“Mengingatkan kembali sejarah perkahwinan saya dahulu, memang saya tak sangka dapat suami seorang lelaki yang baik hati, penyayang dan terlalu mengambil berat hal diri saya hingga dia ingin tahu apa yang saya lakukan setiap hari di rumah. Waktu itu saya rasa amat bertuah.

“Malah dia nasihatkan saya jangan campur dengan jiran tetangga kerana kalau silap langkah atau tersalah kata saya boleh terjebak dalam pergaduhan dan perselisihan faham. Jadi nasihatnya duduk dalam rumah, jaga anak-anak. Dan saya patuh memikirkan suami saya ini satu satunya lelaki teristimewa, terlalu sayangkan isteri.’’ Itu cerita Mazni ketika bertemu baru baru ini.

“Sejak kahwin lebih kurang 35 tahun lalu kini umur saya pun dah dekat 60 tahun, saya memang dilarang suami berbual dengan jiran, kecuali bertanya khabar, tak lebih daripada itu. Anak-anak juga tidak diberi bercampur dengan anak jiran. “Akhirnya anak-anak cuma berkawan dan bermain sesama mereka sahaja. Nasib anak tiga orang. Bolehlah mereka bermain bersama selain ada kawan di sekolah. Pada saya suami saya memang ayah terbaik. Tahu menasihat dan menjaga anak-anak.

“Tetapi satu yang agak berbeza daripada suami jiran tetangga. Suami saya ini, Zef terlalu sibuk. Pagi pergi kerja, balik rumah tukar pakaian dan minum ala kadar keluar lagi. Lepas pukul 12 malam baru balik. Memang itulah jadual hariannya. Katanya ada kerja luar.

“Oleh kerana dia terlalu sibuk, dia tak mahu masalah anak-anak mengganggu tugasnya. Oleh kerana zaman itu telefon memang tak ada, kalau anak demam ke muntah ke atau pun sakit perut, saya terpaksa tunggu hingga Zef balik baru beritahu keadaan anak. Kadang kala saya bagi baki ubat lama dan letakkan air di kepala anak supaya demam hilang. Tak perlu Zef bawa ke klinik, lagi pun dia penat balik rumah sebab dah larut malam.

“Pada saya yang `lurus bendul’ ini saya fikir Zef terlalu sibuk pagi bekerja, dan terbawa-bawa hingga ke malam. Zef sering beritahu malam dia terpaksa ikut Datuk itu, Datuk ini, tauke sana tauke sini kerana urusan kerja. Kadang kala dia beritahu ada kerja luar. Saya okay je.

“Sekarang bila duduk sendirian dan dapat pulak berkawan dengan seorang dua kawan baharu, baru saya dapat tahu bahawa Zef ini bukan sibuk pasal kerja, tetapi sentiasa sibuk pasal orang lain, tolong Datuk sana Datuk sini, tolong tauke sana tauke ini dan orang tertentu, sedangkan itu bukan kerja dia yang sebenar. Tugasnya semata-mata di pejabat. Dia suka buat kerja luar.

“Bertahun-tahun tahun saya tertipu, percaya konon suami banyak kerja, tetapi sebenarnya dia buat kerja luar dengan upah tertentu. Semuanya kerana dia pegawai beruniform.

“Walaupun saya sering diperbodohkan, naluri seorang isteri ada kalanya terasa juga dengan kelainan perangai Zef ini. Terutama apabila terjumpa benda-benda tertentu dalam kereta dan kocek seluarnya.

Biasanya benda- benda wanitalah seperti pin tudung, bedak, tisu dengan kesan lipstick yang memang mencurigakan. Tetapi bila ditanya, Zef tak pernah mengaku ada hubungan dengan wanita lain di luar, sebaliknya mendakwa di tempat kerjanya dia sentiasa bekerja dengan wanita dan mereka juga sering tumpang keretanya bila balik waktu malam. Dan saya percaya.

“Masa berlalu begitu pantas, anak-anak pun cepat membesar, ragam anak-anak membuat saya sering terlupa dengan perangai buruk Zef. Pada saya kalau dia balik lambat pastilah kerana dia ada kerja. Dan saya pulak tak pernah dengar cerita buruk tentang kelakuan Zef daripada jiran, sebab saya memang tak berbual dengan jiran kerana Zef tak benarkan. Hidup saya dengan anak-anak dan duduk dalam rumah tak ubah seperti `katak di bawah tempurung’.

