Pelajar tingkatan dua itu tidak menyangka menjadi terkenal dalam sekelip masa. Memang mengujakan melihat keakraban persahabatan yang dijalin bersama haiwan yang disifatkan menakutkan untuk dihampiri itu.

MUHAMMAD Syukur Khamis menunjukkan gambarnya bersama kerbau yang pernah disiarkan media sebelum ini.
MUHAMMAD Syukur Khamis menunjukkan gambarnya bersama kerbau yang pernah disiarkan media sebelum ini. 

Syukur tak takut kena tanduk

Muhammad Syukur Khamis hanya seorang budak lelaki biasa yang baru berusia 14 tahun. Saiz badannya kurus, kecil dan agak kerdil berbanding dengan rakan sebayanya.

Namun pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin ini mempunyai kelebihan dan keunikan tersendiri yang tidak mungkin ada pada orang lain.

Nama anak bongsu daripada lapan beradik yang tinggal bersama ibu bapa serta tujuh beradik lain di Kampung Kubang Bujuk dekat Kuala Terengganu ini semakin tersohor dan bukan sahaja dikenali di sekitar kampungnya, malah di peringkat antarabangsa.

Ini semua gara-gara gambarnya dirakam sambil beraksi mesra dengan gerombolan kerbau peliharaan bapanya sehingga tular di media sosial, hasil kreativiti dua jurugambar, Dallah Deen dan Mohd. Nazri Sulaiman.

Dallah berasal dari Kelantan tetapi bekerja di Kuala Terengganu manakala anak jati Terengganu, Mohd. Nazri kini menetap di Kuala Lumpur.

Kelebihan serta keunikan gambar itu melayakkan Mohd. Nazri memenangi anugerah Street/People Photographer of The Year Asian Geographic -Image of Asia 2018 dan Remarkable Award di Siena International Photography Award 2018.

Dengan gelagat serta pelbagai aksi manja, selamba dan bersahaja sambil berbaring di atas belakang kerbau, selain membelai dan menggosok-gosok haiwan itu cukup memberi gambaran keakraban antara insan dengan haiwan peliharaan itu.

Pelbagai aksi pelajar itu dengan kerbau peliharaan berjaya mendapat perhatian ramai dalam media sosial, tidak terkecuali reaksi daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang teruja serta kagum melihat kemesraan dan keikhlasan Muhammad Syukur bersama haiwan.

"Saya bangga kerana dapat harumkan nama sekolah, keluarga dan kampung saya. Saya tak takut (kena tanduk), saya rasa selesa dan tenang bila baring di atas belakang kerbau peliharaan ini," kata Muhammad Syukur.

Menurutnya, selain tenang, dia mengakui rasa bangga apabila gambarnya bersama sebahagian daripada hampir 100 ekor kerbau milik bapanya, Khamis Jusoh, 63, menjadi perhatian antarabangsa.

Malah katanya, pencapaian itu telah melonjakkan nama sekolahnya, selain keluarga serta kampungnya.

"Saya mulai rapat dengan kerbau-kerbau ini sejak berusia enam tahun dan masa itu, saya ikut bapa bermain-main dengan kerbau di kandang. Pada mulanya, saya berasa takut kerana saya belum tahu perangai sebenar dia (kerbau).

"Lama kelamaan, kehadiran saya dalam kumpulan kerbau seperti diterima baik. Saya tak pernah dikasari atau ditanduk kerbau-kerbau ini, sebaliknya saya jatuh kasih pada haiwan ini,” katanya yang suka naik atas belakang kerbau.

Muhammad Syukur memberitahu, kerbau yang paling disayanginya bernama Tokol, selain Semek dan Awang.

Remaja ini juga berkata, dia tidak menghadapi sebarang masalah untuk bersahabat dan bermesra dengan kerbau-kerbau itu kerana haiwan itu sudah memahami segala arahan dan kemahuannya.

Menurutnya, apabila tamat persekolahan nanti, dia akan meneruskan usaha menjaga semua haiwan peliharaan bapanya yang bukan sahaja kerbau, malah akan turut memelihara lembu, kambing, angsa dan ayam bagi meneruskan tradisi keluarga.

SELAIN kerbau, Muhammad Syukur juga akrab dengan haiwan lain termasuk kambing.
SELAIN kerbau, Muhammad Syukur juga akrab dengan haiwan lain termasuk kambing. 

Tidak paksa anak jadi gembala

SEORANG bapa, Khamis Jusoh mengakui keluarganya sering menjadi tumpuan ramai termasuk dari luar negara, gara-gara aksi ‘unik' anak bongsunya, Muhammad Syukur dalam gambar sehingga tular di media sosial.

Penternak kerbau dan bapa kepada lapan orang anak itu berkata, dia tidak pernah memaksa anaknya meneruskan kerja memelihara hampir 100 ekor kerbau di  kampung. 

“Semua yang dilakukan adalah kehendak dan minat Syukur untuk jaga kerbau-kerbau ini di dalam kandang apabila ada masa lapang selepas pulang dari sekolah.

“Sebenarnya kesemua anak-anak saya minat pelihara dan jaga haiwan ternakan, tetapi Syukur dan abangnya, Muhamad Alias, 29, paling minat berbanding dengan anak-anak yang lain.

“Tengoklah cara dia (Syukur) jaga kerbau, dia boleh baring sambil menggosok serta membelai haiwan ternakan itu dengan penuh mesra dan  kasih sayang,”katanya.

