Mungkin ramai ibu bapa berasa was-was untuk melepaskan anak-anak melakukan sesuatu dengan sendiri.

Namun jika tidak dibiarkan mereka berbuat demikian, anak-anak tersebut dikhuatiri terlewat dalam mencapai suatu tahap kemahiran.

Jika umur sudah memasuki enam tahun masih memerlukan bantuan di tandas atau masih mengharapkan bantuan untuk menyarung baju, maka ibu bapa harus lebih peka bahawa kemungkinan anak-anak mereka mengalami masalah perkembangan.

Menurut Pengusaha Ar-Raziq Child Care Centre, Afiza Abdul Aziz, kemahiran pengurusan diri boleh diajar kepada kanak-kanak seawal usia setahun.

Bagaimanapun, tahap kemahiran tersebut perlu diajar mengikut peringkat umur.

Misalnya pada usia satu hingga dua tahun, kanak-kanak sudah boleh diajar makan sendiri serta memakai baju atau seluar dengan bantuan.

Pada usia dua hingga tiga tahun pula, mereka boleh didedahkan dengan pengurusan diri di tandas dengan bantuan menyikat rambut dan menyapu bedak.

“Pada usia tiga hingga empat tahun, kita boleh ajar mereka makan guna sudu dan garfu, menyarung serta membuka pakaian sendiri, melipat pakaian dan menyimpan barang masing-masing.

“Kemahiran pengurusan diri sangat penting kerana selain mampu menguruskan diri, ia juga dapat membantu kanak-kanak menguruskan emosinya, membentuk mereka menjadi berdisiplin dan teratur dalam menyiapkan tugasan serta tahu tanggunggjawab di taska dan di rumah.

“Di Ar-Raziq Child Care Centre, kemahiran pengurusan diri merupakan elemen yang kami sangat tekankan dan menjadi misi kami untuk melatih anak-anak di sini supaya mampu berdikari,” katanya.

Bagaimanapun menurut Afiza, ibu bapa tidak boleh terlalu mengharapkan pihak taska, sebaliknya perlu juga mengambil bahagian dalam membentuk kemahiran dan keyakinan anak-anak sejak dari kecil.

Ibu bapa yang bersikap terlalu protektif akan menyebabkan anak-anak kurang keyakinan diri.

Anak-anak seharusnya diberi peluang untuk belajar melakukan sesuatu dan menyelesaikannya dengan sendiri.

Afiza juga berkata, pihaknya sangat menekankan keperluan sensori dalam perkembangan kanak-kanak.

Kebanyakan ibu bapa terlalu fokus pada keupayaan kognitif seperti berfikir dan menganalisis sehingga melupakan keperluan sensori kanak-kanak.

Namun hakikatnya, kemahiran kognitif kanak-kanak akan menjadi lebih baik jika keperluan sensori berkembang dengan baik.

Terdapat tujuh deria sensori yang perlu diberi perhatian iaitu visual, auditori, sentuhan, rasa dengan lidah, hidu, pergerakan (proprioception) dan keseimbangan (vestibular).

“Ketika awal usia perkembangan kanak-kanak, aktiviti berbentuk sensori perlu diperkenalkan bagi membolehkan kanak-kanak meneroka persekitaran melalui deria sensori.

“Di Ar-Raziq Child Care Centre, kami buat aktiviti bagi membolehkan kanak-kanak meneroka persekitaran melalui deria sensori.

“Kami bagi mereka main tepung, pasir dan air selain membawa mereka berjalan berkaki ayam di atas tanah atau rumput.

“Dari segi pemakanan, anak-anak yang berusia 10 bulan, boleh diberi makanan lebih pepejal untuk merangsang deria rasa di samping menguatkan rahang, otot bibir dan lidah,”ujarnya.

Katanya, latihan aktiviti sensori dan bermain perlu selari dengan perkembangan kanak-kanak.

Tambahnya, kanak-kanak akan lebih bersedia untuk pembelajaran formal setelah keperluan sensori dan bermain dipenuhi.

Ar-Raziq Child Care Centre yang terletak di Jalan Jati 3/6, Seksyen 3, Shah Alam, Selangor kini memiliki 50 anak asuhan berusia antara tiga bulan hingga enam tahun.