Itu cerita Norzaini ketika bertanya apa fungsi KSIT. Dia ingin tahu adakah KSIT ini sebuah NGO, badan peguam atau persatuan untuk ibu tunggal sahaja. Kerana daripada yang dia baca, KSIT bantu ibu tunggal sahaja. Macam mana pula dengan wanita yang bukan ibu tunggal tetapi mereka ingin bertanya dan mendapatkan khidmat nasihat? Kerana ibunya bukan ibu tunggal, tapi ada masalah dalam rumah tangga.

“Sebenarnya saya masih belajar, tetapi saya kasihan dengan emak. Sejak kecil hinggalah saya masuk universiti emak sering kena sindir dan kena kutuk dengan ayah. Terutama kalau kami ada di rumah. Memanjang ayah lahirkan rasakan tak puas hati tentang emak. Emak cuba pertahankan dirinya, tetapi tenggelam bila ayah bawa beberapa kelemahan emak yang lain.

“ Lebih menyakitkan hati kami, ayah seolah-oleh minta sokongan kami supaya turut sama kutuk emak. Kalau kami tiga beradik pakat diam, ayah kata kami pun sama macam emak. Sebenarnya kami semua ada perasaan, iaitu perasaan kami bencikan perangai ayah.

“Kami tahu emak pun ada perasaan. Emak diam bukan kerana bersalah, tapi kerana tak suka bertengkar. Contoh mudah ayah salahkan emak, bila ayah terlupa di mana dia letakkan kunci kereta, kunci rumah atau beg duitnya. Ayah akan salahkan emak kerana tak pandai susun atur perabot rumah sebab itu banyak benda milik ayah hilang. Pelikkan? Kesalahan sendiri tapi ayah salahkan emak. Selagi ayah tak jumpa kunci kereta, maka selagi itu ayah membebel.

“Jika berlaku adik perempuan saya, Jun akan masuk bilik manakala adik lelaki saya, Bob keluar rumah. Jadi saya akan cuba tenangkan keadaan, bantu ayah ingatkan kembali di mana dia letakkan kunci. Tindakan saya itu buat ayah 'sentap’ . Terus ayah cop saya pembela emak atau sama spesies dengan emak.

“Masa sekolah menengah saya duduk asrama, cuti sekolah saya tak balik rumah. Saya lebih suka tumpang duduk rumah kawan. Dekat-dekat nak buka sekolah saya baru tunjuk muka. Sebenarnya saya nak minta duit ayah.

“Masa nak minta duit memang jadi masalah besar, ayah akan berleter dulu, baru hulur duit. Bagi duit tak banyak mana. Dalam diam emak akan bagi duit lagi. Tetapi bukan kerana itu saya lebih sayangkan emak, tapi saya kasihankan emak kerana selalu kena marah.

“Kalau ikutkan hati saya tak mahu balik rumah sebab tak mahu dengar ayah kutuk emak. Bob dan Jun pun sama, tetapi mereka tak ada tempat nak pergi, terpaksalah dengar ayah `bersyarah’ Bila semua dapat masuk sekolah asrama, barulah hidup kami semua tenang, lapang, lantak ayahlah nak 'bersyarah’ pagi sampai malam.’

“Tetapi setelah semakin besar sekarang, saya jadi kasihan dengan emak. Masa bersekolah dulu saya tak berani nak lawan cakap ayah. Pertama kerana takutkan ayah, kedua tak tahu apa nak cakap apatah lagi nak bantah ayah tetapi sekarang saya sudah berani berdepan dengan ayah dan sakan cakap kesalahan ayah.

“Sedikit demi sedikit saya dapat tahu, ayah akan marah emak kalau kehendaknya tak dipenuhi. Biasanya ayah selalu kehabisan duit. Emaklah tempat dia minta duit. Satu saya puji perangai emak dia pandai berjimat. Bukan senang ayah nak dapat duit emak. Macam mana ayah marah pun, emak tak akan keluarkan duit. Emak akan kata dia pun tak ada duit. Itu yang buat ayah naik angin.

“Emak pandai berjimat sebab dia datang daripada keluarga susah dan nenek selalu nasihatkan emak mesti simpan duit. Sebab belum tentu suami kita hari ini akan kekal hingga mati. Siapa tahu esok lusa kena cerai. Jadi kalau tak ada duit tentu hidup kita lebih susah dan tertekan tambah-tambah anak dah bersekolah menengah dan perlukan banyak duit.

“Nasihat ini yang emak pegang, sebab emak sendiri susah semasa kecil. Nasib nenek bantu, bolehlah emak bersekolah hingga tingkatan lima . Nak harapkan ayahnya, kata emak memang mereka adik-beradik tak bersekolah.

