Paling mengecewakan mereka, janji yang pernah dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof tahun lalu tentang penubuhan sebuah mahkamah syariah khas bagi mendengar kes tuntutan nafkah dan hadanah paling lewat Februari tahun ini. Malangnya, hingga kini bayangan mahkamah tersebut masih belum wujud lagi.

Dalam satu program televisyen Dr. Mujahid sekali lagi menegaskan bahawa pihaknya akan menubuhkan mahkamah khas tuntutan nafkah pada Februari tetapi hingga kini masih senyap. Ramai tertanya-tanya bilakah mahkamah tersebut akan diwujudkan yang bertujuan memberikan pembelaan seadil- adilnya kepada ibu-ibu tunggal.

 

Sungguhpun begitu, usaha dan niat baik pak menteri ini memang patut dipuji tetapi ibu- ibu tunggal sudah tidak sabar untuk menunggu setelah sekian lama terseksa turun naik mahkamah. Selepas bertahun-tahun bekas suami yang dituntut masih belum ditemui manakala kes pula terus tergantung dan tertangguh berkali-kali kerana kegagalannya hadir ke mahkamah. Bertambah malang lagi, tiada tindakan dikenakan kepada bekas suami yang gagal hadir ke mahkamah apa lagi untuk mengenakan hukuman penjara seperti yang diuar-uarkan.

Jadi, tidak salah jika orang ramai mendakwa mahkamah syariah tidak ada power seperti mahkamah sivil. Ini satu cabaran yang mahkamah syariah mesti akui dan perbaiki.

Puan Siti salah seorang ahli Kumpulan Sokongan Ibu Tunggal (KSIT) memberitahu dia kagum dengan bekas suaminya yang sanggup bayar yuran peguam puluhan ribu ringgit semata-mata untuk pertahankan diri daripada membayar tunggakan nafkah anak anak.

“Tuntutan nafkah saya untuk tiga orang anak tak sampai pun RM70,000 tetapi bekas suami enggan bayar. Kalau benar dia tidak ada duit macam mana dia boleh bayar yuran peguam yang mahal tu?

“Sepatutnya pegawai suluh atau hakim nasihatkan bekas suami supaya adil kepada anak-anaknya sendiri dengan bayar nafkah bukannya berlawan dalam mahkamah dengan mengeluarkan wang lebih banyak untuk bayar yuran peguam.

“Saya memang tak berduit untuk guna khidmat peguam. Sebab itu saya buat tuntutan sendiri di mahkamah syariah untuk dapatkan nafkah anak-anak. Tetapi bekas suami sanggup bayar peguam berpuluh ribu ringgit semata-mata kerana tidak mahu bayar nafkah anak. Adakah ini adil atau satu tindakan waras oleh seorang lelaki bergelar ayah?

“Macam kes saya dah terang-terang bekas suami buat pengakuan dalam mahkamah bahawa dia akan bagi nafkah sebanyak RM500 sebulan untuk tiga orang anak selepas dia melafazkan cerai. Saya pun tunggu, tapi bayaran nafkah tak pernah sampai ke dalam akaun bank saya atau diberi sendiri kepada saya. Kecuali bekas suami sekali sekala beri pada anak anak sebanyak RM20 seorang ketika dia datang jumpa mereka di padang sekolah.

“Pada saya pemberian terus kepada anak anak bukan nafkah tetapi pemberian duit sagu hati atau duit saku. Sudah pasti ia tidak boleh dikira sebagai nafkah. Lagi pun jumlah itu bukan sahaja tidak mencukupi, tetapi tidak mengikut perjanjian yang dia sendiri buat semasa bercerai dalam mahkamah dahulu,’’ katanya.

Puan Masna yang juga ahli KSIT pula beritahu, tuntutan nafkah yang dibuatnya sudah memakan masa lebih empat tahun. Namun bekas suami masih gagal hadir ke mahkamah, dan kalaupun dia datang dia akan buat kes baharu ubah perintah, tetapi janjinya untuk beri nafkah masih tidak terlaksana

“Kerana kegagalannya bayar nafkah yang sudah banyak tertunggak dan memakan masa bertahun- tahun, maka saya telah membuat tuntutan supaya memenjarakan bekas suami kerana gagal hadir ke mahkamah.

