“Saya percaya tidak ada wanita ingin berkahwin dan ingin bercerai. Tidak ada wanita yang mahu segera memegang title janda atau ibu tunggal. Biasanya ramai wanita berkorban selagi terdaya, demi pertahankan perkahwinannya kerana tidak ada maknanya berkahwin semata-mata untuk bercerai. Tetapi bila keadaan tidak dapat terkawal barulah wanita bertindak pertahankan hak dan dirinya sendiri,’’ itu cerita Mas Elena kepada penulis.

“Demikian juga dengan saya, bercinta setengah mati, bak kata bebudak sekarang, tapi tak sampai lapan tahun kami bercerai setelah dapat dua orang anak. Memang waktu tu kami masih muda, bila ada gangguan luar tentu kami cepat terasa. Bagaimana pun sebagai wanita, kalau suami kita main cinta dengan wanita lain takkan saya nak berdiam diri lagi, tentulah saya bertindak, dan pastinya berakhir dengan perpisahan.

“Saya tak kesal dengan perceraian, sebab saya dari awal lagi saya tak sanggup bersaing dengan wanita lain. Jika suami dah bercinta sakan hingga lupa anak bini takkan saya nak tunggu lagi.

‘‘Bila dah bercerai masalah tuntut anak memang jadi masalah utama namun dek kerana anak-anak masih kecil sudah pasti saya berhak menjaga mereka dan mendapatkan nafkah anak- anak daripada bekas suami.

“Namun biasalah mana ada bekas suami yang mahu bagi nafkah anak-anak, mereka takut saya makan duit nafkah. Sedangkan dia tak tahu betapa beratnya menanggung makan minum anak-anak. Lama lama saya kata kalau tak mahu bayar nafkah tak payah tengok anak, dia diam, maklum orang tengah bercinta mana dia nak peduli pasal anak-anak.

“Di pendekkan cerita enam tahun lepas bercerai ada pulak si mamat ini berkenankan saya konon nak jadikan saya ratu hatinya, sebab dia dah menduda lebih dari lima tahun dan teringin berteman kembali. Walaupun awalnya saya tolak sebab hasrat saya ingin besarkan anak-anak saya dulu, paling tidak mereka dah bersekolah menengah dan boleh berdikari, tetapi godaan mamat ini yang saya panggil Bak semakin hari semakin menjadi jadi.

“Dia suka control saya, jam berapa balik kerja, cuti buat apa dan macam macam lagi. Sikapnya buat saya lemas. Sebenarnya siapa dia yang nak control saya dan apa hal saya nak buat laporan pada dia setiap hari apa yang saya buat di pejabat.

“Kerana gangguannya keterlaluan saya putuskan hubungan. Saya memang tak bercadang berbaik semula, sebab kalau belum kahwin dah nak control, kalau kahwin nanti tentu lebih teruk lagi. Enam bulan lamanya saya tak hubungi Bak.

“Tapi Bak tak kenal putus asa. Lepas enam bulan dia berjaya mendekati saya semula, kali ini janjinya dia tidak akan control saya jika saya setuju berkawan dengannya semula.

“Seperkara lagi alasan bekas isteri Bak yang enggan beri dia jumpa anak-anak membuat saya ada terfikir apakah dia tidak beri nafkah anak-anaknya. Tapi Bak nafikan, dia beri nafkah melalui potongan gaji. Kata-katanya membuat saya yakin dia ayah yang baik.

“Setahun kemudian kami buat keputusan untuk berkahwin setelah saya benar-benar yakin tentang hubungannya dengan anak anaknya. Sebab saya tak mahu dia jadi seperti bekas suami saya yang tak tahu tanggungjawab bagi nafkah pada anak-anak.

“Namun kita manusia hanya boleh melihat orang pada mata kasar dan sering tertipu dengan sandiwara yang dilakonkan.

“Saya mula menyedari siapa Bak bila satu hari dia ajak saya ke rumah kakaknya. Tanpa diduga saya terdengar kakak Bak nasihatkan Bak supaya ambil berat kebajikan tiga orang anaknya. Sudahlah tak beri nafkah, anak sakit pun tak mahu tengok. Berderau darah saya, Apakah benar apa yang saya dengar. Ini betul-betul berita hangat pada saya. Lebih mengejutkan lagi, saya dengar bekas isteri Bak nak nikah lagi, setelah lebih enam tahun bercerai.

