Ada yang bunting pelamin, ada yang mengambil masa berbulan-bulan, malah ada yang bertahun-tahun selepas mendirikan rumah tangga.

Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana terdapat pelbagai cara boleh dicuba bagi memperoleh cahaya mata.

Menurut kajian, sebanyak 85 peratus wanita akan mengandung secara semula jadi dalam tempoh setahun perkahwinan sekiranya konsisten melakukan hubungan intim tanpa mengambil pil perancang manakala 95 peratus pula dalam tempoh dua tahun.

Perunding Pakar Obstetrik dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Sharmina Kamal Shamsul Kamal berkata, secara teorinya majoriti wanita akan mengandung secara semula jadi tanpa memerlukan bantuan alternatif sama ada moden atau tradisional.

Katanya, mereka yang merancang untuk hamil dinasihatkan kerap bersama agar potensi untuk menimang cahaya mata lebih tinggi.

Beliau menyarankan wanita supaya merancang kehamilan sebelum berusia 35 tahun kerana selepas umur tersebut tahap kesuburan semakin menurun.

“Wanita yang berumur sebelum 35 tahun yang masih belum hamil dinasihatkan melakukan pemeriksaan kesihatan bagi mengetahui sebab dan langkah yang boleh diambil.

“Mereka disaran melakukan hubungan kelamin sebanyak dua hingga tiga kali seminggu.

“Ini kerana telur yang keluar dari ovari wanita mampu bertahan selama 48 jam sementara sperma memiliki jangka masa hidup sehingga 72 jam dalam tubuh isteri.

“Melakukan hubungan seks dengan lebih kerap akan mewujudkan keadaan pertindihan untuk telur disenyawakan. Hal ini akan membuka lebih peluang untuk wanita mengandung,” katanya.

Seks kerap tidak ganggu kualiti sperma

Dr. Sharmina Kamal menafikan kekerapan melakukan seks akan menyebabkan kualiti sperma akan berkurang. Sebaliknya pandangan tersebut merupakan mitos yang tidak boleh dipercayai.

Katanya, tubuh lelaki sentiasa menghasilkan sperma, namun perlu diingatkan walaupun pada hari subur, hubungan seks bukan sekadar melepaskan air mani sahaja dan mengharapkan keajaiban, tetapi perlu memastikan pasangan suami isteri mencapai klimaks atau orgasma.

“Sperma lelaki akan berkurangan setiap kali dilepaskan. Oleh itu pasangan perlu melakukan seks sekerap mungkin dengan jarak hari yang tidak jauh agar berlaku pertindihan untuk telur disenyawakan,” jelasnya.

Sungguhpun begitu, pasangan digalakkan untuk lebih berusaha ketika waktu subur isteri kerana tempoh itu merupakan hari yang paling berahi untuk wanita dan keinginan melakukan hubungan seks tinggi.

“Waktu subur wanita biasanya pada hari ke-14 daripada hari pertama haid. Waktu sesuai untuk melakukan hubungan seks disaran pada dua hari sebelum dan dua hari selepas waktu subur isteri.

“Tetapi tidak semua wanita subur pada hari ke-14. Jadi, lebih kerap melakukan hubungan intim, lebih tinggi peluang untuk memiliki anak,” ujarnya.

Ubah gaya hidup

Persekitaran gaya hidup rakyat Malaysia semakin hari semakin tidak sihat terutama dari segi kawalan tekanan, pemakanan dan aktiviti harian.

Bagi pasangan yang merancang menimang cahaya mata disarankan untuk berubah ke arah gaya hidup yang lebih sihat.

Wanita yang mengalami tekanan di tempat kerja, di rumah dan sebagainya cenderung untuk mengalami masalah kesuburan.

Bukan itu sahaja, tekanan juga mampu menurunkan jumlah sperma sementara bagi wanita pula akan mengubah waktu subur yang seterusnya mengganggu waktu ovulasi.

Bagi mengurangkan tekanan tersebut, pasangan boleh melakukan aktiviti kegemaran seperti hobi atau senaman bersama.

Justeru tambahnya, pasangan perlu sentiasa meningkatkan imuniti badan dengan pengambilan makanan sihat untuk membekalkan nutrisi dalam tubuh.

“Amalan gaya hidup sihat seperti kurang atau berhenti merokok serta tidak mengambil minuman beralkohol juga perlu dilakukan agar mudah hamil selain mengamalkan senaman yang sesuai mengikut usia dan keperluan badan,” katanya.

Jika berterusan menjalani kehidupan yang tidak sihat dikhuatiri akan mengganggu proses kehamilan sehingga membawa kepada risiko keguguran atau komplikasi kehamilan lain.

“Pemakanan yang sihat juga perlu diamalkan agar kandungan dapat membesar secara sihat tanpa sebarang masalah. Pengambilan kafein yang berlebihan memberi risiko besar kepada keguguran, kelahiran bayi tidak cukup berat dan kelahiran bayi pra matang.

“Jadi, amat penting bagi pasangan untuk sentiasa ingat mengingati sesama mereka agar proses kehamilan memberi pengalaman yang indah,” ujarnya.

Selain itu, digalakkan juga pasangan bercinta menamatkan zaman bujang sebelum berusia 30 tahun agar memiliki masa lebih lama untuk mendapatkan zuriat.

“Umur memainkan faktor utama kerana melibatkan tahap kesuburan wanita. Lagi berusia seseorang wanita, lebih berisiko untuk sukar hamil serta mengalami komplikasi kehamilan,” katanya.