Menurut Khamis, selain kerbau, dia juga memelihara lembu, kambing dan angsa. Semua itu bermula ketika arwah bapanya masih hidup, dan kemudian diwarisinya sehingga hari ini.

Kerbau-kerbau peliharaan itu biasanya dijual pada  harga antara RM4,000 hingga RM5,000 seekor, bergantung kepada saiznya. 

Sementara itu, Muhamad Alias berkata, selain adiknya, Muhammad Syukur, dia turut  membantu bapanya memelihara kerbau sejak usia kecil lagi dan pada awalnya, hanya 12 ekor kerbau dipelihara, sehinggalah sekarang mencecah 100 ekor.

Muhamad Alias yang baru mendirikan rumah tangga de­ngan Nurul Aina Che Jusoh, 24, pada 31 Ogos tahun lalu akan mengadakan kenduri di kampungnya pada 8 Februari ini.

Beliau yang bekerja sebagai mekanik mengakui agak sedih apabila kerbau kesayangan keluarga yang diberi nama Tokol akan disembelih untuk  kenduri.

“Saiz Tokol memang besar dan mampu mengisi antara lima hingga enam kawah. Kami pilih kerbau ini kerana niat dari awal lagi untuk sembelih dan dihidangkan kepada tetamu pada hari kenduri nanti," katanya.

Mohd Shukor Khamis
Mohd Shukor Khamis di atas kerbaunya..

Anugerah terbesar fotografi

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa tahu.

Demikian pepatah yang sesuai ditujukan terhadap Mohd. Nazri Sulaiman, 45, yang memenangi dua anugerah fotografi di peringkat antarabangsa baru-baru ini.

Gambar yang dihasilkan beliau berjudul Sharing Emotion telah diangkat sebagai pemenang  Remarkable Award bagi kategori ‘fascinating faces and characters’ di Siena International Photography Award 2018 pada Ogos lalu.

Gambar itu terus membawa tuah apabila sekali lagi diangkat sebagai pemenang Street/People Photographer of The Year Asian Geographic - Image of Asia 2018 pada November 2018.

Menurut Mohd Nazri, dia langsung tidak menjang­kakan kemenangan itu dan sepanjang kariernya sebagai jurugambar profesional, itulah anugerah tertinggi  pernah diterimanya.

“Sebelum ini, saya pernah memenangi beberapa pertandingan fotografi, tetapi anugerah yang dimenangi baru-baru ini paling besar dalam hidup saya.

“Paling istimewa, gambar yang dimenangi ini bukan diambil di luar negara, sebaliknya dalam negara kita sendiri.

“Saya bersyukur dan berbangga dengan kemenangan ini, sekali gus dapat menunjukkan keunikan masyarakat kita kepada dunia,” katanya yang mempunyai syarikat perkhidmatan fotografinya sendiri iaitu Photoelements.

Hasil bidikan kreatif Mohd. Nazri itu memaparkan seorang budak lelaki sedang duduk di atas tanah sambil memegang seekor kerbau dan dalam masa sama dikelilingi beberapa ekor kerbau lain.

Gambar tersebut diambil pada 2017 di sebuah kandang kerbau milik Khamis Jusoh, 63, di Kubang Bujuk, Kuala Terengganu, Terengganu.

Budak lelaki dalam gambar itu adalah anak kepada Khamis iaitu Muhammad. Syukur, 14.
Selain Mohd. Nazri, beberapa rakannya yang lain turut menjadikan Muhammad Syukur serta haiwan-haiwan ternakan bapa remaja itu sebagai subjek kegemaran untuk karya masing-masing terutama bagi tujuan memasuki pertandingan fotografi antarabangsa.

Menurut Mohd. Nazri lagi, dia mengenali Muhammad Syukur sejak 2014 selepas rakannya, Dallah Deen memuat naik gambar-gambar menarik remaja itu bersama haiwan peliharaan bapanya di laman Facebook.

“Saya tinggal di Selangor tetapi kampung isteri saya di Terengganu. Jadi ,apabila balik ke Terengganu, saya mengambil peluang untuk berjumpa dengan Muhammad Syukur.

“Bermula dari situ ,saya baik dengan keluarganya dan setiap kali pulang ke Kuala Terengganu, saya akan mengambil gambar Muhammad Syukur. Tidak sangka pula gambar yang dirakam pada 2017 itu membawa tuah,” katanya.

MUHAMMAD SYUKUR KHAMIS gemar berbaring di atas belakang kerbaunya.
MUHAMMAD SYUKUR KHAMIS gemar berbaring di atas belakang kerbaunya. 

Sementara itu,  jurugambar sambilan, Abdullah Deen Mohd. Zain yang mesra dengan panggilan Dallah Deen merupakan antara kumpulan jurugambar pertama yang menemui keistimewaan pada Muhammad  Syukur pada 2015 dan hingga kini lebih 5,000 keping gambar pelajar itu telah dirakam termasuk yang tular sejak semalam.

Menurutnya, kalangan jurugambar masih lagi terkejut kerana dikenali ramai seca­ra tiba-tiba namun mereka bersyukur kerana penularan gambar-gambar itu membolehkam lebih ramai masyarakat menghargai keistimewaan Muhammad Syukur.

Katanya, setakat petang ini seramai enam pembeli sudah menyatakan komitmen untuk membeli 12 keping gambar hasil karyanya, di samping turut menerima jemputan untuk membuat pameran khas di Pusat Pelancongan Malaysia (MATiC).-UTUSAN ONLINE