“Malangnya perintah itu juga tidak dilaksanakan oleh mahkamah. Alasan yang sering digunakan oleh petugas mahkamah yang menyampaikan saman, bahawa tertuduh tidak ditemui, alamat tidak jelas dan macam macam lagi. Akhirnya perintah untuk penjarakan bekas suami yang tak beri nafkah tidak pernah dilaksanakan. Sehingga ini tidak ada seorang pun bekas suami di negara ini yang dipenjarakan kerana tak bayar nafkah atau tidak pernah hadir ke mahkamah. Dia bebas hilangkan diri kerana enggan bayar tunggakan nafkah.

“Lebih menyakitkan hati kawan saya juga pernah buat tuntutan nafkah anak-anaknya tetapi jumlah tuntutannya bukan sahaja diturunkan nilainya malah kawan ini diminta oleh hakim supaya lebih bertimbang rasa dan jangan tuntut terlalu banyak nafkah anak kepada bekas suami. Sebab bekas suami sudah berkahwin dan ada keluarga baharu yang hendak di beri makan.

“Pelik! Sepatutnya hakim lebih bertanggungjawab dengan menasihatkan bekas suami supaya segera selesaikan hutang nafkah tertunggak. Bukannya menasihatkan bekas isteri bersabar dengan bekas suaminya yang sudah berkeluarga baharu dan tidak mahu bayar nafkah.

“Kalau tak mampu bagi nafkah sepatutnya si suami dinasihatkan agar beransur-ansur bayar hutang nafkah tertunggak dahulu, sebelum merancang kahwin lagi kerana hutang akan dituntut hingga ke akhirat. Tambahan pula hutang nafkah anak menjadi tanggungjawab si ayah kerana anak-anak adalah amanah Allah. Bukan cari isteri baharu dan mencari alasan untuk tidak mahu bayar nafkah tertunggak.

“Harapan ibu-ibu tunggal supaya hakim mahkamah syariah menasihatkan bekas suami supaya berfikiran waras. Daripada mereka bayar puluhan ribu ringgit kepada peguam untuk bela mereka di mahkamah adalah lebih baik mereka bayar nafkah anak-anak yang tertunggak. Kerana nafkah anak tanggungjawab si ayah dan mereka akan dituntut di akhirat kelak,” kata Masna.

Sementara itu Norlekha pula mencadangkan apabila bekas suami atau duda ingin berkahwin dia mesti buat permohonan ke mahkamah yang mana mahkamah akan membuat ikat janji bahawa duda ini mesti bayar nafkah kepada bekas isterinya. Perjanjian itu mesti ditandatangani bahawa dia mengaku serta bersedia dihadapkan ke mahkamah jika gagal bayar nafkah seperti yang telah dipersetujukan.

“Memang tidak ada siapa boleh larang jika duda itu ingin kahwin lagi tetapi masalahnya adakah dia telah melaksanakan tanggungjawabnya beri nafkah anak-anaknya?

“Perjanjian itu juga mesti mendapat persetujuan waris bekas suami tadi sama ada ibu-bapa atau adik-beradiknya bahawa mereka mesti bertanggungjawab memberi nafkah kepada cucu atau anak-anak saudaranya jika ditakdirkan si duda itu gagal beri nafkah, telah menghilangkan diri ataupun meninggal dunia.

“Sebenarnya masalah tuntutan nafkah ini sudah lama diperkatakan tetapi hingga kini tiada keputusan muktamad dibuat kecuali jika wanita yang menuntut itu terdiri dari golongan VIP, artis atau berpangkat. Ibu tunggal susah dan malang tetap terpinggir dan terabai.

“Oleh kerana itu tidak hairanlah ramai ibu ibu tunggal yang berputus asa untuk meneruskan tuntutan nafkah. Bukan kerana mereka banyak duit dan mampu tanggung anak-anak sendiri tetapi kerana terlalu benci dan kecewa dengan kerenah serta perjalanan perbicaraan kes mahkamah yang memakan masa bertahun-tahun lamanya dan banyak memihak kepada kaum lelaki walaupun lelaki itu enggan hadir ke mahkamah.’’

Ini antara kesimpulan yang dibuat oleh ibu ibu tunggal dari KSIT, namun semangat mereka tidak pernah pudar untuk terus menuntut biarpun memakan masa bertahun-tahun. Harapan mereka, mahkamah syariah perlu melakukan lebih banyak pembaharuan demi masa depan anak-anak orang Islam yang menjadi mangsa penceraian.