Pencapaian itu bukan mudah, namun berjaya digapai Superintenden Haslah Bachok berkat usaha dan keyakinannya sepanjang menjalankan tugas sebagai anggota dan pegawai polis.

Bercerita mengenai amanah yang diberikan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, Haslah mengakui pada mulanya terkejut apabila mendapat tahu dipilih untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

“Kali pertama wanita diberi kepercayaan menjadi Ketua Polis Daerah adalah 26 tahun lalu. Kini saya dipilih untuk menjalankan tugas tersebut dan semestinya peranan serta kemampuan saya menjadi kayu ukur bagi pegawai-pegawai wanita yang lain.

“Sebab itu bila dua lagi ketua polis daerah wanita dilantik, saya rasa bersyukur kerana itu membuktikan pucuk pimpinan pasukan percaya dengan kemampuan wanita untuk mengemudi sebuah daerah,” katanya yang bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Menurut Haslah, sepanjang bergelar Ketua Polis Daerah sejak 16 Januari 2018, beliau tidak pernah rasa didiskriminasi oleh mana-mana pegawai polis.

Katanya, apa yang penting adalah kesungguhan dan tanggungjawab seseorang itu untuk melakukan yang terbaik dalam setiap tugasan yang diberikan.

“Saya bermula dalam pasukan keselamatan ini dengan memegang jawatan Konstabel sebelum sampai ke kedudukan sekarang dan semua itu memerlukan usaha gigih,” katanya yang menjalani tiga kali latihan melibatkan jawatan Konstabel, Inspektor dan Asisten Superintenden.

Pernah berkhidmat dalam pelbagai jabatan termasuk Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Haslah mengakui banyak pengalaman yang ditimba terutama melibatkan kes-kes jenayah.

Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah ketika menangkap sendiri seorang penjenayah yang dikehendaki kerana terlibat dalam pengedaran dadah pada 2003.

Haslah memberitahu, kejadian berlaku berhampiran Hotel Federal, Kuala Lumpur ketika beliau bersama rakan-rakan lain mengintip perjalanan seorang penjenayah yang dikehendaki berkaitan kes dadah.

“Ketika itu, saya nampak penjenayah terbabit yang merupakan seorang lelaki warganegara China berada di seberang jalan dan cuba untuk melintas jalan.

“Bila dia melintas sahaja, saya terus menerjah dan merebahkan dia di atas jalan raya. Ketika itu berlaku pergelutan dan tumbuk menumbuk antara saya dan penjenayah itu selama tiga ke empat minit,” katanya.

Jelas Haslah, ketika itu rasa takut memang ada tetapi keyakinan yang tinggi untuk menangkap penjenayah terbabit menjadi penguat semangatnya selain berharap rakan setugas lain akan cuba membantu secepat mungkin.

Tambahnya, pengalaman menangkap sendiri penjenayah itu akan dianggap sebagai bukti kemampuan pegawai dan anggota wanita untuk sama-sama menumpaskan jenayah dalam negara.