“Satu malam Zef balik cepat dia beritahu saya bulan depan dia hendak berhenti kerja. Terkejut beruk saya. Berhenti kerja? Habis macam mana nak hidup? Pelajaran anak-anak macam mana? Mereka dah masuk universiti dan kolej, kalau dah berhenti kerja macam mana nak biayai pelajaran mereka nanti? Mana nak cari duit? Macam-macam persoalan saya tanyakan. Lagi pun belum waktu Zef bersara, 53 tahun pun belum

“Tapi kata Zef saya tak perlu bimbang. Selama ini dia banyak buat kerja luar dan tahulah dia sambung kerja tersebut. Lagi pun katanya dia berhenti sebab penat bekerja siang malam. Akhirnya Zef bersara awal belum pun berusia 55 tahun.

“Walaupun saya bimbang Zef tak bekerja, tetapi dia yakinkan saya dia ada kerja luar, kawan kawannya sentiasa membantu. Saya kembali yakin, sebab Zef banyak contact dengan Datuk dan tauke. Dan mereka sentiasa perlukan khidmat Zef. Itu yang meyakinkan saya.

“Bercerita kesibukan Zef sudah tentu banyak mengganggu hubungan kami suami isteri. Saya sering kesepian, dari muda hingga ke usia 50 tahun, hubungan kami memang jarang terjalin.

“Setelah lima tahun bersara awal, satu hari saya terima panggilan telefon daripada seorang wanita dia beritahu dia adalah isteri kedua Zef. Terkejut beruk saya, hampir tergolek dog. Saya tak percaya dan mendakwa perempuan itu menipu. Katanya dia berkahwin dengan Zef sudah lima tahun. Dan dia ceritakan dia tahu siapa saya, keluarga saya dan anak-anak.

Nak nafikan apa lagi. Namun saya tetap tunggu Zef balik untuk pengesahan.

“Kerana tak ada kawan dan saudara mara yang boleh saya bertanya, saya terpaksa buka rahsia ini kepada anak-anak. Mereka juga terkejut kerana selama ini mereka fikir ayahnya tak balik kerana kerja luar dan sering ikut Datuk sana, ikut Datuk sini keluar negara.

“Memang selepas bersara awal Zef semakin sibuk, hingga seminggu sekali nak balik rumah pun tak sempat. Kadang-kadang baru duduk minum air, Zef beritahu Datuk suruh jumpa orang di luar negara. Dan pastilah dia tak pulang ke rumah beberapa hari.

“Memikirkan semua ini saya semakin yakin memang benar Zef sudah kahwin. Cerita konon dia sibuk hingga tak balik rumah beberapa hari semuanya bohong, sebaliknya dia duduk di rumah isteri keduanya. Itu pasti.

“Menggeletar tubuh saya menahan marah dan geram bila terasa diri ditipu. Dan Zef tak nafikan bila saya tanya benarkah dia kahwin lagi, sebaliknya dia tanya saya siapa yang beritahu. Tapi katanya dia tetap tidak akan ceraikan saya, katanya kalau selama ini saya boleh bersabar walaupun dia sudah berkahwin selama lima tahun, kenapa pulak sekarang nak bising?

“Benar selama ini saya diam, sebab saya tak tahu dia kahwin lagi, juga kerana fikirkan dia bekerja mencari rezeki untuk keluarga. Tetapi bila ditipu saya rasa diri saya ini tidak berguna dan tidak berharga lagi sebagai isteri. Lebih baik bercerai! Paling menyakitkan hati kerana ditipu sedangkan dia bergembira dengan isteri barunya yang sebaya dengan anaknya.

“Lebih parah setelah rahsianya terbongkar dia langsung tak balik rumah kecuali sebulan sekali hantar duit bayar bil utiliti. Nafkah zahir batin memang tak ada. Alasannya kini anak-anak sudah bekerja, pasti anak-anak boleh tanggung makan minum saya. Makna kata dia boleh lepas tangan sebab anak-anak boleh tanggung. Adakah ini adil?.

“Kalau begini lebih baik bercerai. Selama ini dari muda hingga ke tua saya ditipu, hidup dikongkong, tak ubah seperti katak bawah tempurung. Rupanya dia ada niat tersembunyi. Saya kecewa di tinggalkan setelah lanjut usia. Selama ini saya fikirkan hidup saya bahagia bila sudah tua, rupaya menderita di penghujung usia.’’ Itu cerita Mazni. Nasihatnya kepada wanita seusianya jangan percaya suami sepenuh hati, sebaliknya belajarlah daripada kesilapannya. Katanya niatnya kini cuma satu minta diceraikan. `Saya tak rela lagi ditipu dan diperbodohkan.’