Semua itu gara-gara tempoh tersebut mereka sedang didatangi haid.

Sejak mendapat tahu tentang masalah tersebut daripada kumpulan mubaligh Kristian yang berada di pendalaman Sabah, Anja Juliah Abu Bakar, 44, merasakan dia perlu berbuat sesuatu.

Dia percaya pendidikan adalah kunci bagi memperkasa kanak-kanak tersebut.

Kata-kata semangat bapanya bahawa, ‘seseorang itu tidak perlu memiliki markah bagus untuk menjadi ketua tetapi memerlukan ilmu pengetahuan’, terus menerpa mindanya.

Pengasas dan Pengarah Blubear Holding Sdn. Bhd., syarikat keusahawanan sosial yang mengeluarkan produk guna semula seperti tuala wanita, lampin bayi dan dewasa jenama Athena itu memutuskan untuk menggunakan sebahagian keuntungan jualan produknya bagi membiayai program pemerkasaan wanita, terutama dalam kalangan gadis remaja Orang Asli termasuk penduduk di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Bersama Ketua Pegawai Eksekutif Blubear, Hasnur Hanafiah dan Pengarah Pembangunan Perniagaan, Fazlina Ahmad Fuad, ketiga-tiganya bergerak seiring memberi pendidikan dan galakan kepada kanak-kanak berkenaan dengan menyediakan produk sanitari yang sesuai bagi mereka menikmati kehidupan.

“Melalui setiap jualan produk sanitari ini kami menaja seorang kanak-kanak yang memerlukan. Jadi lebih banyak kami jual lebih banyak pula yang dapat diberi,” kata Anja Juliah semasa ditemui baru-baru ini.

Bercerita bagaimana bermulanya lampin sanitari tersebut, Anja menjelaskan, pada 2006 semasa menghadiri sebuah forum, dia berkenalan dengan seorang suri rumah dari Amerika Syarikat yang bercakap mengenai rekaan inovatifnya, iaitu lampin sanitari yang boleh dibasuh.

“Lampin tersebut dibuat daripada kemeja-T lama untuk anaknya yang baru datang haid. Saya mendapat inspirasi daripada wanita itu yang mahu mengamalkan gaya hidup tidak membazir.

“Saya menjalankan kajian selama sembilan bulan sebelum berjaya menghasilkan produk lampin wanita yang boleh dibasuh semula bagi pasaran Malaysia.

“Pada 2010 saya memenangi Anugerah Inovasi Malaysia kategori Wanita daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi,” jelasnya.

Menurut Anja Juliah, pada 2012, dia mengetahui mengenai kesukaran yang dihadapi kanak-kanak perempuan yang telah datang haid di pedalaman Sabah. Apabila berada di sana, hatinya sangat sedih melihat keadaan mereka.

Dia diberitahu ada yang tidak ke sekolah ketika datang haid kerana tidak mampu membeli tuala wanita. Mulanya dia sukar mempercayai, lalu maklumat dicari di Internet.

Dia mendapati masalah tersebut memang berlaku di negara-negara mundur dan tidak menyangka boleh berlaku di negara sendiri.

Paling terkesan apabila ada gadis yang terpaksa menggunakan sabut kelapa yang dimasukkan ke dalam stokin untuk dijadikan tuala wanita.

Ada juga yang memakai kain tetapi meninggalkan kesan kotoran. Kawan-kawan mengejek dan mereka malu hendak ke sekolah.

Akhirnya mereka berhenti sekolah pada usia yang terlalu muda, seawal 14 tahun.

“Sejak itu saya menyumbangkan sebanyak 100 keping lampin wanita pada 33 orang gadis di pedalaman Sabah. Saya merasakan banyak lagi yang boleh dilakukan.

“Bersama-sama Hasnur dan Fazlina, kami bergerak memperkasa gadis-gadis di kawasan pedalaman terutamanya gadis Orang Asli.

Usaha Anja Juliah wajar dapat pujian

“MENJELANG 2015, kami telah menjalankan beberapa program di beberapa buah sekolah di luar bandar, sehingga setahun kemudian kami dipelawa oleh Kementerian Belia dan Sukan bagi mengetuai Program Sustainable Development Growth.”

Demikian menurut Anja Julia, yang turut bekerjasama rapat dengan Presiden Majlis Belia Orang Asli Malaysia, Clive Allen bagi menjayakan projek amalnya yang wajar mendapat pujian.

Tambahnya, anak-anak Orang Asli ini pada mulanya sangat pemalu dan sukar berkomunikasi. Namun, selepas menghabiskan masa selama empat bulan bersama mereka, halangan tersebut akhirnya berjaya dirungkai, malah gembira dengan respons yang diberikan.

Gadis-gadis ini menunjukkan minat yang mendalam mungkin kerana informasi yang diperoleh tidak pernah dipelajari di sekolah.

Datang haid dan penjagaan kebersihan juga menjadi subjek yang malu dibincangkan dalam keluarga, jadi gadis-gadis ini membesar tanpa mengetahui bagaimana hendak menguruskan perubahan yang berlaku pada tubuh mereka.

Perkara ini adalah biasa bagi gadis di bandar, tetapi mereka yang di luar bandar tidak mengetahui mengenai kebersihan semasa haid walaupun penjagaan yang ringkas. Inilah yang menyedihkan.

Paling mengharukan Anja Juliah, apabila akhirnya gadis-gadis ini berani berkongsi keinginan mereka, sesuatu yang tidak pernah diberitahu kepada orang lain sebelum ini.

“Kami akan berusaha supaya gadis-gadis pedalaman ini akan meneruskan persekolahan mereka. Kami telah bertemu dengan lebih 1,500 gadis sejak dua tahun lalu, tetapi saya rasa itu tidak mencukupi. Saya percaya masih ramai yang memerlukan maklumat.

“Memperkasa adalah satu perkataan yang cukup berat. Kami perlu berusaha lebih keras tetapi saya percaya jika saya berjaya mempertahan seorang gadis untuk terus bersekolah sehingga mendapat ijazah, itu merupakan satu kejayaan besar. Lagi pun pendidikan dan pengetahuan adalah senjata paling besar bagi memperoleh kejayaan.

“Saya percaya tiada seorang pun gadis perlu dibiarkan dan mereka layak membesar sebagai seorang wanita yang sempurna,” katanya yang mendapat kepercayaan daripada Yayasan Air Asia untuk menjalankan program yang sama pada Disember 2018 ini di pedalaman Sabah dan Sarawak.