Selamatbercuti.com yang dikendalikan oleh Wan Vacation Sdn. Bhd sebaliknya menawarkan pengalaman cooking holiday atau melancong sambil belajar memasak. Tidak banyak syarikat pelancongan yang menyediakan peluang bercuti seperti ini.

Kali ini destinasi pilihan ialah Ho Chi Minh City, Vietnam. Beberapa bulan lepas menerusi pakej yang sama kami dibawa ke Bangkok, Thailand. Sambutan hangat ketika memasak di Bangkok mendorong selamatbercuti.com meneruskan pakej yang sama ke Vietnam.

Seawal pukul 8 pagi rombongan kami seramai 14 orang sudah bergerak ke HCM Agriculture Villages- HCM Cooking School yang terletak di Tran Van Cham , Cu Chi, kira-kira dua jam perjalanan dari bandar raya Ho Chi Minh. Rombongan diketuai Zuraihan Mohd. Zaki yang sangat cool dan cef gila-gila `Cef Yatie’ daripada Yatie Kitchen.

Kami merentasi banyak kampung dan pekan kecil sebelum tiba di Tran Van Cham. HCM Cooking School terletak di tengah-tengah kebun sayur organik. Walaupun cuaca agak panas, suasana sangat mendamaikan. Sejurus tiba, kami dibawa ke sebuah bangsal besar beratap rumbia yang dari jauh kelihatan tidak ubah seperti sebuah bangsal ternakan. Bagaimanapun ketika masuk ke dalam pondok tersebut barulah kami tahu bahawa tempat itu merupakan sebuah restoran yang juga sekolah masakan. Di dalamnya sudah tersusun rapi meja, dapur dan segala peralatan memasak selain beberapa orang cef yang sudah siap menunggu . Selain daripada rombongan kami ada juga beberapa rombongan lain dalam kumpulan kecil antara lima hingga enam orang yang tiba lebih awal.

Cef Tan Luong yang fasih berbahasa Inggeris menyambut mesra kedatangan kami. Beliau berpengalaman luas dalam bidang masakan dan pernah tinggal dan bekerja di Australia. Para peserta kemudian dibawa ke kebun sayur di sekitar bangsal besar tersebut. Sebelum memasuki kebun setiap peserta diberi terendak Vietnam. Para pelajar terlebih dahulu dibawa meninjau dan mengenali tumbuh-tumbuhan yang ditanam secara organik di situ. Kebanyakan tanaman itu ada di negara kita. Cuma ada satu dua yang sukar dan mungkin tidak sesuai untuk hidup di Malaysia.

Kemudian kami diminta memilih sayur-sayuran dan ulam-ulaman yang bersesuaian untuk lima menu masakan yang bakal diikuti dalam kelas tersebut.

Satu perkara yang mendorong kami menyertai pakej masakan selamatbercuti.com ialah kelas masakan yang dikendalikan ialah halal yakni bahan-bahan mentah yang digunakan organik dan halal. Cef Tan Luong rupanya seorang cef yang gila-gila dan banyak membuat lawak. Mulutnya becok membuatkan kami peserta tak kering gusi ketawa sepanjang sibuk menghadap dapur. Pada hari tersebut kami diajar empat menu masakan termasuk hidangan pencuci mulut. Empat menu bunyinya tak banyak, tetapi apabila disediakan serentak berpeluh jugalah para peserta! Menu tersebut ialah popia udang daun ketumbar, salad betik ikan kakap, ayam stew masak cili dan serai serta popia pisang cicah aiskrim kelapa. Kami juga diajar menghasilkan dua jenis sos masam-manis ala Vietnam.

Setelah hampir setengah hari di dapur, setiap peserta kemudiannya menikmati makan tengah hari hasil air tangan masing-masing. Jelas terpancar kepuasan pada wajah setiap peserta. Pengalaman memasak makanan masyarakat setempat Vietnam ini tidak akan dapat dilupakan sampai bila-bila! Keterangan lanjut pakej ini boleh hubungi [email protected], 03-91322884/0135002884 (Kuala Lumpur) dan [email protected], 09-7652440 (Kota Bharu)