Presiden PRC, Datuk SM Zulkifli SM Amin berkata, acara penyampaian sumbangan yang dijadual pada 22 Oktober ini akan disampaikan oleh Timbalan Presiden Pekema, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah.

Katanya, penerima sumbangan tersebut dipilih dengan usaha sama dengan Pengerusi Perhubungan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Kelantan, Datuk Samihah Salih.

“Selain mengeratkan hubungan antara semua ahli PRC dan Pekema, Reunion Ride ini juga tidak melupakan golongan yang kurang bernasib baik dengan menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Pekema yang dijangka dapat sedikit sebanyak meringankan bebanan golongan ini.

“Kami juga berharap ‘bikers’ dari Kota Bharu dapat juga datang bersama pada 22 Oktober ini di Holiday Villa Hotel & Suites Kota Bharu bagi meraikan majlis penyampaian sumbangan ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini Selasa lalu.

Menurut SM Zulkifli, program selama tiga hari tersebut terbuka kepada semua ahli PRC dan juga Pekema.

Pada majlis tersebut, setiap keluarga akan menerima sumbangan sebanyak RM500 yang menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM20,000.

Jelasnya, objektif program itu adalah bagi mengumpulkan semua wakil-wakil kelab tersebut di negara ini untuk sama-sama berkonvoi ke Kelantan di samping mengeratkan lagi hubungan antara ahli PRC serta Pekema.

Konvoi terbabit dijadualkan bertolak dari Wisma Rahman Brothers pada pukul 8.15 pagi dan dijangka tiba kira-kira pukul 6.30 petang di Holiday Villa Hotel & Suites di Kota Bharu.

PRC yang ditubuhkan pada 2015 adalah bertujuan untuk menggabungkan kesemua pemilik-pemilik motosikal yang membeli motosikal mereka dengan ahli-ahli Pekema tidak kira jenama dan model di bawah satu gabungan.

Gabungan tersebut membolehkan mereka untuk menjalankan segala aktiviti-aktiviti permotoran seperti konvoi dan juga kerja-kerja amal.