“Pernah saya tanya emak mengapa ayah suka berleter dan salahkan emak. Jawapan emak mudah: “Itu memang perangai buruk ayah kau.” Tapi kenapa emak tak pernah jawab? Jawapan emak mudah. “Kalau mak lawan, dia akan lebih garang, nanti semua jiran dengar.”

“Kata emak kalau dia lawan cakap ayah, tentu akan berakhirnya dengan perceraian. Sebab dia tahu perangai ayah memang panas baran. Jadi kalau dia diam marahnya tak memanjang. Jadi biarlah kena marah, asalkan emak tak kena cerai. Lagi pun emak tak mahu kami kehilangan ayah bila emak bercerai.

“Satu perkara mengejutkan kami bila emak pecahkan rahsia mungkin ayah sudah kahwin lagi. Kata emak dia belum pasti tetapi dari perangai ayah dia tahu ayah banyak berubah. Kata emak, dia sedar perubahan ini ketika kami semua dah masuk universiti dan duduk asrama sekolah. Ayah jarang balik rumah dengan pelbagai alasan. Bila kami balik, ayah memang ada rumah. Satu lagi perubahan ayah, dia kurang berleter. Sebab ayah tak suka cakap dengan emak.

“Berita ini memang mengejutkan. Tapi bila kami beritahu Bob, dia langsung tak terkejut, sebaliknya dia dah lama tahu. Katanya ayah kahwin dengan emak saudara kepada rakannya. Bob pun pernah terserempak dalam supermarket ketika ayahnya sedang membeli- belah.

“Ayah terkejut terus beri amaran jangan campur urusan ayah. Sejak itu ayah tak pernah marah Bob lagi. Kata Bob dia tak sampai hati nak beritahu emak, sebab dia kasihankan emak kecuali emak tahu sendiri.

“Kami yang perempuan bukan sahaja cepat bersimpati dengan emak, tetapi kami merancang bagaimana nak `kenakan’ ayah. Ayah perlukan sokongan kami, jadi kami buat baik dengan niat kami nak `korek’ duit ayah. Kami juga nasihatkan emak jangan tanya betulkah ayah sudah kahwin lagi. Biarkan ia jadi rahsia.

“Mula-mula Jun minta duit tambahan. Dua minggu kemudian saya pula minta duit. Selagi tak dapat kami akan pujuk ayah hingga dapat. Kami tahu, ayah jadi lemah dan suka anak-anak menyebelahi dia dan memburukkan emak. Tapi kami tak burukkan emak. Kami biarkan ayah bercakap sesuka hatinya.

“Tindakan kami berjaya. Kemudian ayah belikan Jun kereta, alasan Jun universitinya jauh. Daripada habiskan duit bayar duit tinggal di asrama lebih baik beli kereta boleh duduk rumah. Ayah setuju. Tapi ayah lupa bila adik selalu di rumah tentu ayah terpaksa ada di rumah. Jadi bila masa ayah nak duduk rumah isteri baharunya?

“Bila Jun dapat kereta kami minta ayah belikan motosikal untuk Bob. Sepantas kilat ayah setuju, sebab Bob tahu rahsianya. Taktik kami berjaya lagi.

“Dalam masa sama, kami pujuk emak bersabar beberapa tahun lalu hingga saya bekerja. Tindakan saya bukan nak bodohkan ayah, tetapi sudah tiba masanya ayah melabur dengan menyara kami kerana kami tanggungjawab ayah. Ayah boleh beristeri lagi, kalau betul-betul banyak duit, bukan memenuhi nafsu sahaja. Lebih penting bukan minta duit emak.

“Bila perbelanjaan bertambah, ayah suruh emak bayar duit ansuran kereta, tapi emak beri alasan, dia bantu anak-anak sebab duit pinjaman PTPTN tak cukup. Harapan ayah hancur, Sebenarnya tindakan kami bukan hendak `kenakan’ ayah tetapi biarlah ayah sedar diri dan bertanggungjawab beri makan pakai anak-anak.

“Baru-baru ini emak beritahu kami dia hendak minta cerai, sebab tak sanggup bermadu dan pengorbanannya selama ini tidak dinilai oleh ayah. Kini giliran kami pula terkejut. Kerana itu saya hubungi KSIT minta pandangan dan nak hadir kelas, tetapi emak bukan ibu tunggal. Masalah kami kalau emak minta cerai sudah pasti ayah akan mengamuk.

“Ayah pula pasti dia tak mahu tanggung pelajaran kami lagi. Nak minta nafkah daripada ayah dengan menuntut di mahkamah syariah sudah tentu akan menyakitkan hati, tak tahu berapa tahun. Sebenarnya kami mahu ayah bertanggungjawab bukan sahaja terhadap pelajaran kami adik- beradik tetapi lebih kepada urusan dalaman keluarga. Jangan paksa emak tanggung makan minum kami lagi .’’ ujar Norzaini.