“Sebenarnya bukan saya saja terkejut, Bak pun terkejut. Dalam perjalanan pulang Bak membisu . Minggu seterusnya Bak beritahu dia akan ambil anak-anaknya datang ke rumah kami. Lagi terkejut, sebab sebelum ini, Bak tak pernah sebut nak bawa anak-anaknya datang ke rumah kami. Mengapa sekarang sudah bertukar. Saya tak marah, cuma hairan dengan perubahan Bak yang mendadak. Selama ini dia kata isterinya control anak-anak dan dia tak boleh ambil.

“Oleh kerana tak rapat dengan anak-anaknya, tentulah awalnya anak-anak bantah, tak mahu ikut Bak. Ini membuat Bak naik darah dan berlakulah pertengkaran dengan bekas isterinya.

“Namun beberapa minggu kemudian Bak dapat menarik hati anak-anaknya supaya ikut dia datang ke rumah dan keluar makan malam sebelum hantar balik ke rumah emaknya. Demikianlah pada minggu-minggu seterusnya. Bak berusaha mengeratkan kembali hubungan dia dengan anak-anaknya.

“Untuk berbaik semula pastilah Bak berbelanja besar bagi memenuhi permintaan anaknya yang ada kalanya saya rasa sudah keterlaluan tetapi kerana Bak ingin menarik hati anaknya, saya diamkan sahaja. Baguslah sebab selama ini dia tak pedulikan anak-anaknya.

“Satu hari Bak suruh saya sediakan sebuah bilik khas untuk anak-anaknya. Kalau biasa Bak bawa anak-anaknya ke rumah kami seminggu sekali, sekarang dah mula ajak mereka tidur di rumah. Itu tak ada masalah.

“Masalahnya bila dah tak sukakan mak tiri, tentulah anak-anaknya buat perangai. Bukan untuk sakitkan hati ayahnya, tetapi saya ibu tirinya. Kalau dipanggil makan mereka tak mahu makan, bila kita tidur baru nak makan. Boleh dikatakan sepanjang hari mereka berkubang dalam bilik, hinggakan bilik mereka tak ubah macam kubang kerbau.

“Bak tak berani bersuara, melainkan dengar apa juga permintaan anak-anaknya, hinggakan kalau anaknya nak makan makanan segera pun Bak sanggup bawa keluar makan. Itu semua saya tak kira asalkan jangan menyakiti hati dan perasaan anak-anak saya sendiri.

“Contoh, kalau dah makan KFC di luar janganlah bawa balik, anak-anak saya tengok. Tentu mereka teringin nak makan. Masalahnya saya terpaksa mententeramkan anak-anak saya yang memberontak inginkan makanan yang sama. Jadi ini tentu menyakitkan hati saya.

“Yang pasti kami suami isteri sering bertengkar kerana perangai anak-anak Bak. Lebih pelik Bak berubah sayangkan anak-anaknya yang satu ketika dahulu dia tak pedulikan semata mata kerana bekas isterinya nak kahwin lagi.

“Ini pada tafsiran saya sendiri, mungkin saya salah, tetapi inilah yang berlaku sejak Bak dapat tahu bekas isterinya nak kahwin lagi, dia mula berebut nak jaga anak-anaknya, walaupun anak-anaknya itu tak mahu datang apa lagi duduk di rumah kami.

“Maklumlah selama ini Bak tak pedulikan anak-anaknya mengapa bila anak anak dah besar Bak mula nak tawan hati mereka. Tentu mereka benci, dan buat perangai. Masalahnya mereka buat perangai Bak salahkan saya. “Lebih menyakitkan hati Bak salahkan saya tak layan anak-anaknya. Sakitnya hati Allah sahaja yang tahu, tetapi apabila terperangkap dalam masalah ini memang sulit untuk saya lepaskan diri. Kalau saya tahu begini jadinya, pasti saya tidak kahwin lagi. Saya tak tahu berapa lama lagi saya harus bersabar, sebab semakin hari semakin merenggangkan hubungan kami. Dan lebih jelas Bak semakin bencikan anak-anak saya. Apakah ini semua berlaku kerana Bak cemburukan bekas isterinya ingin kahwin lagi?.

“Setiap hari saya berfikir berapa lama lagi saya mesti pikul masalah ini. Sebab peritnya semakin terasa dan pedihnya hati macam dicucuk sembilu,’’ Itu cerita Mas Elena tentang penderitaannya dan dia yakin pasti ramai wanita hadapi masalah serupa.