Setiap orang yang berpersonaliti positif ada magnet atau aura positif. Mereka yang berpersonaliti sedemikian akan mewujudkan keserasian ketika bersahabat atau berurusan selain saling memberikan manfaat antara satu sama lain dengan cara bantu membantu dan membahagiakan orang lain. Yakni, bahagiakan orang dengan mengamalkan sikap baik hati dan murah hati serta sentiasa mempermudahkan urusan orang lain dengan menunaikan hajatnya.

Tip untuk membahagiakan orang. Pertama, berikan kasih sayang. Kedua, jadikan sesiapa yang berurusan dengan kita itu sentiasa berasakan dirinya penting dan dihargai. Ketiga, banyak mendengar atau beri peluang kepada sesiapa yang bertemu kita bercerita daripada sibuk bercerita tentang diri sendiri. Keempat, jangan buatkan seseorang itu berasa serik untuk bertemu kita atau merasakan kehadirannya itu mengganggu dan menyusahkan. Kelima, berikan hadiah sebagai kenang-kenangan untuk menyambungkan silaturahim kerana dengan hadiah tersebut mereka akan sentiasa mengingati kita. Orang yang benar-benar baha­gia ialah mereka yang bahagia apabila melihat orang lain bahagia tanpa rasa iri hati. Sesungguhnya yang membuatkan seseorang itu bahagia ialah berpunca daripada diri sendiri. Hati yang bersih dan ikhlas serta fikiran yang jernih akan menghasilkan kebahagiaan. Seandainya kita tidak boleh atau tidak mampu membahagiakan orang, jangan buat orang lain bersedih.

Ingatlah, kebahagiaan itu sebenarnya hanya dimiliki oleh orang yang bersyukur. Jika kita tidak mampu memiliki apa yang dihajatkan, pupuklah rasa suka apa yang dimiliki. Bagi menjauhkan rasa kehampaan, pandanglah orang lebih susah iaitu mereka yang tidak mampu memiliki apa-apa yang kita ada. Untuk mengelakkan rasa sombong dan bangga diri, lihatlah orang lebih senang iaitu mereka yang lebih berkemampuan daripada kita. Sentiasa mensyukuri nikmat Allah SWT. Jadikanlah diri ini seperti jantung dalam tubuh yang tidak terlihat oleh mata tetapi kehadirannya amat penting.

Hakikatnya hidup ini bergantung pada seketul jantung yang setia terus berdenyut setiap saat, hingga seseorang itu boleh terus hidup dan bermanfaat kepada orang sekeliling. Kalau berhenti fungsi jantung bermakna seluruh kehidupan insan itu pun mati. Begitulah kita yang sepatutnya sentiasa memberikan manfaat kepada orang lain. Tangan yang memberi itu lebih mulia daripada tangan yang menerima. Jika orang tidak berterima kasih atau mengenang budi baik yang kita lakukan kepadanya, redalah. Yang penting Allah Maha Mengetahui segala kebaikan yang telah dilakukan. Jangan mengharapkan penghargaan manusia, tetapi raihlah keredaan Allah.

Jom audit diri dan jadilah orang yang berbudi dan menjaga budi pekerti. Daripada hati yang baik, bersih dan ikhlas akan lahir perasaan serta tindakan yang positif. Prinsip pemikiran ‘reset minda’-‘dunia dalaman’ menggambarkan ‘dunia luaran’. Jika ‘dunia dalaman’ (hati/jiwa/roh) positif bermakna ‘dunia luaran’ (jasad/fizikal) yang ditunjukkan melalui personalitinya turut positif. Oleh sebab itu usahlah sibuk mencantikkan pakaian tetapi sibukkanlah diri mencantikkan amalan dengan menjadi orang yang berbudi dan ringan tangan untuk memberi.

Orang yang murah hati dan tinggi budi pekerti akan melakukan tiga perkara apabila bertemu dengan seseorang, baik yang dikenali atau yang baru dikenalinya. Pertama, buatkan sesiapa yang bertemu dengannya berasa seronok dan sayang hingga dia berasa tidak puas dan mengharapkan akan berjumpa lagi pada masa yang lain. Oleh itu apabila bertemu seseorang carilah kebaikan yang ada dalam dirinya, bukan mencari kelemahan dan keburukannya. Bermurah hati untuk memujinya dengan ikhlas bukan sekadar untuk menyedapkan hatinya dengan pujian yang muluk-muluk atau membodek. Elakkan sama sekali mengkritik yang boleh menjatuhkan air muka. Jika perlu memberikan pandangan, berikanlah pandangan yang ikhlas serta berhemah dengan bahasa dan budi pekerti yang lembut.

Kedua, biar orang yang ditemui itu berasa dirinya baik dan penting buat diri kita. Sebut kebaikannya dan nyatakan kita bertuah dapat bertemu dengannya selain mengharapkan pertemuan itu bukan pertemuan terakhir. Tunjukkan riak wajah bahawa kehadirannya itu tidak menganggu sebaliknya sebagai satu rahmat yang amat dinanti-nantikan, amat memberikan makna dan amat menggembirakan.

Ketiga, jadikanlah diri ini sebagai seorang pemberi bukan penerima. Jom audit diri, adakan kita suka menjadi pemberi atau penerima? Amalan suka memberi ini adalah amalan hidup Nabi Muhammad SAW kerana tangan yang di atas lebih mulia daripada tangan yang di bawah. Ubah persepsi pemberian hanya boleh dilakukan jika kita memiliki atau tanggungjawab suka memberi itu hanya untuk orang yang berharta. ‘Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak’.