

“Saya pernah nasihatkan Azeem supaya berubah, sebab emak dah tak boleh nasihatkan dia lagi, tetapi Azeem tetap salahkan Shalin. Akhirnya kami give-up, sebab Azeem tetap dengan perangainya. Dan kami tak peduli kalau Shalin mahu bercerai, terpulang kepada Azeem.

“Tetapi rugilah Azeem jika mereka bercerai, sebab Shalin bukan sahaja berjawatan malah pandai mengurus anak-anak dan rumah tangga. Sebenarnya dia malu dengan perangai Azeem yang tak tahu jaga maruahnya.

“Kini hampir lapan bulan berlalu, Shalin sudah tuntut cerai tetapi Azeem tak mahu ceraikan isterinya, katanya pada emak dia bukan bodoh nak ceraikan Shalin. Kalau boleh sampai bila pun dia tak mahu ceraikan Shalin. Begitulah buruknya perangai adik lelaki saya ni. Tetapi saya dan emak sudah mengalah terpulang kepada Azeem tentukan masa depannya.’’ Demikian cerita Azureen tentang perangai adik lelakinya, tak mahu ceraikan isteri, tetapi dia sendiri tak mahu ubah perangai buruk yang jadi kebencian isterinya.