AKMAL HARITH
AKMAL HARITH 

Pengisian nilai-nilai mulia itu diterjemahkan menerusi kerjasama serta bantuan sama ada dari segi material atau moral oleh kalangan individu terbabit mahupun secara berkumpulan mewakili pertubuhan.

Nilai-nilai kemanusiaan wajar menjadi amalan masyarakat berbilang kaum di negara ini agar kehidupan beradab dan budi pekerti mulia seperti yang dituntut agama masing-masing dapat dipraktikkan.

Sikap itulah yang ditunjukkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Lembah Kelang iaitu Be Always Near To The Unfortunates (BANTTU) Malaysia. Prihatin dengan kebajikan dan kesusahan penduduk Orang Asli di pedalaman, BANTTU menggerakkan seramai 30 sukarelawan untuk menyempurnakan program fun-drive bagi tujuan ziarah ke Kampung Rening, Pos Telanok, Cameron Highlands, Pahang baru-baru ini.

SANTARA gelagat sukarelawan dan anak-anak Orang Asli membersihkan
ANTARA gelagat sukarelawan dan anak-anak Orang Asli membersihkan diri.

Konvoi sukarelawan BANTTU yang menaiki 12 buah kenderaan pacuan empat roda itu turut disertai empat petugas dari Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) serta masing-masing seorang dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Persatuan Penolong Pegawai Tadbir dan juruhebah radio Asyik FM.

Perjalanan kenderaan menyusuri hutan, laluan balak dan anak sungai selama tiga jam tidak melunturkan semangat sukarelawan untuk menyantuni serta mengadakan aktiviti bersama 190 penduduk Orang Asli etnik Semai beragama Islam.

PENDUDUK kampung memilih pakaian terpakai.
PENDUDUK kampung memilih pakaian terpakai. 

Antara pengisian program ialah kenduri, sukaneka, perlawanan persahabatan sepak takraw, sumbangan pakaian dan keperluan dapur (makanan) serta motivasi kesedaran penjagaan rambut, gigi dan tangan.

Penyelaras program Fun-Drive BANTTU, Akmal Harith Hassan, 36, berkata, program itu merupakan aspirasi tugas kesukarelawanan sosial yang digerakkan oleh pertubuhan itu dengan memfokuskan penduduk Orang Asli di pedalaman tanpa mengira etnik dan kepercayaan.

“Aktiviti ini selaras dengan aspirasi pertubuhan ini, iaitu selalu berdamping serta membantu insan yang kurang bernasib baik. Ia sekali gus memberi pengajaran serta pengalaman kepada sukarelawan supaya mereka dapat merasai denyut nadi masalah yang dialami penduduk,” katanya kepada Mega Rona di Kampung Rening, Pos Telanok.

SUKARELAWAN mengajar anak-anak Orang Asli memberus gigi dengan
SUKARELAWAN mengajar anak-anak Orang Asli memberus gigi dengan betul.

Akmal Harith berkata, sumbangan pakaian dan barang makanan termasuk wang tunai merupakan dana yang terkumpul daripada ahli BANTTU yang kebanyakannya terdiri daripada penjawat profesional di sektor kerajaan dan pengusaha di Lembah Kelang dan seluruh Semenanjung.

Beliau berkata, pengisian yang cukup bermakna semasa program itu ialah simulasi penjagaan kesihatan badan anak-anak Orang Asli.

Katanya, sukarelawan turut memberi tunjuk ajar dan membantu anak-anak Orang Asli memberus gigi dengan betul, membersihkan rambut dengan syampu dan memotong kuku.

Seorang sukarelawan dari Bandar Sunway, Sazali Dahinan, 45, berterima kasih kepada sekretariat BANTTU kerana memberi peluang kepadanya menyertai program itu.

“Ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke kampung Orang Asli di pedalaman negeri ini.

“Timbul rasa insaf dalam diri saya kerana masih ramai insan yang susah, perlu disantuni dan dibantu seperti penduduk Islam Orang Asli di sini yang memerlukan bantuan dari luar,” katanya.

Sazali berharap program kebajikan itu diteruskan untuk memberi pendedahan kepada ahli BANTTU mengenai survival kaum minoriti Orang Asli serta dalam masa yang sama dapat memupuk nilai kasih sayang sesama manusia.

Sementara itu Tok Batin Kampung Rening, Abdul Busu, 49, bersyukur kerana kunjungan sukarelawan BANTTU dan pegawai agensi kerajaan membuka minda masyarakat Orang Asli di kampung itu khususnya mengenai penjagaan kesihatan dan pendidikan.

“Saya mewakili penduduk kampung berterima kasih kepada rombongan ini (BANTTU) kerana menyumbangkan pakaian terpakai dan barang makanan yang mampu meringankan kesusahan orang kampung,” ujarnya.

Tambahnya, sekurang-kurangnya sumbangan yang diterima memberikan sedikit keselesaan serta kemudahan kepada penduduk kampung.