Terus terbayang di mata wajah polos anak-anak yang menjadi penghuni dan menumpang teduh di rumah tersebut. Bagaimana dengan nasib mereka? Di mana mereka akan tinggal nanti?

Peristiwa pada pukul 1.20 tengah hari itu berlaku semasa anak-anak yang mendiami rumah berkenaan menunaikan solat Jumaat.

Rumah tersebut hangus sama sekali dalam masa satu setengah jam sahaja.

Bertemu dengan Pengasas Rumah Raudhatul Al-Faeez, Zahrina Mohd. Saat, 58, di Surau Silaturrahim, Batu 11, Jalan Gombak di mana mereka menumpang sementara mencari rumah sewa, dia berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Kemungkinan kerana kebocoran gas memasak.

Katanya, rumah banglo yang diwakafkan oleh seorang hamba Allah ini ditubuhkan pada 2011 dan didiami oleh 30 orang penghuni iaitu 15 orang berusia di bawah 12 tahun dan 15 orang lagi berusia 13 tahun ke atas. Mujur kesemuanya selamat dan tiada yang mengalami kecederaan.

“Malam sebelum kejadian, saya telah menghantar pulang 12 orang anak yang berusia bawah 13 tahun ke rumah keluarga mereka di Kuala Kangsar, Klang, Sungai Buloh dan Setia Alam.

“Anak-anak yang tinggal seramai 17 orang kerana ada yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ada yang tidak mempunyai keluarga.

“Kami memang tidak dapat menyelamatkan apa-apa. Di antara barangan yang musnah ialah dua buah komputer riba, sembilan buah komputer, peti sejuk besar, barang-barang elektrik dan banyak lagi. Kerugian dianggarkan RM200,000,” katanya.

Tambahnya, selepas kebakaran kesemua penghuni ditempatkan di Surau Silaturrahim dan dia amat berterima kasih kepada pelbagai pihak yang telah menghulurkan sumbangan.

Namun, itu hanya sementara kerana dia sedang mencari rumah sewa atau yang hendak diwakafkan bagi menempatkan anak-anak berkenaan.

Ruang surau tempat menumpang sekarang agak terhad tidak sesuai bagi mereka. Di situlah mereka tidur di dalam khemah dan menjadi tempat pengumpulan sumbangan orang ramai seperti makanan, pakaian dan sebagainya.

Menurut Zahrina lagi, pada Sabtu lalu Rumah Raudhatul Al-Faeez telah mengadakan gotong-royong mega bagi membersihkan sisa kebakaran bermula pukul 7.30 pagi hingga 5 petang.

“Kami amat memerlukan sumbangan orang ramai bagi membangunkan semula rumah ini yang dianggarkan berjumlah RM300,000 selain sumbangan peralatan sekolah seperti pakaian, beg, kasut, stoking, buku dan sebagainya untuk persediaan kembali ke sekolah tahun depan.

Kepada yang ingin menyumbang boleh menghubungi Zahrina di talian 019-6954869 atau 016-2388543 (Elza) atau ke akaun Maybank Pengurusan Raudhatul Al-Faeez 562508510350.