Ada yang berbuat demikian kerana inginkan peningkatan dalam kerjaya, tidak kurang juga sekadar mengisi masa lapang. Semuanya terpulang kepada tujuan dan matlamat masing-masing.

Namun, menggalas dua tanggungjawab serentak mungkin membebankan, tetapi tidak kepada Nur Dania Aminurdin, 22.

Pelajar tahun kedua jurusan pengurusan seni dan budaya di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini, turut aktif menceburi industri peragaan dan pencarian bakat untuk video muzik artis tempatan.

Dia menyifatkan apa yang dilakukan dapat mengajar diri berdikari sebelum menempuh alam kerjaya sebenar.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia tidak menghadapi masalah dengan jadual pengajiannya, kerana kerja sambilan itu hanya dibuat waktu lapang, terutama pada hujung minggu.

“Bagi saya, tiada masalah jika sibuk dalam hal yang menguntungkan dan memberi pengalaman baharu, daripada duduk membuang masa melepak bersama rakan-rakan dan akhirnya terjebak dalam perkara tidak baik.

“Sememangnya saya sangat berhati-hati dalam memilih kawan kerana saya tidak suka membuang masa melakukan perkara yang tidak berfaedah,” katanya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini berkata, dia mula bekerja sambilan sejak di tingkatan lima apabila rakannya meminta tolong menjadi ‘pelakon’ bagi video muzik penyanyi Tasha Manshahar dan Syed Shamim.

Meskipun awalnya, berniat untuk membantu dan mencuba nasib, nyata rezeki berpihak kepada Diana apabila dia mula mendapat tawaran lain untuk bekerjasama dalam beberapa video muzik, bahkan kini turut berkecimpung dalam dunia peragaan sebagai model Muslimah.

Apabila menyambung pengajian di universiti, dia aktif dalam media sosial sama ada Twitter mahupun Instagram, selain menggunakan popularitinya dengan mengambil upah posting berbayar untuk beberapa kempen.

Semua itu bertujuan mencari wang poket bagi menyara kehidupannya di kampus kerana tidak mahu terlalu bergantung kepada keluarga.

Pengalaman bekerja sambil belajar bukan saja memberi keseronokan, malah menjanjikan kepuasan peribadi.

Namun Dania akui bahawa masa yang agak terhad kerana terlalu fokus pada kerja dan belajar, membuatkan dia kurang masa untuk diri sendiri, keluarga dan kawan-kawan.

“Bagi saya cabaran terbesar apabila bekerja sambilan ini adalah kurang waktu tidur, maklumlah saya perlu melakukan banyak kerja dalam satu masa.

“Kadangkala semua perkara perlu disiapkan pada saat itu. Hanya pada waktu malam sahaja untuk persediaan kuliah dan peperiksaan, namun saya masih mampu mendapat keputusan yang baik dalam setiap peperiksaan,” katanya yang turut meluangkan masa bersenam tiga hingga empat kali seminggu untuk mengekalkan kecergasan.

Baginya, bukan mudah mencapai apa yang dimiliki pada hari ini kerana dia tahu telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya.

Dalam pada itu, walaupun telah bekerja, dia sentiasa menggalakkan diri untuk menimba ilmu pada peringkat yang lebih tinggi.

Meskipun sudah mempunyai kerjaya yang selesa dan memiliki kelulusan diploma, dia tetap mahu belajar lagi.

“Saya tahu, saya tidak boleh bertahan lama dalam bidang itu kerana satu hari nanti orang sudah tidak mahu menggunakan khidmat saya disebabkan faktor usia dan beberapa perkara lain.

“Sekarang ini pun sudah terlampau ramai model dan instafamous yang muncul dalam laman sosial, jadi saya tidak mahu jadi talentless yang hanya mengharapkan rupa paras dan jumlah pengikut semata-mata.

“Saya mahu dilihat sebagai seorang yang mempunyai bakat atau boleh membuat sesuatu kerja dengan cara lebih profesional,” ujarnya yang merancang menceburi bidang pengurusan seni apabila tamat belajar nanti.