Biarpun agak tergamam mendengar pengakuan wanita yang keletah dan peramah itu, namun melihat kepada semangat juangnya yang kental untuk menempuh hidup, menimbulkan rasa kekaguman.

Juliza yang merupakan penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP), ketika ditemui di rumahnya di PPR Batu Muda, Kuala Lumpur memberitahu, sejak dia menderita penyakit asma kronik yang dikenali sebagai Brittle Bronchial Asthma yang dialami sejak 2010, hospital telah menjadi rumah utamanya.

Kali pertama mengalami penyakit itu, dia terpaksa ditahan di dalam wad, selama dua tahun untuk menjalani rawatan dan memerlukan tiub pernafasan untuk bernafas.

Ketika itu dia juga tidak boleh bergerak kerana mengalami bengkak kaki akibat darah beku pada bahagian itu mungkin disebabkan simptom kesukaran bernafas yang dialami.

Akhirnya setelah menjalani sesi fisioterapi dari 2012 hingga 2013, dia akhirnya dapat bergerak kembali.

“Akibat penyakit ini saya asyik berada di hospital. Kadang-kadang seminggu sahaja saya berada di rumah, sebelum dimasukkan ke hospital semula untuk jalani rawatan. Adakalanya saya terpaksa berada di hospital selama sebulan atau lebih. Ini menyebabkan pengajian di universiti terganggu,” katanya.

Bercerita bagaimana penyakit ini mula menimpa dirinya, Juliza memberitahu, sebelum ini dia langsung tidak berhadapan dengan masalah semput atau asma, ketika itu dia masih dalam pengajian di peringkat diploma di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada 2006, apabila diserang demam, batuk dan selesema berpanjangan.

Apabila berjumpa doktor, penyakitnya itu didapati sudah pun melarat.

Juliza berkata, lazimnya pesakit asma sepertinya apabila menggunakan inhaler atau mendapatkan bantuan oksigen di klinik-klinik biasa, sudah boleh melegakan, tetapi dia sebaliknya apabila perlu menggunakan tiub pernafasan untuk bernafas setiap ketika.

Wanita ini mengakui, penyakit yang dialami memerlukannya menggunakan tiub oksigen sepanjang masa. Selama ini, dia menggunakan mesin bantuan pernafasan Terapi Oksigen Jangka Pandang (LTOT), yang berfungsi menggunakan bateri dengan saiznya yang agak kecil.

Namun lama-kelamaan, mesin ini tidak lagi mampu menyediakan bekalan oksigen yang mencukupi kerana keadaan kesihatannya yang semakin parah.

Juliza kini memerlukan sebuah tabung bekalan oksigen yang lebih berpanjangan dinamakan mesin pernafasan Tekanan Udara Positif Dwihala (Bipap) berharga RM26,500.

Dia turut menunjukkan surat sokongan HKL. Tertulis pada surat berkenaan, selain menderita Brittle Bronchial Asthma dengan sejarah kemasukan ke ICU, dia juga disahkan sebagai penghidap Osteopenia secondary to steroid, adrenal insuffiency, paru-paru kronik dan hypercapnia.

“Saya perlukan mesin ini dengan segera kerana keadaan kesihatan yang tidak lagi menentu membuatkan saya semakin sukar untuk bernafas. Mesin Bipap ini memudahkan saya membawanya ke mana-mana (portable).

"Saya amat memerlukan peralatan ini untuk menambah baik dan memulihkan kualiti hidup saya semula,” rayunya yang merupakan anak sulung daripada lima orang adik-beradik.

Juliza memberitahu, dengan keadaan dirinya yang masih menuntut, menginap di rumah sewa, ibu yang tidak bekerja dan pendapatan bapa sekitar RM1,500 sebagai pembantu kedai makan, dia berharap agar ada pembaca yang sudi untuk menyumbang bantuan bagi membolehkannya membeli mesin itu.

Setakat ini, dia turut menerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan UMP, serta pemegang kad OKU (orang kurang upaya).

“Saya memang perlukan mesin ini. Sekarang ini tubuh saya pun sudah alah dengan ubat, tulang pun sudah mulai reput,” katanya separuh berseloroh.

Sumbangan boleh diberikan kepada Juliza Ameruddin:

1643 3331 9073 (Maybank)  atau  7000 2154 27 (CIMB).

Berazam tamatkan pengajian

BIARPUN sukar berhadapan dengan penyakit asma kronik yang dihadapi, namun wanita ini tetap berazam untuk menamatkan pengajiannya. Juliza kini merupakan penuntut semester pertama tahun empat dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer Teknologi Grafik dan Multimedia di UMP.

“Saya sudah tinggalkan pengajian enam tahun. Namun pihak universiti faham dengan keadaan saya. Kalau agak sihat, saya akan kembali ke universiti untuk belajar. Kalau tidak, saya berada di hospital dan di rumah.

"Rakan-rakan ramai yang sudah tamat pengajian dan bekerja. Hanya saya yang masih bertatih untuk menamatkan pengajian.

“Hanya baru-baru ini saya agak terdaya untuk menyambung pembelajaran. Biarpun ada masanya terpaksa terlantar di hospital berbulan-bulan atau berminggu-minggu lamanya. Saya berazam, walau apa pun terjadi, saya tetap mahu tamatkan pengajian, biarpun berapa lama masa yang diperlukan selagi termampu,” katanya.

Buat masa ini semua orang memberi sokongan termasuk kedua-dua ibu bapa, pensyarah dan rakan-rakan untuk dia menamatkan pengajian.

Malah, pihak universiti memberikan pelbagai kemudahan termasuk memberikan bilik yang paling hampir dengan kelas bagi memudahkannya bergerak ke situ.